Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Masyarakat & Amalan Semasa / SEJAUH MANA BID’AHNYA MEMBUAT BUBUR ASYURA`
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SEJAUH MANA BID’AHNYA MEMBUAT BUBUR ASYURA`

Download PDF
Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

Apabila masuknya bulan Muharram maka ada segelintir dari masyarakat yang tidak sabar-sabar untuk mengadakan acara membuat bubur Asyura sebagaimana tiba bulan Rabi Awwal mereka bersiap sedia untuk mengadakan jamuan Maulud.

Hukum asal membuat apa-apa pun makanan adalah harus selagi mana bahan kandungannya dibenarkan oleh syara’. Tetapi mengaitkannya dengan unsur keagamaan adalah satu perkara yang lain yang perlu diberikan perhatian yang serius kerana ia akan menjadikannya sebagai bid’ah.

Bagi mereka yang mendakwa adalah sunat memasak bubur Asyura, mereka beralasan dengan dalil-dalil berikut:

1. Kisah Bahtera Nuh

حدثنا عباد بن يعقوب الأسدي قال ، حدثنا المحاربي، عن عثمان بن مطر، عن عبد العزيز بن عبد الغفور ، عن أبيه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: في أول يوم من رجب ركب نوح السفينة ، فصام هو وجميع من معه، وجرت بهم السفينة ستةَ أشهر، فانتهى ذلك إلى المحرم، فأرست السفينة على الجوديّ يوم عاشوراء، فصام نوح ، وأمر جميع من معه من الوحش والدوابّ فصامُوا شكرًا لله .

Diriwayatkan bahawa pada hari pertama bulan Rejab, Nabi Nuh menaiki bahteranya lalu baginda bersama dengan pengikutnya di atas bahtera itu berpuasa. Kapal itu belayar selama enam bulan sehinggalah pada bulan Muharram lalu ia terdampar di atas bukit Judiy pada hari Asyura` lalu Nabi Nuh berpuasa dan mengarahkan orang yang bersamanya berpuasa termasuklah haiwan-haiwan. Mereka pun berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah. (Tafsir al-Tabari, jil. 15, hal. 335)

Riwayat ini dari segi sanadnya tidak kuat. Pertama: ‘Uthman bin Matar, adalah seorang yang dha’if, munkar al-hadith dan matruk.

Kedua, Abdul ‘Aziz bin Abdul Ghafur itu nama yang diterbalikkan. Sepatutnya ‘Abdul Ghafur bin ‘Abdul ‘Aziz, seorang pendusta besar.

Jika ada sanad yang sahih sekalipun tentang riwayat ini, asebenarnya apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh ialah berpuasa pada hari Asyura` dan bukannya memasak makanan tertentu.

2. Hadis Abu Hurairah:

عن أبي هريرة قال دعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بالبركة في ثلاثة السحور والثريد والكيل

Rasulullah s.a.w. mendoakan keberkatan pada tiga perkara, bubur, sahur, dan sukatan. (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat, no: 6866)

Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mewajarkan amalan membuat bubur Asyura kerana hadis ini adalah umum dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil kerana bubur Asyura itu dikhususkan hanya pada bulan Muharram dan dikaitkan pula dengan Nabi Nuh a.s.

Soal membuat makanan yang istimewa dan berbelanja lebih pada hari Asyura maka itu tidak ada dalil yang sahih yang menganjurkannya. Sesetengah pihak berhujah dengan riwayat ;

من وسع على عياله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته

Sesiapa membelanjakan untuk ahli keluarganya dengan bermurah hati pada hari ‘Asyura` maka Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.

Walaupun riwayat ini mempunyai banyak jalur sanad namun tiada satu pun darinya terselamat dari kritikan para ulama hadis. Antara ulama yang menolak riwayat ini, Ibn al-Qayyim, Mulla Ali al-Qari dan ramai lagi.

Penilaian dan Ulasan

Pada asasnya, tidak ada bid’ah dalam perkara adat bid’ah kerana bid’ah hanya berkait dengan perkara ibadat atau penghayatan agama (tadayyun). Namun ada ruang untuk wujudnya bid’ah dalam perkara adat jika ia dikaitkan dengan agama. Seseorang itu boleh mengadakan apa jua bentuk perkara berkaitan adat selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak mengandungi unsur yang haram. Apa jua jenis makanan boleh direka dan bagaimana cara untuk memasaknya juga adalah harus asalkan ianya halal.

Sebaliknya jika makanan itu dan cara memasaknya itu dikaitkan dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, menisbahkan kepada mana-mana nabi atau individu dan mempunyai fadhilat tertentu, pada hal tidak ada dalil yang sahih maka ianya menjadi bid’ah.

Dalam konteks bubur Asyura, semata-mata menyediakannya tanpa mengaitkannya dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, mana-mana nabi atau individu dan ada fadilat khusus maka ia masih diharuskan.

Perkara yang menjadikan bubur itu bid’ah adalah kerana ia hanya disediakan pada bulan Muharram dan dikaitkan dengan Nabi Nuh pada hal tidak ada dalil yang boleh dipertanggungjawabkan. Lebih menunjukkan kepada bid’ahnya bubur Asyura ini sehingga tidak akan ditemuinya sehingga masuknya bulan Muharram.

Walaupun alasan yang diberikan bahawa ia mempunyai kesan yang positif seperti dapat menyatukan masyarakat tetapi semata-mata matlamat yang baik sahaja tidak boleh dijadikan hujah untuk mewajarkannya. Ini kerana dalam syariah, dua perkara mesti diambil kira dalam dasar hukum, iaitu maqasid dan wasa`il, iaitu matlamat dan jalan mencapainya. Ini membawa maksud, hendaklah menggunakan cara yang betul untuk mencapai maksud yang baik lagi murni.

Apatah lagi kaedah membuat bubur ini hanyalah acara sekali setahun bukan sepanjang masa. Bukankah sepatutnya tumpuan diberikan kepada program asas dalam masyarakat yang jelas dianjurkan oleh agama sendiri iaitu sembahyang berjemaah lima kali sehari, sembahyang Jumaat dan lain-lain majlis ilmu yang diadakan di masjid dengan kekerapan yang tertentu.

Download PDF

Check Also

Garis Panduan Silat Menurut Islam

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *