Darulkautsar.net - Islam, aqidah, bidaah, syariat, sirah - http://www.darulkautsar.net
Asas > Mustholah Hadis > Taisir Mustolahul-Hadis - Bab Kedua: Sifat-Sifat Orang Yang Diterima Periwayatannya Dan Perbincangan Tentang Al-Jarh Wa Al-Ta’dil - http://www.darulkautsar.netarticle.php?ArticleID=1080

BAB KEDUA

 

SIFAT-SIFAT ORANG YANG DITERIMA PERIWAYATANNYA DAN PERBINCANGAN TENTANG AL-JARH WA AL-TA’DIL

 

 

Perbahasan Pertama : Perawi Dan Syarat-Syarat Penerimaannya

Perbahasan Kedua    : Gambaran Umum Tentang Kitab-Kitab Al-Jarh Wa Al-Ta’dil

Perbahasan Ketiga    : Tingkatan Al-Jarh Wa Al-Ta’dil




PERBAHASAN PERTAMA: PERAWI DAN SYARAT-SYARAT PENERIMAANNYA

 

Pendahuluan

 

Oleh kerana hadis-hadis Rasulullah s.a.w. sampai kepada kita melalui para perawi dan merekalah paksi utama untuk mengetahui kesahihan dan kepalsuan hadis, maka ulama hadis telah memberi perhatian khusus terhadap para perawi dan meletakkan beberapa syarat yang teliti lagi kemas sekaligus membuktikan kedalaman pemerhatian, kemantapan pemikiran dan keunggulan metodologi mereka.

 

Syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama hadis pada perawi serta syarat-syarat lain bagi penerimaan hadis dan riwayat tidak pernah dicapai oleh mana-mana agama sekalipun pada zaman moden ini walaupun ahli-ahlinya mendakwa bahawa mereka memiliki metodologi dan ketelitian. Mereka tidak meletakkan syarat pada pelapor berita seperti syarat yang dimestikan oleh ulama hadis pada perawi meskipun syarat yang lebih rendah daripada itu. Kebanyakan berita-berita yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita rasmi tidak dapat dipercayai dan diyakini. Ini kerana para pelapornya tidak dikenali. Bukankan kebinasaan cerita-cerita itu kerana pelapor-pelapornya? Selang beberapa waktu sahaja ternyata kebanyakan berita itu adalah palsu.

 

 

Syarat-Syarat Penerimaan Perawi

 

Majoriti ulama hadis dan fiqh telah sepakat bahawa dua syarat asas mesti ada pada seorang perawi, iaitu:

  1. Keadilan iaitu perawi itu mestilah seorang muslim, baligh, waras, tidak mempunyai faktor-faktor kefasikan dan perkara-perkara yang mencacatkan maruah.
  2. Ketepatan (ضبط) iaitu tidak bercanggah dengan perawi-perawi thiqah, tidak lemah ingatan, tidak ada kesilapan yang jelek, tidak lalai dan tidak banyak kekeliruan.

 

 

Bagaimana Keadilan Terbukti

 

Keadilan dibuktikan dengan salah satu daripada perkara berikut:

  1. Penjelasan oleh ulama al-Jarh wa al-Ta’dil tentang keadilannya atau salah seorang daripada mereka.
  2. Dengan sebab terkenal dan masyhur. Sesiapa terkenal dengan keadilannya di kalangan ahli ilmu, memadai tersebar pujian terhadapnya dan tidak perlu lagi kepada penjelasan daripada ulama al-Jarh Wa al-Ta’dil. Mereka itu termasuklah para imam seperti imam yang mazhab empat, Abu Hanifah, Malik, al-Syafi`i dan Ahmad bin Hanbal, Sufyan Ibn ‘Uyainah, Sufyan al-Thauri, al-Auza’i dan lain-lain.

 

 

Mazhab Ibn Abd Al-Barr Tentang Pembuktian Keadilan

 

Ibn Abd al-Barr berpendapat bahawa setiap pembawa ilmu yang terkenal dengan memberi perhatian terhadap ilmu dianggap sebagai adil sehinggalah terbukti tajrih kepadanya. Beliau berhujah dengan hadis:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين


“Ilmu ini dibawa pada setiap generasi oleh orang-orang yang adil yang menghindarkan daripadanya penyelewengan orang-orang yang melampau, pemalsuan golongan sesat dan takwilan golongan jahil.[1]

 

Bagaimanapun pendapat beliau ini tidak dipersetujui oleh para ulama kerana status hadis ini tidak sahih. Jika diandaikan sahih maka maknanya hendaklah ditafsirkan sebagai perintah iaitu hendaklah pada setiap generasi orang-orang yang adil membawa ilmu ini. penafsiran ini berdasarkan ada juga perawi yang tidak adil membawa ilmu ini.

 

Bagaimana Mengetahui Ketepatan Perawi

 

Ketepatan perawi dapat diketahui berdasarkan kepada kesamaan riwayatnya dengan perawi-perawi thiqah yang tekun dalam periwayatan hadis. Jika pada kebanyakan keadaan beliau menyamai mereka dalam periwayatan maka dia dianggap sebagai seorang yang dhabit (seorang yang tepat dan kuat ingatan) tidak mengapa jika jarang-jarang terdapat perbezaan dengan riwayat perawi-perawi lain. Sebaliknya jika berlaku banyak percanggahan maka cacatlah ketepatannya dan dia tidak boleh dijadikan hujah.

 

 

Adakah Tajrih Dan Ta‘dil Diterima Dengan Tanpa Alasan?

 

Mengikut pendapat yang masyhur dan sahih, ta’dil diterima tanpa disebutkan sebabnya kerana sebabnya terlalu banyak dan sukar untuk dihitung kerana ulama yang menta’dilkan perawi terpaksa menyebutkan: “Dia tidak melakukan ini, tidak melakukan itu.. atau dia buat ini, dia buat itu….dan sebagainya.

 

Tetapi tajrih tidak diterima kecuali dengan menjelaskan sebab kerana sebabnya tidak sukar untuk dinyatakan dan masyarakat berbeza pendapat tentang sebab-sebab tajrih. Kadang-kadang ulama mentajrihkan perawi tanpa tajrih yang wajar. Ibn al-Shalah berkata: “Inilah yang jelas diakui dalam ilmu fiqh dan usul. Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan itu adalah mazhab imam yang hafiz hadis dan pengkritik hadis seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Oleh kerana itu, al-Bukhari berhujah dengan sekumpulan perawi yang ditajrihkan oleh orang lain seperti ‘Ikrimah, ‘Amar bin Marzuq. Muslim pula berhujah dengan Suwaid bin Sa’id dan sekumpulan perawi yang dipertikai oleh orang lain. Begitu juga dengan Abu Daud. Ini menunjukan bahawa mereka berpendapat bahawa tajrih tidak terbukti kecuali dengan diterangkan sebabnya.

 

 

Adakah Tajrih Dan Ta’dil Terbukti Dengan Seorang Sahaja?

 

  1. Menurut pendapat yang sahih, ta’dil dan tajrih boleh sabit dengan seorang imam.
  2. Ada pendapat mengatakan perlu kepada dua orang imam.

 

 

Tajrih Dan Ta’dil Serentak Pada Perawi Yang Sama

 

Apabila berkumpul pada seorang perawi tajrih dan ta’dil maka:

  1. Menurut pendapat yang muktamad tajrih diutamakan jika tajrih mufassar (dinyatakan sebab).
  2. Dikatakan jika bilangan ulama yang menta’dilkan itu ramai maka ta’dil didahulukan. Tetapi pendapat ini daif dan tidak dipegang.

 

 

Hukum Periwayatan Perawi Adil Daripada Seseorang Individu

 

Periwayatan seorang perawi adil daripada seseorang tidak boleh dianggap sebagai ta’dil. Ini merupakan pendapat sebilangan besar ahli hadis dan inilah pandangan yang sahih. Ada juga yang mengatakan itu merupakan ta’dil untuk perawi tersebut.

Amalan dan fatwa seorang alim mengikut sesebuah hadis bukanlah merupakan keputusan kepada kesahihannya. Demikian juga percanggahannya dengan hadis itu bukan merupakan kritikannya terhadap kesahihan hadis tersebut dan tidak juga terhadap perawi-perawinya. Ada dikatakan, itu adalah keputusannya tentang kesahihan hadis itu. Pendapat ini telah diakui sahih oleh al-Amidi dan ulama lain dari kalangan ahli usul. Dalam masalah ini ada perbahasan yang panjang dan terperinci.

 

 

Hukum Periwayatan Perawi Yang Bertaubat Daripada Kefasikannya

 

  1. Diterima periwayatan perawi yang bertaubat daripada melakukan kefasikan.
  2. Tidak diterima periwayatan daripada perawi yang bertaubat daripada mereka-reka hadis atas nama Rasulullah s.a.w.

 

 

Hukum Periwayatan Daripada Perawi Yang Mengambil Upah Mengajarkan Hadis

 

  1. Setengah ulama tidak menerima periwayatan perawi yang mengambil upah kerana mengajarkan hadis. Antara mereka ialah, Imam Ahmad, Ishaq dan Abu Hatim.
  2. Setengah ulama yang lain menerima seperti Abu Nu’aim Fadhal bin Dukain.
  3. Abu Ishaq al-Syirazi memfatwakan harus mengambil upah bagi perawi yang tidak mampu menyara keluarganya kerana sibuk mengajarkan ilmu hadis.

 

 

Hukum Periwayatan Perawi Yang Dikenali Sebagai Bermudah Atau Menerima Talqin Atau Banyak Lupa

  1. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali sebagai bermudah atau longgar dalam menerima dan menyampaikan hadis seperti orang yang tidur ketika mendengar hadis atau menyampaikan hadis berdasarkan kepada naskhah yang tidak dibandingkan dengan nuskhah yang diakui.
  2. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali menerima talqin dalam hadis seperti ia dibacakan sesuatu hadis kemudian ia menyampaikannya tanpa mengetahui itu termasuk dalam hadisnya sendiri.
  3. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali dengan banyak lupa.

 

 

Hukum Periwayatan Perawi Yang Menyampaikan Hadis Kemudian Ia Lupa

 

Definisi perawi yang menyampaikan hadis dan ia lupa ialah seorang syaikh yang tidak mengingati riwayat hadis yang disampaikan oleh muridnya daripadanya.

 

Hukum periwayatannya:

 

  1. Ditolak, jika beliau menafikannya dengan tegas dengan mengatakan saya tidak pernah meriwayatkannya atau dia berdusta atas nama saya dan sebagainya.
  2. Diterima, jika beliau teragak-agak dalam menafikannya seperti ia mengatakan saya tidak tahu atau saya tidak ingat dan sebagainya.

 

 

Adakah Penolakan Terhadap Sebuah Hadis Itu Bermakna Salah Seorang Daripada Mereka Berdua (Syaikh Dan Muridnya) Telah Ditajrihkan?

 

Tidak boleh dianggap penolakan hadis itu sebagai mencacatkan keadilan salah seorang daripada mereka berdua, kerana masing-masing tidak boleh mentajrihkan satu sama lain.

 

Contoh

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah melalui Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman daripada Suhail bin Abi Soleh daripada bapanya daripada Abu Hurairah bahawa:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالْيَمِينِ مَعَ الشَّاهِد


Rasulullah s.a.w. telah memutuskan kes berdasarkan sumpah berserta saksi.

 

Abdul Aziz bin Muhammad al-Darawardi berkata: “Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman telah menceritakan kepada saya hadis ini daripada Suhail. Kemudian saya menemui Suhail dan bertanya kepadanya tentangnya dan beliau tidak mengetahuinya. Lalu saya mengatakan (kepadanya), Rabi’ah telah meriwayatkan hadis ini daripada anda.” Selepas itu, Suhail mengatakan Abdul Aziz telah menceritakan kepada saya Rabi’ah daripada saya bahawa saya meriwayatkan hadis ini kepadanya daripada Abu Hurairah.

 

 

Kitab-kitab yang paling masyhur:

 

Kitab Akhbar Man Haddatha Wa Nasiya oleh al-Khatib.

 



[1] Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam al-Kamil dan juga oleh ulama lain. Al-Iraqi mengatakan semua jalan hadis ini lemah, tidak boleh disabitkan satupun. Sebahagian ulama menilainya sebagai sahi kerana terdapat banyak jalan. Untuk pendetailan, rujuk, al-Suyuti, Tadrib al-Rabi Syarh Taqrib al-Nawawi.