Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1002: JUAL TANAH UNTUK PERKUBURAN BUKAN ISLAM


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

tanah utk bukan islam.JPG

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan berkenaan menjual tanah kepada orang bukan Islam bagi tujuan membuat tanah perkuburan mereka. Adakah dibenarkan dalam Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum asal berjual beli dengan orang bukan Islam adalah harus. Ia termasuk dalam bab berbuat baik kepada mereka dalam perkara yang tidak dilarang syarak selagi mana mereka tidak termasuk dalam golongan yang memusuhi Islam dan umat Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ 

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahinah: 8)

Demikian juga terdapat nas-nas hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW turut menjalankan aktiviti ekonomi dengan golongan bukan Islam. Antaranya seperti berikut:

Hadith Abdullah bin Mas’ud R.A:

أَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْبَرَ اليَهُودَ: أَنْ يَعْمَلُوهَا وَيَزْرَعُوهَا، وَلَهُمْ شَطْرُ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan tanah Khaibar kepada Yahudi untuk mengusahakannya dan bercucuk tanam padanya, mereka mendapat setengah apa yang terhasil daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2285)

Hadith Aisyah R.Anha bahawa:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW membeli makanan dari orang Yahudi dengan pembayaran bertangguh dan menjaminnya dengan menggadaikan baju besi baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2096) 

Justeru, para fuqaha bersepakat bahawa kesahihan akad jual beli tidak terkesan dengan perbezaan agama jika ia memenuhi syarat dan rukun jual beli tersebut. Maka tiada beza antara hukum berurusniaga sesama muslim atau muslim dengan bukan muslim. (Lihat Ahkam al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin fi al-Mu’amalat wa al-Ahwal al-Syakhsiyyah, 103, 125)

Walau bagaimanapun, hendaklah dengan syarat dalam urusniaga tersebut tidak mempunyai unsur-unsur membantu atau mendukung kekufuran dan kemaksiatan serta menyebabkan penghinaan terhadap agama Islam dan umat Islam. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi:

وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.

Maksudnya: “Telah ijma’ atau sepakat seluruh umat Islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh (haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka.” (Lihat Syarah Sahih Muslim, 11/40)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, penyoal ingin menjual tanahnya kepada orang bukan Islam bagi tujuan menjadikannya tanah perkuburan. Hal ini tidak termasuk dalam kategori membantu kekufuran atau kemaksiatan yang ditegah syarak. Ini kerana, mengebumikan mayat tanpa mengira Islam dan bukan Islam adalah dituntut sebagai menghormati kemuliaan jasad manusia. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah al-Isra’: 70)

Lantaran itu, dalam peristiwa peperangan Badar, Rasulullah SAW tidak membiarkan mayat-mayat tentera musyrikin yang terbunuh bergelimpangan di atas tanah, tetapi baginda mengarahkan para sahabat supaya meletakkan mayat-mayat tersebut di dalam perigi kosong berdekatan. (Lihat Tahzib al-Athar, 2/517)

Ini menunjukkan, memudahkan pengebumian mayat orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara mungkar yang ditegah syarak. Justeru, hukum orang Islam menjual tanah bagi tujuan tersebut adalah HARUS.

Pun begitu, hendaklah dilihat terlebih dahulu keutamaan dalam penjualan tanah tersebut. Jika di sana terdapat keperluan umat Islam yang perlu didahulukan seumpama untuk pembinaan masjid atau perkuburan Islam, maka seharusnya tanah tersebut dijual kepada umat Islam. Selain itu, perlu juga diteliti kesesuaian kedudukan tanah tersebut sama ada ia wajar dijadikan tanah perkuburan bukan Islam atau tidak. Ini bagi mengelakkan timbul isu-isu sensitif yang melibatkan umat Islam atau agama lain jika ia dibuat di dalam kawasan yang berdekatan dengan tempat tinggal golongan yang tidak menganut agama tanah perkuburan tersebut. Akhirnya, kami menasihatkan agar hal seumpama ini dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *