Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1566: APAKAH HUKUM MENYERTAI PERTANDINGAN LAWAN BUNYI BURUNG


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

ak1566

Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya satu soalan, saya mempunyai hobi membela burung, adakah dibenarkan. Boleh tak kalau saya nak menyertai pertandingan lawan bunyi burung. Adakah dibolehkan menyertainya.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam perbahasan memelihara burung di dalam sangkar, para fuqaha berbeza pendapat berkenaan dengannya, maka kami lebih cenderung dengan pendapat yang mengharuskannya untuk pemeliharaan serta hendaklah bersikap ehsan dan memberi kebajikan terhadap haiwan yang dipeliharanya.

Syarak juga membenarkan memelihara haiwan hanya sekadar suka melihat kecantikannya dan bermain dengannya. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ

Maksudnya: Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi). 

(Surah al-Nahl, 6)

Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, kecantikan pada binatang yang diternak apabila melihatnya akan melahirkan rasa gembira dan senang hati. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/57)

Begitu juga, sahabat Nabi SAW yang memelihara seekor burung dan bermain dengannya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

MaksudnyaBahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.

Hadis riwayat al-Bukhari (6203)

Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyatakan, harus memelihara burung dengan meletakkannya di dalam sangkar atau seumpama dengannya.” (Lihat Fathu al-Bari, 10/584)

Imam Nawawi menyatakan, sekiranya seseorang itu membuka pintu sangkar kepunyaan orang lain yang terdapat burung di dalamnya, lalu burung itu terbang melarikan diri, maka ganti rugi disebabkan kehilangan burung itu menjadi tanggungjawab orang yang membukanya. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 14/289)

Imam Syarwani di dalam hasyiahnya menyatakan, al-Qaffal telah ditanya berkenaan dengan hukum memelihara burung di dalam sangkar untuk mendengar suaranya dan selainnya. Maka beliau menjawab, diharuskan untuk memeliharanya sekiranya ia memenuhi kebajiakan dan keperluan burung itu, ini seperti haiwan ternakan yang diikat. (Lihat Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 9/210)

Ini menggambarkan bahawa pandangan fuqaha mengharuskan pemeliharaan burung di dalam sangkar, akan tetapi hendaklah penjagaannya mengikut keperluan dan memberi kebajikan terhadap haiwan tersebut.

Selain itu, boleh rujuk artikel beriku di laman web PMWP yang bertajuk: AL-KAFI #668: HUKUM MEMELIHARA BURUNG PELIHARAAN DALAM SANGKAR YANG KECIL

Tanggungjawab Terhadap Haiwan

Di dalam hal memelihara haiwan, mereka yang memeliharanya, tidak terlepas di dalam memberi kebajikan atau keperluan kepada haiwan yang dipelihara.

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan haiwan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu haiwan ternakan yang halal dimakan, haiwan peliharaan yang tidak halal dimakan dan haiwan bukan peliharaan.

Di dalam hal memelihara haiwan yang tidak halal dimakan, Antara haiwan peliharaan yang tidak halal dimakan ialah anjing perburuan yang tidak ganas, kucing, helang, lebah, ulat sutera dan sebagainya. Pemiliknya mesti menjaga dan memberikan keperluan hidup seperti makanan dan minuman kepada haiwan tersebut.

Jika dia enggan menjualnya atau tidak ada pembelinya, dia mestilah menyerahkan haiwan tersebut kepada sesiapa yang boleh memanfaatkannya supaya ia boleh terus hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/187; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/298)

Tuntutan bersikap ehsan dan larangan melakukan kezaliman terhadap haiwan peliharaan merupakan kewajipan menunaikannya, ini kerana berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خِشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Seorang perempuan masuk neraka disebabkan seekor kucing, kerana dia mengikatnya, tidak memberinya makan dan tidak melepaskannya, makan binatang yang melata di muka bumi sehinggalah kucing itu mati dalam keadaan kurus kering.

Riwayat al-Bukhari (3318)

Pertandingan

Musabaqah (Pertandingan) mengikut jumhur fuqaha’ adalah diharuskan sekiranya tidak dikenakan bayaran. Ini berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW pernah menganjurkan pertandingan bersama sahabat-sahabatnya. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

سَابَقَ اَلنَّبِيَّ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-بِالْخَيْلِ اَلَّتِي قَدْ أُضْمِرَتْ, مِنْ الْحَفْيَاءِ, وَكَانَ أَمَدُهَا ثَنِيَّةِ اَلْوَدَاعِ.‏وَسَابَقَ بَيْنَ اَلْخَيْلِ اَلَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ مِنْ اَلثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِد ‏ بَنِي زُرَيْقٍ, وَكَانَ اِبْنُ عُمَرَ فِيمَنْ سَابَقَ

Maksudnya: Maksudnya: Nabi s.a.w berlumba dengan kuda yang telah dilatih dari al-Hafya’ sehingga Saniyyatil Wada’ (nama tempat yang terletak di Madinah) dan baginda berlumba dengan kuda yang belum dilatih dari Saniyyatil Wada’ ke Masjid Bani Zuraiq dan Ibn Umar antara salah seorang yang turut berlumba.

Riwayat al-Bukhari (420); al-Muslim (1870)

Garis panduan al-Musabaqah (pertandingan) sekiranya berasaskan bayaran atau hadiah fuqaha’ berbeza pendapat mengenainya. Terdapat al-Musabaqah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan kategori al-Musabaqah di antaranya ialah:

  • Hadiah pertandingan ditaja oleh kerajaan atau orang lain. Ia tidak mengambil dari wang atau yuran peserta. Contohnya: “Sekiranya kamu berdua bertanding, aku akan memberi hadiah”
  • Hadiah ditaja oleh salah seorang peserta yang bertanding. Contohnya: “marilah bertanding denganku sekiranya kamu menang aku akan memberikan kamu hadiah dan sekira kamu kalah, kamu tidak perlu memberikanku hadiah”.
  • Kesemua peserta membayar penyertaan dan bayaran itu akan dijadikan hadiah kepada pemenang.
  • Ciri ini sama seperti ciri yang ketiga, iaitu kesemua peserta membayar penyertaan namun terdapat muhallil(orang yang tidak dikenakan bayaran) dan muhallil itu diberikan hadiah yang serupa dengan peserta lain sekiranya ia menang.

Gambaran di atas menunjukkan situasi yang berbeza dan ciri yang ketiga terkandung di dalamnya unsur-unsur yang diharamkan iaitu perjudian (Al-Maisir) dan selebihnya diharuskan syarak.

(Lihat: al-Fiqh Al-Manhaji: 8/158)

Selain itu, boleh rujuk artikel yang bertajuk:

  • AL-KAFI #966: ADAKAH WANG PENYERTAAN SESUATU PERTANDINGAN SEBAGAI SATU PERJUDIAN
  • AL-KAFI #584: HUKUM MENGAMBIL GANJARAN DALAM SESUATU PERTANDINGAN

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan dalil-dalil yang diberikan, dapat kami simpulkan, kami berpendapat diharuskan memelihara burung kerana kelunakan suaranya dan kecantikannya. Namun kewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap burung itu hendaklah ditunaikan mengikut keperluannya, seperti sangkar yang tidak sempit dan makan yang mencukupi.

Berbalik kepada persoalan menyertai pertandingan lawan bunyi burung, kami berpendapat dibolehkan untuk menyertainya. Namun, hendaklah memastikan hadiah pertandingan tidak diambil daripada yuran pesertaan serta tidak berlakunya eksplotasi, kesamaran, pertaruhan, nasib dan pembaziran. Begitu juga, pertandingan itu hendaklah mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh JAKIM, boleh lihat  Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah Bil.5 Tahun 2013

Oleh itu penganjur seharusnya berhati-hati dalam menganjurkan sesuatu pertandingan dalam menggunakan wang penyertaan serta mendapat khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti.

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *