Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Masyarakat & Amalan Semasa / HENTIKAN UPAH SEMBAHYANG JENAZAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HENTIKAN UPAH SEMBAHYANG JENAZAH

Download PDF
Oleh: Abu Syakir

 

Islam amat menganjurkan umatnya supaya berkasih sayang, tolong menolong dan berbudi pekerti mulia.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin di hari kiamat daripada husnul khuluq (baik budi). (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Orang Melayu amat terkenal sebagai satu bangsa yang mempunyai sifat-sifat terpuji seperti apa yang disarankan di dalam hadis. Bila mana saudaranya ditimpa kesusahan, bantuan sentiasa datang mencurah-curah.

Namun, pada sebahagian permasalahan dan di sebahagian kawasan, sifat-sifat terpuji ini seakan-akan sengaja dipinggirkan demi untuk mengekalkan satu tradisi yang entah bilakah bermulanya.

Tradisi memberi wang atau boleh dianggap sebagai `upah’ kepada mereka yang melakukan solat jenazah masih berlaku. Perkara ini seumpama satu kemestian terutamanya di negeri-negeri di sebelah utara dan timur.

Ia dilihat seakan-akan satu sambutan keramaian di saat insan lain sedang dirundung kedukaan.

Pada satu sudut, golongan yang menyokong tindakan ini akan mencari seribu satu alasan bagi membenarkan apa yang selama ini mereka amalkan. Mereka beranggapan; apa salahnya memberi sedekah kepada mereka yang telah bersusah-payah membantu menyempurnakan fardu kifayah ini iaitu mereka yang menyembahyangkan dan mendoakan si mati.

Pemberian itu bukanlah upah, tetapi demi mengambil kira duit minyak kenderaan atau amal jariah dari harta si mati.

Tradisi ini sebenarnya bukan sahaja menyalahi adat ketimuran orang Melayu sendiri tetapi juga menyalahi sunah Nabi s.a.w. dan tatacara ajaran Islam yang sebenar. Tidak pernah didapati di dalam mana-mana riwayat hadis sahih atau yang dhaif sekalipun bahawa Rasulullah s.a.w. atau para sahabat r.a. atau salafussoleh memberi upah kepada mereka yang menyembahyangkan mayat kaum Muslimin.

Amat mendukacitakan, kebiasaannya yang menjadi `kepala’ untuk membelanjakan wang keluarga si mati adalah terdiri daripada golongan agama yang dihormati seperti imam, siak, ahli jawatankuasa masjid/surau atau guru agama.

Kita tidak menafikan, ramai juga yang datang berniat ikhlas untuk mengurus dan menyembahyangkan jenazah dan tidak langsung mengharapkan apa-apa imbuhan. Mereka tidak termasuk dalam golongan yang dimaksudkan ini.

Sebenarnya mereka yang mengambil ‘upah’ tidak langsung memikirkan dari manakah sumber wang ini didapati. Kemungkinan ia adalah wang si mati yang miskin, yang meninggalkan anak yang belum cukup umur atau anak yatim. Maka wang tersebut adalah milik para janda dan anak yatim. Amat dahsyat kutukan dan ancaman Allah terhadap mereka yang memakan harta anak yatim secara batil.

Sumber: UTUSAN MALAYSIA – 2 Sept 2005

Download PDF

Check Also

Garis Panduan Silat Menurut Islam

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *