Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1301: KENAPA SELAWAT DAN SALAM DALAM TAHIYYAT AKHIR HANYA KHUSUS KEPADA NABI IBRAHIM AS DAN AHLI KELUARGANYA?


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

1301 alkafi

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ SS Mufti, saya ada satu kemusykilan. Kita diperintahkan untuk tidak membeza-bezakan antara para rasul seperti dalam firman Allah SWT:

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

Maksudnya: (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

(Surah al-Baqarah: 285)

Namun begitu, kenapa di dalam bacaan tahiyyat akhir kita hanya mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarganya sahaja, tetapi tidak kepada rasul-rasul yang lain? Tidakkah kita sudah membeza-bezakan antara rasul?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya beriman kepada semua para rasul dan nabi. Beriman kepada setiap rasul merupakan salah satu daripada Rukun Iman berdasarkan firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

(Surah al-Baqarah: 285)

Begitu juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya oleh malaikat Jibril AS berkaitan Iman:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Iman ialah beriman kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab yang diturunkan para rasul, hari akhirat, dan beriman kepada qada’ dan qadar.

Hadith riwayat Muslim: (8)

Nas al-Quran dan Hadith di atas jelas menunjukkan kewajipan untuk beriman kepada semua rasul yang diutuskan oleh Allah SWT secara umum. Selain itu, wajib beriman kepada 25 rasul secara khusus yang disebutkan nama-nama mereka di dalam al-Quran al-Karim iaitu: Adam, Idris, Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishaq, Yaaqub, Yusuf, Ayyub, Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Yunus, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa’, Zakariyya, Yahya, Isa dan yang terakhir, Muhammad SAW. Manakala empat daripada 25 tersebut merupakan rasul ulul-azmi iaitu: Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW.

Imam al-Tabari dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ menyatakan bahawa:

“Orang yang beriman mengimani kesemua para malaikat, rasul dan kitab-kitab dengan mengatakan bahawa, “Kami tidak membeza-bezakan antara salah seorang pun daripada para rasul”. Maksudnya, mereka tidak beriman kepada sebahagian sahaja manakala kufur pula kepada sebahagian yang lain, bahkan mereka membenarkan kesemua para rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.” (Rujuk Tafsir al-Tabari, 2:49)

Justeru, dapatlah difahami bahawa maksud ‘tidak membeza-bezakan di antara para rasul’ itu ialah membezakan dari sudut beriman kepada para rasul, dengan beriman kepada sebahagian rasul dan tidak beriman kepada sebahagian yang lain sepertimana yang dilakukan oleh golongan Yahudi dan Nasrani yang tidak beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, bukanlah maksudnya membezakan para rasul dari sudut kemuliaan dan ketinggian martabat sebahagian daripada mereka diatas yang lain di sisi Allah SWT. Ini kerana Allah SWT melebihkan sebahagian rasul ke atas sebahagian yang lain. Firman Allah SWT:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۘ مِّنْهُم مَّن كَلَّمَ اللَّـهُ ۖ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.

(Surah al-Baqarah: 253)

Berkaitan persoalan bacaan dalam tahiyyat akhir khusus kepada Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarganya, ia adalah kerana Allah SWT memberi kelebihan-kelebihan kepada Baginda AS keatas nabi dan rasul yang lain (Rujuk Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah, 1 : 260-262). Antara kelebihan-kelebihan tersebut ialah:

  • Allah SWT menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih Allah atau Khalilullah, berdasarkan firman Allah SWT:

وَاتَّخَذَ اللَّـهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya: Dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

(Surah al-Nisa’: 125)

Begitu juga, dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

وَ لَكِنَّ صَاحِبُكُمْ خَلِيلُ الرَحْمَنِ

Maksudnya: Akan tetapi, saudara kamu ini (Nabi Ibrahim AS) merupakan khalilurrahman (kekasih Allah SWT).

Hadith riwayat Muslim: 2383

  • Nabi Ibrahim AS merupakan bapa bagi kebanyakan para nabi dan rasul seperti Nabi Ismail AS dan Nabi Yaakub AS. Daripada keturunannya juga, lahir para nabi dan rasul yang lain, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ayyub, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zakariyya, Nabi Ilyas, Nabi Yahya dan Nabi Isa Alaihimussalam. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri daripada keturunan Nabi Ibrahim AS, dan itu sudah cukup menjadi kemuliaan bagi Nabi Ibrahim AS.
  • Allah SWT menerima dan mengabulkan doa Nabi Ibrahim AS yang berdoa kepadaNya dengan doa:

وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Maksudnya: “Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian”.

(Surah al-Shu’ara: 84)

  • Allah SWT memerintah Rasulullah SAW untuk mengatakan kepada kaum Baginda AS bahawa Rasulullah SAW mengikut kepada ajaran sebelumnya iaitu ajaran Nabi Ibrahim AS. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۚ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.

(Surah al-An’am: 161)

  • Di dalam kitab al-Durr al-Mukhtar menyatakan bahawa ada tiga sebab dikhususkan Nabi Ibrahim AS dalam bacaan tahiyyat akhir, antaranya salam Nabi Ibrahim AS pada malam Mi’raj kepada Nabi Muhammad SAW :

يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَام

Maksudnya: Wahai Muhammad SAW, sampaikanlah salam kepada umat-mu daripada aku (Nabi Ibrahim AS).

Hadith riwayat al-Tirmidzi: (3462)

  • Nabi Ibrahim AS yang pertama menamakan umat Nabi Muhammad SAW sebagai ‘muslimin’ berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ

Maksudnya: Dia menamakan kamu muslimin (orang-orang Islam) semenjak dahulu.

(Surah al-Hajj: 78)

  • Allah SWT mengambil Rasulullah SAW sebagai kekasihNya dan begitu juga Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih, maka selawat dan salam keatas kedua-dua kekasihNya dibacakan di dalam tahiyyat akhir oleh sekelian umat Nabi Muhammad SAW.

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarga dikhususkan dalam tahiyyat akhir adalah kerana Allah SWT melebihkan Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih Allah SWT (khalilullah) dan bapa bagi sekelian para nabi Alaihissalam serta doa Baginda SAW yang diterima oleh Allah SWT. Begitu juga, salam Nabi Ibrahim AS kepada Rasulullah SAW pada malam Mi’raj untuk disampaikan kepada kita sebagai umat Rasulullah SAW, maka kita juga mengucap selawat dan salam kembali keatas Baginda SAW dalam bacaan tahiyyat akhir.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam agama dan taufiq dalam beramal soleh dengan ikhlas kepadaNya, inshaAllah. Amin.

WaAllahu a’lam

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *