Breaking News
Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #648: PERAWAT "MENURUN" DALAM RAWATAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #648: PERAWAT "MENURUN" DALAM RAWATAN

Download PDF

Soalan: Apakah hukum berubat dengan seseorang dengan kaedah “menurun”?

Jawapan:

Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu dikuasai oleh jin atau jin-jin yang meresap dalam jasad, menyebabkan individu berkenaan tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Upacara-upacara dan tindak-tanduk yang dilakukan setelah itu bergantung kepada tujuan menurun itu dilakukan.

Menurun ini dapat difahami dalam tiga bentuk; tahdir al-arwah (menghadirkan roh-roh) ataupun tanasukh al-arwah (persalinan roh/reinkarnasi) dan istinzal al-arwah. Kebiasaannya ia merujuk kepada kaedah yang sama. Bomoh atau pawang yang sedang melakukan rawatan akan “berubah” menjadi “individu lain” dengan suara dan perwatakan yang berbeza. Ada yang memperkenalkan diri sebagai Bonda, Raja Bunian, pahlawan tertentu atau wali-wali dan nabi-nabi tertentu.

Memetik fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berhubung amalan tahdir al-arwah, beliau menyatakan bahawa ianya tidak mempunyai asas daripada al-Qur’an dan al-Sunna serta satu pembohongan semata-mata. (al-Fatawa, m. 19)

Firman Allah SWT,

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُمْ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya: Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

(Surah Fussilat: 25)

Melibatkan bantuan daripada jin adalah salah satu bentuk syirik kepada Allah SWT. Walaupun ianya mungkin boleh berhasil (dengan izin Allah jua), amalan tersebut tetap bersalahan dengan syarak, berdasarkan ayat al-Qur’an di atas. Jin dan syaitan akan sedaya upaya menyesatkan manusia dengan pelbagai cara apatah lagi yang kelihatannya baik dan tidak bertentangan dengan Islam.

Kesimpulan

Firman Allah SWT,

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

`Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Sura al-Jin: 6)

Kami berpandangan bahawa pengamalan menurun adalah syirik dan haram dilakukan. Bagi yang pernah terlibat, hendaklah bertaubat kepada Allah SWT. Mesyuarat Panel Kajian Aqidah ke-25/2003 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil keputusan bahawa pengamalan tahdhir arwah adalah haram. Kami menyeru umat Islam supaya meninggalkan amalan-amalan yang membawa kepada syirik dan khurafat dan mempercayainya. Usaha dan ikhtiar yang ingin dilakukan untuk merawat apa jua masalah, hendaklah menepati kehendak syarak.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE-116: KEDUDUKAN SUNNAH DI SISI AL-QUR’AN

    Mukadimah Akhir-akhir ini, kita melihat masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan sunnah di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>