Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1297: #: NASIHAT DALAM MENYELESAIKAN MASALAH KESEMPITAN HIDUP DAN REZEKI


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

nasihat selesai masalah hidup sempit.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya sentiasa dalam kesusahan dan kesempitan hidup terutama dalam masalah rezeki yang sentiasa tidak cukup. Bagaimana cara terbaik untuk saya menjalani kehidupan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, saya nyatakan di sini beberapa nasihat:

  • Bertakwalah kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya seperti solat dan ibadat-ibadat sunat yang lain. Ini kerana ia adalah penyelesaian kepada masalah tersebut. Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 2-3)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ، فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا، وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا، فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ، خُذُوا مَا حَلَّ، وَدَعُوا مَا حَرُمَ

Maksudnya: Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh kerana itu bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”

Riwayat Ibnu Majah (2144)

  • Hendaklah menjaga hubungan silaturrahim. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

  • Hendaklah melazimi bersedekah walaupun sedikit. Terdapat sebuah hadis yang menyebut berkenaan doa malaikat kepada orang yang pemurah dan yang bakhil. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah gantian kepada orang yang melakukan infaq dan sedekah.” Manakala Malaikat yang satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kehilangan kepada yang bakhil.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam menjelaskan hadis ini berkata: “Pengganti itu lebih aula disamarkan agar mencakupi pengganti dalam bentuk harta dan pahala serta selainnya. Ini kerana berapa ramai orang yang berinfaq dan dia meninggal sebelum memperoleh balasan berupa harta di dunia, maka penggantinya adalah berupa pahala di akhirat, atau dia dilindungi dari keburukan.” (Lihat Fath al-Bari, 3/305)

Imam Badruddin al-‘Aini berkata: Padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (Lihat Umdah al-Qari, 8/307)

  • Perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT kerana ia adalah penyelesai kepada isu yang dibangkitkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.

Riwayat Abu Daud (1518), Ibn Majah (3819), Ahmad (1/248), al-Tabarani
dalam al-Ausat (6/240) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3/351)

Mudah-mudahan dengan melazimi apa yang telah disebutkan di atas, maka kehidupan saudara akan lebih tenang dan diberi kelapangan oleh Allah SWT.

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga saudara diberi ketenangan dan dimurahkan rezeki serta dapat menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *