Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1670 : SIAPAKAH YANG PALING BERHAK MENGUMANDANGKAN IQAMAH?


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

KAFI 1670

Soalan:

Siapakah yang paling berhak untuk mengumandangkan iqamah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menurut Imam al-Syaukani, para ulama berselisih pendapat dalam isu siapa yang paling berhak mengumandangkan iqamah. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Abu Thur, tidak ditetapkan keutamaan atau siapa yang lebih layak untuk mengumandangkan Iqamah. Namun Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa sunat bagi sesiapa yang azan untuk dia turut mengumandangkan Iqamah, dan jika seseorang itu memang telah dipilih untuk secara khusus sebagai muazzin, maka dialah yang paling layak untuk iqamah. (Rujuk Nail al-Autor 2/67 dan Al-Umm 1/106)

Pandangan Imam al-Syafi’e ini berdasarkan hadith riwayat Ziyad ibn al-Harith al-Suda’i R.A yang diminta oleh Rasulullah SAW untuk azan, dan apabila saf dibentuk untuk solat, Bilal bin Rabah R.A ingin mengumandangkan iqamah, lalu Baginda SAW bersabda:

مَنْ أَذَّنَ فَهُوَ يُقِيمُ

Maksudnya: Sesiapa yang mengumandangkan azan, maka dialah yang mengumandangkan Iqamah.

Sunan Abi Dawud (514), Jami` al-Tirmizi (199) dan Sunan Ibn Majah (717). Hadith ini dihukum dhaif oleh beberapa ulama, antaranya Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban, namun dihukum hasan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan tsabit menurut Ibn al-Jazwi. (Rujuk Al-Badr al-Munir 3/413, Al-Majruhin 1/407, Takhrij Misykat al-Masabih 1/311 dan Nasikh al-Hadith wa Mansukhuhu hlm. 208)

Kata Syeikh Abu al-Toyyib al-‘Azhim al-Abadi, meskipun hadith ini dinilai dhaif, namun ia mempunyai banyak syawahid atau hadith-hadith lain sebagai sokongan. Kata Imam al-Son’ani pula, hadith ini menjadi dalil bahawa iqamah merupakan hak bagi mereka yang mengumandangkan azan, dan inilah pegangan majoriti ahli ilmu. Beliau turut menukilkan pandangan al-Hazimi bahawa ahli ilmu telah bersepakat bahawa diharuskan untuk berbeza individu yang melaungkan azan dan yang mengumandangkan iqamah. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud 2/209-210 dan Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram 1/193)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa yang mengumandangkan azanlah yang paling berhak untuk mengumandangkan iqamah, dan hukumnya ialah sunat sebagaimana yang dipegang oleh Imam al-Syafi’e.

Namun jika individu lain yang mengumandangkan iqamah, ia tidak menjadi satu kesalahan dan iqamah itu tetap sah.

Wallahu a’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *