Home / darulkautsar.net / Bahaya Syiah / MENYANGGAH SYIAH / PERSAMAAN SYIAH DENGAN YAHUDI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PERSAMAAN SYIAH DENGAN YAHUDI

Download PDF
Oleh: Ust Shamsuddin bin Abdul Rahman
PERTUBUHAN JARINGAN UMMAH (JARUM)
video seminar JARUM

Aspek persamaan Syiah dengan Yahudi bukan hanya dari sudut aqidah sahaja tetapi merangkumi sudut feqah. Hal ini tidak memeranjatkan kerana Syiah Rafidhah sememangnya diasaskan oleh seorang Yahudi tulin iaitu Abdullah bin Saba’.

1) Aqidah “Wasiat” Di Sisi Yahudi Dan Syi’ah.

Yahudi: Kemestian menentukan jawatan pengganti selepas nabi adalah melalui wasiat yang jelas atau disebut sebagai “secara nas”. Berkaitan perkara ini terdapat banyak nas dalam Taurat dan kitab-kitab Yahudi; dalam Sifir ‘Adad disebutkan arahan Allah supaya Nabi Musa melantik Yusya’ bin Nun sebagai penggantinya. [1]

Syi’ah: Kedudukan “Imamah“ atau “Al-Walayah” dalam ajaran Syi’ah adalah sebagai rukun agama yang paling utama berbanding rukun-rukun yang lain. Bahkan tidak akan sempurna iman tanpanya. Al-Kulaini meriwayatkan bahawa Ja’far Assodiq berkata: “Islam dibina di atas lima perkara iaitu solat, zakat, haji, puasa dan walayah.” Zurorah berkata: “Aku bertanya; kelima-lima itu yang manakah paling utama. Jawab Imam Ja’far: Al-Walayah”. [2]

Syi’ah beriktiqad bahawa “wasi” selepas Nabi s.a.w. adalah ‘Ali bin Abi Talib dan perlantikan ini ditentukan oleh Allah s.w.t. Ja’far Assodiq meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mempersaudarakan antara aku dan ‘Ali bin Abi Talib, mengahwinkan ‘Ali dengan puteriku di atas tujuh petala langit dan malaikat muqarrabbin menjadi saksi perkahwinan tersebut, Allah telah menjadikan ‘Ali sebagai (wasi) penggantiku …… ” [3].

Para ulamak dari kalangan Ahlussunnah dan Syi’ah menyebutkan bahawa Ibnu Saba’ lah yang memulakan aqidah wasiat dalam Islam dan semasa dalam agama Yahudi beliau telah menyebutkan wasiat tentang Yusya’ bin Nun. Shahrastaani menegaskan: “Sesungguhnya Abdullah bin Saba’ adalah orang yang mula-mula mencanangkan akidah jawatan imam kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib berdasarkan nas daripada Allah s.w.t” Ketika membicarakan tentang Ibnu Saba’, Shahrastaani menyebutkan: “Orang ramai mendakwa Ibnu Saba’ sebagai Yahudi yang memeluk Islam. Semasa Yahudinya beliau mengittiqadkan Yusya’ bin Nun sebagai wasi nabi Musa a.s dan semasa Islamnya beliau mengittiqadkan pula Ali sebagai wasi kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliaulah yang mula mencanangkan aqidah jawatan imam kepada Ali adalah dinaskan oleh Allah s.w.t. dan darinya juga bercabang kelompok Syiah ghulat.” [4] Ulamak Syiah bernama Annaubkhti juga berpendapat demikian. [5]

2) Yahudi Membataskan Kuasa Pemerintahan Kepada Keluarga Nabi Daud Manakala Syiah Membataskan Jawatan Imam Kepada Keturunan Husain r.a.

Yahudi: Dalam Sifr Hizqial (Orang Yahudi menisbahkan kitab ini sebagai kenyataan Allah s.w.t.) Allah menyebutkan bahawa Dia telah menghimpunkan bangsa Yahudi di satu tempat dan meletakkan mereka di bawah satu pemerintah (Raja) iaitu Daud dan seterusnya bangsa Yahudi terus menerus berada di bawah pemerintahan keturunan Daud. [6]

Syi’ah: Mereka meyakini, Nabi s.a.w. melantik (melalui wasiat) ‘Ali r.a. sebagai penggantinya dan seterusnya jawatan imam berpindah kepada Saidina Hasan dan seterusnya berpindah kepada Saidina Husain dan seterusnya jawatan itu berpindah kepada keturunan Husain sahaja hingga kepada Imam Syi’ah yang kedua belas iaitu al-Mahdi Muntazar. Untuk menyatakan persamaan Syi’ah dengan Bani Israil dari sudut bilangan Imam maka Assaduq (ابن بابويه القمي) membuat tajuk khusus iaitu:

أخرج الله عزوجل من بني إسرائيل إثنى عشر سبطا، ونشر من الحسن والحسين عليهما السلام إثنى عشر سبطا

Maksudnya: Allah s.w.t. telah melahirkan dari kalangan Bani Israil (Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahin) dua belas orang keturunannya (sebagai Imam) dan Allah telah melahirkan dari keturunan Hasan dan Husin dua belas orang keturunan. [7]

3) Aqidah Al-Masih Al-Muntazar Di Sisi Yahudi Dan Aqidah Al-Mahdi Al-Muntazar Di Sisi Syi’ah.

Yahudi: Mereka menanti seorang lelaki dari keturunan Daud yang akan memerintah alam ini. Lelaki berkenaan akan mengembalikan kegemilangan bangsa Yahudi dan akan mengarahkan bangsa-bangsa lain supaya tunduk dan menjadi hamba kepada bangsa Yahudi. Mereka menyebutkan watak yang akan lahir di akhir zaman ini sebagai “المسيح المنتظر”. Dalam kitab orang Yahudi terdapat dengan begitu banyak sekali kenyataan tentang “المسيح المنتظر”. [8]

Peristiwa dan fenomena yang akan berlaku semasa kemunculan al-Masih:

i. Beliau menyatukan bangsa Yahudi yang berada di setiap pelusuk alam ini dan menjadikan mereka satu jumlah tentera yang besar. Tempat perhimpunan mereka adalah di Bukit Ursyulim di Quds.

ii. Beliau akan membicarakan dan menjatuhkan hukuman kepada setiap orang yang menzalimi bangsa Yahudi dan kemudiannya menjadikan mereka sebagai hamba kepada bangsa Yahudi.

iii. Berlaku perubahan besar kepada alam ini. Allah akan menjadikan langit-langit dan bumi yang lain. Demikian juga matahari dan bulan akan hilang cahayanya.

iv. Berlaku perubahan kepada fizikal orang-orang Yahudi dan umur mereka menjadi panjang melebihi bangsa lain.

v. Rezeki melimpah ruah untuk bangsa Yahudi. Dalam kitab-kitab mereka digambarkan bukit mengeluarkan susu dan madu, bumi menjadi subur dan mereka memakai pakaian dari bulu lembut.

Syi’ah: Kepercayaan kepada Mahdi Muntazar merupakan aqidah yang paling utama dan disebut dalam hampir semua kitab mereka. Al-Mahdi yang dimaksudkan adalah Muhammad bin al-Hasan al-‘Askari iaitu Imam Syiah yang kedua belas yang biasa juga disebutkan dalam kitab mereka dengan nama “الحجة” dan juga “القائم”. [9] Golongan Syi’ah mendakwa al-Mahdi dilahirkan pada tahun 255 H dan telah bersembunyi di Sardab [10] pada tahun 260 H. Mereka menunggu kemunculannya di akhir zaman dengan maksud untuk sama-sama membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka [11] dan penganut Syi’ah sentiasa menziarahi tempat persembunyian al-Mahdi ini. [12] Banyak pula timbul cerita-cerita khurafat yang dikaitkan dengan al-Mahdi ini, yang tidak mungkin akan diterima oleh akal yang waras sehinggakan kanak-kanak pun sukar untuk mempercayainya.

Fenomena semasa kemunculan al-Mahdi:

i. Ibunya yg bernama Narjis tidak menyedari beliau mengandungkan al-Mahdi dan yang lebih ganjil lagi beliau mengandungkan al-Mahdi dalam satu malam dan melahirkannya pada malam yang sama.[13]

ii. Ketika lahir, al-Mahdi menyeru nama Allah s.w.t. dalam bahasa ‘Ibrani. [14]

iii. Al-Mahdi akan menghimpunkan seluruh penganut Syi’ah yang berada di setiap pelusuk alam ini. [15]

iv. Al-Mahdi akan membongkar dan mengeluarkan para sahabat dari kubur-kubur mereka dan akan mengazab mereka. [16]

v. Al-Mahdi akan membunuh orang ‘Arab dan bangsa Quraisy. [17]

vi. Al-Mahdi akan merobohkan Ka’bah, Masjid Haram, Masjid Nabawi dan merobohkan setiap masjid umat Islam.[ 18]

vii. Al-Mahdi akan menyeru manusia kepada satu agama baru, kitab baru dan syari’at yang baru. [19]

viii. Al-Mahdi akan menakluki bandar-bandar besar dengan menggunakan TabutYahudi. Bagi orang-orang Yahudi, tabut mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan mereka juga berkeyakinan apabila tabut dibawa bersama dalam peperangan mereka tidak akan tewas. [20]

ix. Semasa kewujudan al-Mahdi orang Syi’ah akan memiliki kekuatan luar biasa iaitu menyamai empat puluh lelaki biasa begitu juga tahap pendengaran dan penglihatan mereka melebihi bangsa lain. [21]

x. Al-Mahdi akan berhukum dengan keputusan keluarga Daud bukan dengan al-Quran dan Assunnah. [22]

4) Aqidah “Ar-raj’ah” Di Sisi Yahudi Dan Syi’ah.

Yahudi: Aqidah raj’ah merupakan aqidah asas dalam ajaran agama Yahudi. Terdapat nas yang begitu banyak dalam kitab-kitab suci mereka yang membicarakan tentang akidah raj’ah. Kitab suci agama Yahudi membahagikan raj’ah kepada tiga tajuk utama, iaitu:

a) Kebangkitan semula sebahagian orang-orang Yahudi yang telah mati dan fenomena ini berlaku di zaman Nabi Musa a.s.

b) Kebangkitan semula orang Yahudi ketika munculnya al-Masih al-Muntazar.

c) Kemampuan para nabi dan para pendeta Yahudi menghidupkan semula orang Yahudi yang telah mati.

Syi’ah: Makna raj’ah mengikut para ulamak Syi’ah ialah kehidupan selepas mati dan ianya berlaku sebelum kiamat. [23] Berdasarkan kepada kenyataan para ulamak Syi’ah yang terdahulu dan kini tentang raj’ah, maka boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

a) Makna raj’ah ialah hidup kembali selepas mati sebelum qiamat.

b) Raj’ah hanya berlaku kepada orang yang mencapai darjat tinggi dalam keimanan dan orang yang melampau dalam kejahatan.

c) Raj’ah golongan jahat kerana mereka belum lagi mendapat balasan dari Allah s.w.t. Adapun kalangan jahat yang telah diazab dan dimusnahkan oleh Allah maka tidak akan berlaku raj’ah kepada mereka. Para ulamak Syi’ah Imamiyyah menukilkan bahawa telah berlaku ijma’ tentang raj’ah. [24]

5) Yahudi Dan Syi’ah Melakukan Pembohongan Terhadap Allah s.w.t

Yahudi: Mereka telah menisbahkan sifat-sifat tidak sempurna kepada Allah s.w.t. seperti menyesal, sedih dan terkilan. Banyak kenyataan dalam kitab-kitab Yahudi yang menyebutkan mereka menisbahkan sifat-sifat berkenaan terhadap Allah s.w.t. Tersebut dalam Sifr Khuruj bahawa Allah menyesal: “ …. Maka Tuhan menyesal kerana akan melakukan kejahatan terhadap bangsa Bani Israil”. [25]

Antara nas yang menunjukkan mereka menisbahkan kepada Allah sifat sedih dan terkilan terhadap perbuatanNya sendiri, adalah kenyataan dalam Sifr Takwin: “Tuhan telah melihat banyak kejahatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi dan semua yang tergambar dalam pemikiran Tuhan pada setiap hari adalah kejahatan. Lalu Tuhan bersedih dan terkilan kerana telah mencipta manusia di muka dunia ini. Maka Tuhan berfirman: “Hapuskan semua manusia dari muka bumi. Manusia ini berada bersama binatang ternakan dan binatang melata serta burung-burung di langit. Aku sedih kerana telah menciptakan mereka.”[26] Mafhum dari kenyataan ini bahawa Tuhan sebelum itu tidak mengetahui bahawa akan lahir dari manusia banyak kejahatan dan bila nyata kejahatan manusia maka Tuhan bersedih kerana telah menciptakan manusia.

Orang Yahudi juga telah menisbahkan sifat lupa kepada Allah s.w.t. seperti yang tersebut dalam ratapan Irmiya: “Kenapa Engkau melupakan kami berabad-abad dan mengabaikan kami sepanjang zaman, kembalikan kami kepadaMu kalau tidak kami akan menjadi murtad”.[27]

Syi’ah: Mereka telah menisbahkan sifat lupa (Bada’) kepada Allah s.w.t. Dari sudut bahasa perkataan bada’ memberikan dua makna:

a. Nyata selepas tersembunyi (الظهور بعد الخفاء). [28]

b. Timbul pandangan lain (نشأة رأي جديد ). [29]

Berdasarkan kedua-dua makna ini ianya akan memberi maksud “tidak tahu kemudian baru tahu” dan sifat ini adalah mustahil bagi Allah s.w.t. Syi’ah telah mengharuskan menisbahkan bada’ atau jahil kepada Allah s.w.t. Bahkan mereka telah terlajak dalam hal ini sehingga menjadikan fahaman ini sebagai suatu ajaran yang asas dalam agama mereka.

Terdapat banyak riwayat dalam kitab-kitab Syi’ah yang menyebutkan betapa pentingnya aqidah ini bagi mereka. Dalam kitab Usul Kafi terdapat dalam tajuk besar iaitu “kitab tauhid” dan di bawah tajuk ini ada tajuk kecil iaitu “bab al-bada’”, yang memuatkan beberapa riwayat yang menyebutkan kelebihan aqidah bada’, antaranya: Diriwayatkan dari Zurarah bin A’yun yang diambil dari salah seorang dari kalangan mereka berdua a.s.: “Tidak ada ibadat kepada Allah yang menyamai bada’”. Ulamak Syi’ah telah ijma’ dalam mensabitkan akidah bada’ kepada Allah s.w.t. [30] Bahkan al-Khuii dalam kitabnya yang lain menyebutkan akidah bada’ merupakan perkara sama’ii yang tidak ada ruang akal untuk memikirkannya kerana perkara ini diceritakan oleh para Imam a.s. [31] Golongan Syi’ah telah meriwayatkan dari Ja’far Assodiq bahawa beliau berkata: “Tidak berlaku bada’ kepada Allah sebagaimana berlakunya bada’ kepada Allah berhubung anakku Ismail”. [32]

6) Yahudi Dan Syi’ah Meyelewengkan Kitab Allah s.w.t.

Yahudi: Mereka telah menyelewengkan kitab “العهد العتيق” iaitu kitab suci orang Yahudi. Kitab ini mengandungi tiga puluh sembilan sifr. Lima yang pertama mereka nisbahkan kepada kepada Nabi Musa a.s dan mereka menganggapnya ditulis oleh Nabi Musa sendiri. Kalangan Yahudi mendakwa sifr al-‘Ahdul’atiq yang lain ditulis oleh nabi-nabi Bani Israil yang datang selepas nabi Musa.

Bukti berlaku tahrif kitab Taurat: Sabit dalam al-Quran bahawa Allah telah mengurniakan Taurat kepada Musa dan orang Yahudi sendiri telah mencatitnya namun mereka jugalah yang bertanggungjawab merubahnya. Allah berfirman:

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَى خَائِنَةٍ مِنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.”

Jelas melalui ayat ini bahawa Taurat yang sebenar telah hilang keasliannya, antaranya dengan sebab perbuatan khianat mereka dan dengan sebab mereka lupa sebahagiannya. Timbul kemusykilan, siapa yang menulis kembali Taurat selepas ianya ditahrif? Mengikut kenyataan ulamak yang mengkaji hal ini, yang menulis Taurat selepas ditahrifkan ialah ‘Azral Warraq iaitu selepas Nebukadnazzar raja Babylon menyerang Ursyulim dan meruntuhkan tempat ibadat dan membunuh sebilangan besar orang Yahudi. Ibnu Hazam menyebutkan bahawa ‘Azral Warraq adalah yang bertanggungjawab mengimlakkan (berdasarkan ingatannya) Taurat kepada orang Yahudi lalu mereka menulisnya dan ini berlaku selepas tujuh puluh tahun robohnya Baitul Maqdis.[33] Imam Abu al-Ma’aali al-Juwaini menyebutkan imla’ ‘Azral Warraq ke atas Taurat berlaku 545 tahun sebelum kebangkitan Nabi ‘Isa. [34]

Syi’ah: Mereka meyakini Quran telah diselewengkan dan dipinda, telah ditambah dan dikurangkan ayat-ayatnya. Jumlah yang dikurangkan itu melebihi dua kali ganda dari jumlah Quran yang dimiliki oleh umat Islam sekarang. Mereka juga berkeyakinan pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini adalah para sahabat Nabi s.a.w. terutamanya tiga khalifah pertama umat Islam iaitu Abu Bakar As-Siddiq, ‘Umar Al-faaruq dan ‘Uthman Zunnurain r.a.hum

Syi’ah mendakwa ayat-ayat yang dibuang adalah yang berkaitan dengan dua topik besar iaitu;

a. Kelebihan ahlulbait khususnya ‘Ali bin Abi Talib dan juga nas tentang imamah ‘Ali dalam Quran.

b. Kejelikan golongan Muhajirin dan Ansar yang mana mereka dianggap munafiq oleh puak Syi’ah dan masuknya mereka dalam Islam hanya untuk menipu.

Majoriti ulamak Syi’ah di kurun pertama hingga akhir kurun ketiga belas menganut aqidah tahrif al-Quran kecuali empat orang sahaja yang menolak akidah tahrif (Ijma’ ulamak Syi’ah berlaku pada kurun pertama hingga kurun ketiga tentang tahrif al-Quran). Namun, mengikut kajian para ulamak Islam terhadap hasil tulisan keempat-empat ulamak syiah ini yang kononnya menolak tahrif, sebenarnya mereka menerima akidah tahrif dan penolakkan itu hanya secara bertaqiyyah. Empat tokoh Syiah yang dimaksudkan ialah Ibnu Babuwaih al-Qummi yang digelarkan Assoduq (w 481 H), al-Murtadha (w 436 H), Abu Ja’far Attabarsi murid al-Murtadha (w 460 H) dan Abu ‘Ali Attabarsi (w 548 H).

Bukti mereka berkeyakinan berlaku tahrif: Assoduq meyebutkan dalam kitabnya من لا يحضره الفقيه sebagai berdalil akan keharusan mut’ah, katanya: Rasulullah telah menghalalkan mut’ah dan Baginda tidak mengharamkannya sampai wafatnya dan Ibnu ‘Abbas telah membaca ayat [35],:

فما استمتع به منهن إلى أجل مسمى فآتوهن أجورهن فريضة من الله

Ayat yang betul adalah:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Attusi telah meriwayatkan beberapa riwayat yang menunjukkan berlaku tahrif Quran. Antaranya: Beliau telah meriwayatkan dari Muhammad bin Ibrahim katanya: Saya telah mendengar Ja’far bin Muhammad a.s. membaca ayat ;

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آَدَمَ وَنُوحًا وَآَلَ إِبْرَاهِيمَ وَآَلَ عِمْرَانَ وآل محمد عَلَى الْعَالَمِينَ

Kata Muhammad: Beginilah ayat ini diturunkan. [36]

Ayat yang betul adalah:

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آَدَمَ وَنُوحًا وَآَلَ إِبْرَاهِيمَ وَآَلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ (آل عمران:33)

Attabarsi membaca ayat: غير الضالين عمر بن الخطاب . Beliau telah meriwayatkan bacaan ini dari Ali a.s. [37]

Tokoh-tokoh Syi’ah yang memperakui aqidah tahrif al-Quran (dari kurun pertama hingga akhir kurun ke tiga belas):

1. Sulaim bin Qais al-Hilali (Kitab Sulaim Bin Qais – w 90 H).

2. Assoffar (Basoir Addarajat – w 290 H).

3. ‘Ali bin Ibrahim al-Qummi (Tafsir al-Qummi – w 307).

4. Muhammad bin Ya’kub al-Kulaini (al-Kafi – w 328 H). Muhaddis agung Syi’ah, merupakan murid al-Qummi dan karyanya iaitu al-Kafi dianggap oleh puak Syi’ah setaraf kitab Sahih al-Bukhari.

5. Muhammad bin Mas’uud bin ‘Iyash yang terkenal dengan al-‘Iyashi (Tafsir al-‘Iyashi iaitu antara tafsir utama Syi’ah- w 340 H).

6. Al-Mufid (AwailulMaqalaat, beliau dianggap salah seorang pengasas Syi’ah – w 413 H).

7. Abu Mansur Ahmad bin Mansur Attabarsi (al-Ihtijaj – w 620 H).

8. Al-Faidh al-Kasyani merupakan ahli tafsir terkemuka Syiah (Tafsir Assofi – w 1091 H).

9. Muhammad Baqir al-Majlisi yang dikenali sebagai Syaikhul Islam (Biharu al-Anwar – w 1111 H).

10. Ni’matullah al-Jazairi (al-Anwar Annu’maniyyah -w1112 H)

11. Anuri Attabarsi (Faslul Khitab Fi Isbat Tahrif Kitab Rabb al-Arbab, memuatkan ribuan riwayat yang dinisbahkan kepada para imam mereka tentang berlakunya tahrif Quran (w1320H).

Para ulamak Syi’ah mula takut dan berhati-hati untuk menyatakan secara terbuka akidah tahrif al-Quran selepas kurun ke tiga belas hingga ke zaman kita ini. Ketakutan ini timbul selepas tokoh mereka Attabarsi menulis kitab “Faslul Khitab” (pada tahun 1292 H) yang telah mendedahkan tembelang aqidah mereka yang begitu jelek. Kitab ini telah mendedahkan rupa asal mereka pada pandangan umat Islam. Para ulamak Islam telah mengutuk serta mendedahkan siapa mereka yang sebenarnya. Puak Syi’ah tiada pilihan melainkan mereka berlindung di sebalik tirai taqiyyah dengan menulis buku yang menolak akidah tahrif dan disebarkan di kalangan Ahlussunnah, bahkan Syi’ah sanggup mendakwa ijma’ ulamak mereka bahawa al-Quran bersih dari sebarang pindaan. Mereka juga dengan tegas mengatakan jika ada mana-mana pihak yang mendakwa Syi’ah beraqidah tahrif maka orang itu jahil tentang ajaran Syi’ah atau sengaja berdusta dengan tujuan memburukkan Syi’ah. <href=”#_ftn11″>[38]

 

Rujukan
[1] Ishah ketujuh dan kelapan, perenggang 15 dan 23.
[2] Al-Kulaini, Usul Al-Kafi: ljd:2, m/s: 18.
[3] Amali Assoduq, m/s: 108.
[4] Al-Milal Wannihal, jld: 1, m/s: 174.
[5] Firaqussyiah, m/s: 22.
[6] Ishah ketujuh dan ketiga puluh, prgn: 21,25).
[7] Al-Khisal, m/s: 475-476.
[8] Sifr Zakaria, Ishah kesembilan, prgn: 9,10, Ishah kesebelas dan keenam puluh, prgn: 1,2.
[9] Al-Irsyad Syeikh Al-Mufid, m/s: 363, Kasyfu Al-Ghummah Al-Irbili, jld: 2 m/s: 437.
[10] Sebuah bandar yg terletak di antara Baghdad dan Tikrit, di sebelah timur sungai Dijlah, bandar ini telah runtuh dan musnah.
[11] Al-Irsyad Syeikh Al-Mufid, m/s: 346, Kasyfu Al-Ghummah Al-Irbili, jld: 2 m/s: 446.
[12] Muhsin ‘Usfuur ulamak kini Syi’ah menyebutkan dalam kitab Misbahuljannat, m/s: 255; “Disunatkan menziarahi Al-Mahdi di setiap masa dan dari setiap tempat dan juga sunat berdoa agar dipercepatkan kemunculannya.”
[13] Kamaluddin Watamaamunni’mah, m/s: 424, 425.
[14] Al-Ghaibah oleh Annu’mani, m/s: 169, dipetik dari kitab الشيعة والتشيع Ihsan Ilahi Zahir, m/s: 371.
[15] Bihar Al-Anwar olh Muhammad Baqir Al-Majlisi, jld: 52, m/s: 291, ketika menghuraikan ayat 148 (البقرة): أينما تكونوا يأت بكم الله جميعا””.
[16] Bihar Al-Anwar oleh Muhammad Baqir Al-Majlisi, jld: 52, m/s: 386.
[17] Bihar Al-Anwar oleh Muhammad Baqir Al-Majlisi, jld: 52, m/s: 355.
[18] Arraj’ah oleh Al-Ihsaii, m/s: 184.
[19] Aj-Ghaibah, m/s: 154.
[20] Arraj’ah oleh Al-Ihsaii, m/s: 156.
[21] Raudhah Al-Kafi oleh Al-Kulaini, jld: 8, ms/: 241.
[22] Al-Kafi oleh Al-Kulaini, jld: 1, m/s: 398, Bsaairudarajat olh Asafar, m/s: 278.
[23] Ahli hadis Syi’ah yang agung Muhamad bin Hasan Al-Hurru Al-‘Amili menyebutkan dalam kitabnya Al-Iiqaz Minalhaj’ah Fi Isbattirraj’ah, m/s: 29.
[24] Al-Iiqaz Minalhaj’ah Fi Isbattirraj’ah, m/s:4 2.
[25] Ishah kedua dan ketiga puluh, perenggan 12,14.
[26] Ishah yang keenam, perenggan: 5,8.
[27] Ishah yang kelima, perenggan: 20,21.
[28] Al-Qamusulmuhit, jld: 3, m/s: 302.
[29] Al-Qamusulmuhit, jld: 3, m/s: 302.
[30] Al-Bayan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Khuii, m/s: 396.
[31] Al-Bayan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Khuii, m/s: 310.
[32] Kamaluddin Watamaamunni’mah oleh Assaduq, m/s: 69. Firaqussyi’ah oleh Annaubakhti, m/s: 64. Al-Anwar Annu’maniyyah oleh Al-Jazairi, jld:1, m/s: 359.
[33] Al-Fasl, jld: 1, m/s: 298.
[34] Syifau Al-Ghalil Fi Bayani Ma Waqa’a Fi Attaurat Walinjil Minattabdil, m/s: 31.
[35] Malla Yahdhuruhul Faqih, jld: 3, m/s: 299,
[36] Amali Attusi, m/s: 306.
[37] Majma’ul Bayan, jld: 1,m/s: 28.
[38] ‘Abdul Hussin Al-Musawi: Ajwibah Masail Jarullah, m/s: 33,34. Muhsin Amin, A’ayan Asyi’ah, jld:1, m/s: 41.
Download PDF

Check Also

Al-Quran Sebenar Tiga Kali Ganda

Post Views: 232 Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookGoogle+Digg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *