Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1294: TANAM KEMBALI BIJI DARIPADA BUAH-BUAHAN YANG DIBELI


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

AK1294.JPG

SOALAN

Assalamualaikum SS Mufti, sekiranya saya membeli buah-buahan seperti durian atau anggur di kedai, kemudian saya ambil sebahagian daripada biji-biji yang terdapat dalam buah-buahan tersebut untuk dipropagasikan atau dibenihkan serta ditanam bagi menghasilkan pokok dan buah lalu menjualnya. Adakah dikira sebagai mencuri atau menyalahi hak penanaman asal pokok tersebut? Mohon penjelasan.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pertamanya, diucapkan terima kasih kepada mereka yang bertanya. Isu seperti ini adalah perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Menjawab kepada persoalan ini, hukum menanam atau melakukan pembenihan terhadap biji-biji daripada buah-buahan yang dibeli di pasar bagi menghasilkan sendiri pokok dan buah adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana, secara umumnya setiap pembelian buah-buahan adalah termasuk dengan biji-biji yang terdapat di dalamnya. Perkara seperti ini adalah dikira sebagai uruf ‘amali yang diiktiraf pada pandangan syarak sebagaimana kaedah feqah menyebut:

الْعَادَةُ محكمَة

Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”

Demikian juga kaedah feqah menyebut:

التَّابِعُ تَابِعٌ أَنَّهُ لَايُفْرَدُ بِالحُكْمِ لِأَنَّهُ جعل تبعا

Maksudnya: “Pengikut adalah mengikut apa yang diikut, sesungguhnya dia (pengikut) tidak dapat berhukum dengan sendiri kerana dijadikan dia ini adalah mengikut.” (Lihat Al-Ashbah wa al-Naza’ir, 1/117)

Setiap pembelian yang melibatkan buah-buahan adalah kebiasaannya dikira bersekali dengan biji-biji yang terdapat di dalamnya. Oleh kerana itu, pembeli berhak untuk melakukan apa sahaja terhadap biji-biji yang ada, sama ada menanamnya kembali atau membuang sahaja biji tersebut.

Begitu juga dalam isu penjualan hasil daripada penanaman tersebut adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana, ianya kembali kepada hukum asal penanaman atau pembenihan biji-biji tersebut iaitu harus. Justeru, wang hasil daripada penjualan tersebut adalah halal dan bersih.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa harus dan dibolehkan kepada pembeli untuk menanam kembali biji-biji yang diperolehi daripada buah-buahan yang dibeli. Perkara seperti ini tidak dikira sebagai mencuri dan menyalahi hak. Ini kerana, kami melihat menjadi amalan kebiasaan dalam setiap pembelian buah-buahan adalah bersekali dengan biji-biji yang terdapat di dalamnya. Begitu juga wang hasil jualan buah-buahan yang dihasilkan adalah halal dan bersih.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini dapat membuka minda dan kefahaman kita semua dalam memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *