Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Pemurnian / BERZIKIR, BERDOA SECARA PERLAHAN ADALAH SHAHIH DARIPADA NABI S.A.W
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BERZIKIR, BERDOA SECARA PERLAHAN ADALAH SHAHIH DARIPADA NABI S.A.W

Download PDF

Berzikir, Berdoa Secara Perlahan Adalah Sahih Daripada Nabi s.a.w

(Disaring oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Ibnu Idris)

 

Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, imam dan makmum berwirid beramai-ramai dengan suara yang lantang dan kuat. Seolah-olah ia merupakan satu perkara yang wajib ataupun sebahagian dari kesempurnaan solat.

Jika tidak dilakukan demikian dianggap sebagai satu perkara aib, terutama bagi imam itu sendiri yang akan dianggap tidak tahu hendak berdoa.

Oleh yang demikian masjid dan surau sudah menjadi seperti majlis nasyid. Ianya menjadi bising sehingga mengganggu jemaah; mereka tidak menghiraukan orang masbuk yang sedang bersolat atau orang baru datang untuk bersolat.

Inilah satu-satunya perbuatan yang tercela dan perlu dihentikan.

Nabi Muhammad dan para sahabatnya tidak membaca wirid itu secara beramai-ramai dengan suara keras dan terus-menerus pada setiap lepas solat, tidak pula membaca doa dengan suara yang keras dan diaminkan oleh makmum pada tiap-tiap selepas bersolat.

Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum.

Ada baiknya semuanya ini dibuat sendirian. Allah lebih suka kalau hamba-Nya meminta doa sendiri terus kepada-Nya tanpa menerusi sesiapa pun.

Asy-Syaikh Ali Mahfuz berkata: Di antara bid’ah-bid’ah yang makruh ialah menamatkan solat dengan cara mengangkat suara beramai-ramai di dalam masjid terus-menerus, sehingga orang awam beriktikad bahawa itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat dan dia adalah sunnah yang mesti dilakukan, padahal ia sunat dilakukan sendiri dan secara senyap-senyap.

Cara seperti ini tidak dikenal pada zaman Rasulullah dan pada masa sahabat. Cara ini telah dijadikan satu syair yang dilakukan selepas solat jemaah.

Makruh

Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 55 yang maksudnya:

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan cara merendahkan diri dan dengan suara perlahan, sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas”.

Doa dengan suara lantang bukanlah daripada perbuatan Rasulullah, bukan perkataannya dan bukan pula perakuannya.

Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab al-Fatwa berkata: “Berkata az-Zarkasyi: “Menurut sunnah ialah memperlahankan suara pada semua zikir kecuali talbiah.”

Ada hadis yang menyebutkan tentang mengeraskan suara dengan zikir iaitu hadis riwayat Ibnu Abbas:

Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai solat fardu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah. Berkata Ibnu Abbas lagi: “Aku mengetahuinya setelah mereka selesai solat fardu itu apabila aku mendengarnya.” Hadis riwayat Bukhari.

Hadis ini ditujukan kepada keperluan mengajar zikir yakni nabi dan para sahabat pernah mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja, bukan terus-menerus secara tetap.

Mereka lakukan demikian itu untuk maksud mengajar zikir kepada para hadirin.

Demikian ditegaskan oleh asy-Syafie seperti yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk.

Al-Imam Ibnul Qayyim pula berkata: “Imam berdoa sesudah salam dari solat sambil menghadap kiblat atau menghadap makmum tidak pernah dikerjakan oleh nabi yang bertindak sebagai imam dan tidak ada pula sesuatu riwayat yang menyuruh kita mengerjakan demikian.” Masalah ini telahdinukil dari kitab Zadul-Ma’ad.

Pendek kata, tidak ada ulama muktabar yang membolehkan kita terus menerus membaca zikir dan doa bersama-sama secara lantang selepas tiap-tiap solat jemaah kerana jelas bertentangan dengan sunah.

Yang berlaku di depan mata kita, semua masjid dan surau, imam-imam yang mengimamkan solat jemaah, akan membaca doa dan berzikir kuat-kuat sehingga dua kilometer kita dapat mendengar menerusi pembesar suara.

Mereka ikut siapa sebenarnya?

Sumber: Utusan Malaysia (8 Jun 2006)

Download PDF

Check Also

The Fiqh Principle Of Istihala – Changing From Impure To Pure

 The following is the transcription of the lecture given by Shaykh Muhammad Bazmool (hafidhahullah): (Taken …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *