Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1296: SAMBUT HARI RAYA SEBULAN ITU BID’AH?


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

sambut raya sebulan.JPG

Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Benarkah menyambut Hari Raya Aidilfitri selama sebulan sebagaimana yang dilakukan pada masa ini adalah bid’ah?

 

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hari raya merupakan musim untuk umat Islam bergembira dan berseronok. Ini merupakan kegembiraan dan keseronokan bagi orang yang beriman di dunia seperti hamba yang dilepaskan oleh tuannya.

Apabila berjaya menyempurnakan segala arahan tuannya, orang yang beriman akan memperoleh pahala di atas segala amalan mereka demi keteguhan mereka menunaikan segala perintah Allah sebagaimana firman-Nya,

قُلْ بِفَضْلِ اللَّـهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad), kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal).”

Surah Yunus: 58

Di dalam Islam, terdapat dua hari raya yang telah disyariatkan. Ini sebagaimana hadith ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ

Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”

Riwayat Imam Ahmad (12362)

Ini bermakna, hanya dua hari raya yang disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT. Dalam hadith yang lain disebutkan sabda Rasulullah SAW;

يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ، عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهُنَّ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah (untuk yang mengerjakan haji), hari korban dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita orang Islam, hari-hari tersebut hari makan dan minum.”

Riwayat Imam Ahmad (17379)

Apa yang membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain adalah beberapa ibadat yang diperintahkan bersempena dengannya. Secara khusus, pada hari raya Aidilfitri, umat Islam disyariatkan melakukan beberapa ibadah khusus. Antaranya menunaikan zakat fitrah, solat sunat hari raya, memperbanyakkan takbir bermula daripada malam hari raya sehingga imam memulakan solat dan beberapa amalan sunat lain yang disyariatkan. Bahkan pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa. Semua ini hanya berlaku pada 1 Syawal dan bukan pada hari-hari lain dalam bulan Syawal.  

Persoalannya, bolehkah jika amalan-amalan lain seperti ziarah menziarahi, menjamu makanan, bermaaf-maafan dan memberi hadiah (seperti duit raya) dilakukan sebulan dalam bulan Syawal atas nama sambutan hari raya Aidilfitri? Adakah ia termasuk dalam perkara bid’ah yang tercela?

Secara ringkasnya, bid‘ah dari sudut bahasa iaitu apa yang dilakukan tanpa mempunyai misal sebelumnya, antaranya firman Allah SWT: “Katakanlah aku bukanlah rasul yang pertama” (Surah al-Ahqaf: 9). Adapun dari segi istilah ia mempunyai pelbagai takrifan hasil daripada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama yang mentakrifkannya. Walau bagaimanapun, kami cenderung dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh fuqaha dalam Mazhab Syafie.

Imam al-Izz ibn ‘Abd al-Salam mengatakan bid‘ah itu terbahagi kepada lima bahagian. Beliau mengatakan: Jalan (kaedah) untuk mengenali bid‘ah: “Hendaklah dikemukakan perkara bid‘ah itu menurut pertimbangan Qawa’id al-Syariah, sekiranya ia termasuk ke dalam qawa’id al-ijab maka ia wajib, atau tahrim maka ia haram…dan seterusnya”. Lihat Qawa’id al-Ahkam, 2/205.

Al-Khattabi pula berkata: “Apa yang terbina di atas Qawa’id al-Usul, ia bukan bid‘ah dan tidak juga sesat. Terdapat dalam Lisan al-‘Arab pandangan Ibnu al-Athir iaitu: “Bid‘ah itu dua; bid‘ah huda (petunjuk) dan bid‘ah dhalalah (sesat)…maka apa yang berlaku di bawah keumuman apa yang diharuskan oleh Allah atau RasulNya dan ia tidak mempunyai misal sebelumnya maka ia terpuji. Dan ia berkata lagi: Dan antara jenis (bid‘ah huda) ini iaitu ucapan Umar r.a.: Senikmat-nikmat bid‘ah adalah ini (mengerjakan tarawih 20 raka’at secara berjamaah)”. Lihat Faydh al-Qadir, 1/84.

Al-Suyuti menukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa: “Perkara-perkara baru itu dua bentuk: Pertama; perkara baru yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah atau athar atau ijmak, maka ini merupakan kesesatan. Kedua; perkara baru yang baik, tiada khilaf di kalangan ulama dalam perkara ini, maka ini merupakan perkara baru yang tidak dicela”. Lihat al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, 92.

Berdasarkan takrifan bid’ah yang dikemukakan, menunjukkan bukan semua perkara baharu itu dicela, bahkan jika perkara itu memiliki sandaran daripada syarak maka ia termasuk perkara baik yang dianjurkan. Ini bertepatan dengan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Syawal seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya dituntut oleh syarak tanpa mengira masa dan ketika. Namun, ia dilakukan oleh masyarakat sebagai satu adat tradisi dalam mengambil keberkatan bulan yang mulia seperti Syawal.

 

Kesimpulan

Bersandarkan perbahasan di atas, dapat difahami apa yang dilakukan oleh masyarakat pada hari ini bukan termasuk perkara bid’ah yang tercela. Ini kerana, tiada suatupun ibadat khusus yang direka dalam sambutan hari raya selama sebulan yang diadakan. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya. Bahkan tiada sesiapa pun yang mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya. Kesimpulannya, ia sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Justeru kami amat menggalakkan jika masyarakat mengambil peluang ini untuk mengadakan jamuan makan terutamanya kepada faqir miskin, ini bagi menyahut seruan al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ﴿٨﴾ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّـهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ﴿٩﴾ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا ﴿١٠

Maksudnya:Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8)(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9) “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”. (10)

 

Semoga ianya memberi pencerahan kepada persoalan yang dikemukakan. Wallahu’alam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *