Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1563 : HUKUM BASAHKAN BADAN DENGAN AIR HUJAN KETIKA HUJAN TURUN


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

AK1563

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, betulkah kita dianjurkan untuk membasahkan badan dengan air hujan sebaik sahaja hujan turun. Adakah terdapat dalil dalam isu ini dan apakah sebabnya ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Antara sunnah yang jarang dilakukan dalam pengamalan masyarakat pada hari ini adalah membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit. Perbuatan ini tsabit daripada Nabi S.A.W berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata : ‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah S.A.W. Lalu baginda S.A.W menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya : ‘’Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini ?’’. Maka jawab baginda S.A.W:

لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi.

Riwayat Muslim (898)

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah Ta’ala lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/195).

Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadis ini dengan kata beliau : ‘’Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).

Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas : ‘’Apakah kamu tidak membaca firman Allah S.W.T :

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا

Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.

Surah Qaf (9)

Lalu kata Ibn Abbas : Maka aku suka untuk memperoleh sedikit dari keberkatannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).

Imam Al-Baghawi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu, dan ia adalah air hujan. Rujuk Ma’alim al-Tanzil, Al-Baghawi (4/271).

Sebahagian ulama menyatakan bahawa bahagian yang dikenakan padanya air hujan adalah kepala. Inilah pendapat yang dipegang oleh Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari. Manakala Al-Thibi menyatakan bahawa ia merujuk kepada badan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula, menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W membuka baju dari bahagian belakang badan baginda. Rujuk Mirqat al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/1108).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum membasahkan bahagian badan yang bukan dalam kategori aurat dengan air hujan adalah disunatkan. Zahir nas tidak menunjukkan bahagian hujan yang mana sama ada pada awal turunnya, di pertengahan, atau di penghujung. Meskipun begitu, ia lebih dituntut pada awal-awal turunnya hujan memandangkan hikmahnya kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun, serta disifatkan sebagai air yang berkat diturunkan oleh Allah S.W.T.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *