Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Sunnah & Bid`ah / ENAM USUL UNTUK MEMULAKAN PERBAHASAN BID’AH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

ENAM USUL UNTUK MEMULAKAN PERBAHASAN BID’AH

Download PDF
Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Bagi mencapai kata sepakat dan bersikap adil dalam membahaskan kedudukan bid’ah dalam agama, enam usul berikut hendaklah diberikan perhatian sebelum menentukan hukumnya. Sering kali berlaku perbezaan pendapat dalam suatu persoalan tetapi hakikatnya perbezaan tersebut hanya pada lafaz sahaja. Ada ketikanya pula, tiada langsung titik persepakatan, maka pada ketika itu khilaf yang berlaku adalah khilaf secara mutlak.

Pertama

Bid’ah hendaklah difahami dengan ma’na syar’i iaitu mengikut pengertian istilah agama bukan dengan ma’na lughawi atau pengertian bahasa. Sekiranya bid’ah itu difahami sebagai perkara yang tidak ada di zaman Rasulullah seperti mendirikan sekolah agama, membuat sukatan hadis untuk dipelajari maka ia masih lagi dalam pengertian lughawi (bahasa). Dengan ini, hadis “setiap bid’ah adalah sesat” akan difahami dengan jelas mengikut apa yang ditetapkan oleh syar’I tanpa perlu dita`wilkan kepada ma’na lain.

Kedua

Bid’ah hendaklah dibahas dengan mengambil kira kepada lawannya iaitu sunnah. Maksud sunnah ialah Sunnah Rasulullah s.a.w dan sunnah khulafa` Rashidin yang terpimpin. Pemahaman tentang ma’na bid’ah akan terus kabur kepada masyarakat selagi pemahaman tentang Sunnah tidak jelas. Penyair ada mengatakan:

وبضدّها تتبين الأشياء

“Banyak perkara akan nyata dengan menyebutkan lawannya.”

Orang yang bakhil akan menyuruh orang lain menjadi bakhil sepertinya supaya kebakhilannya tidak menjadi nyata kerana ada orang lain yang mempunyai sifat yang sama dengannya. Selagi ada orang lain yang bersifat pemurah, sifat kebakhilannya akan nyata kepada umum.

Dengan itu, jika berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w itu wajib, maka melakukan perkara bid’ah itu tercela. Sebagaimana pengertian tauhid hanya dapat dicapai dengan menjauhi syirik maka begitu juga sunnah benar-benar dapat diikuti apabila menjauhi bid’ah.

Ketiga

Perbahasan bid’ah adalah berkait dengan perkara pengabdian kepada Allah s.w.t dan cara untuk memperolehi pahala dan keredaan-Nya. Oleh itu, ciptaan baru dalam urusan kehidupan dunia yang memudahkan kehidupan manusia seperti ciptaan mesin adalah tidak termasuk di dalam perbincangan bid’ah.

Keempat

Permulaan berlakunya bid’ah ialah selepas zaman sahabat. Pengamalan para sahabat menjadi pedoman untuk umat Islam. Setiap amalan yang tidak dianggap baik oleh sahabat maka tidak boleh dianggap sebagai baik. Ini kerana sahabat terdidik dalam suasana wahyu, ya’ni mendapat pendidikan secara langsung daripada Rasulullah s.a.w dan mereka adalah orang yang adil dan ahli bahasa ‘Arab yang lebih mengetahui ruh agama dan maqasid (tujuan) Syari’ah.

Kelima

Bid’ah tidak ada kaitan dengan wasilah (jalan) tetapi berkaitan dengan maksud. Usaha untuk membetulkan huruf dan bacaan al-Quran bagi bangsa selain Arab tidak boleh dihukumkan sebagai bid’ah kerana ia wasilah untuk mengelokkan bacaan seperti ia diturunkan.

Wasilah untuk memahami agama seperti mendirikan sekolah, menentukan sukatan pengajaran dan tahap kelas tidak boleh dianggap bid’ah kerana ia adalah jalan untuk mendalami ilmu agama. Begitu juga penyusunan ilmu nahu dan cabang bahasa Arab yang lain yang bertujuan untuk memahami al-Qur`an dan Hadis.

Keenam

Seperti mana yang dimaklumi, tujuan perbahasan tentang syirik dan pembongkaran ajaran sesat adalah untuk untuk menjaga aqidah umat dari terjerumus ke dalam lembah kesesatan.

Sejajar dengan itu, matlamat membahaskan bid’ah bukan untuk menyesatkan sesiapa tetapi untuk menegakkan Sunnah dan mengembalikan masyarakat ke landasan yang sebenarnya dalam pengamalan agama untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. Ia juga bukan bertujuan untuk mempertahankan amalan yang tidak sabit dalam Sunnah tetapi memurnikan amalan supaya selaras dengan Sunnah.

Download PDF

Check Also

Tiada Bid’ah Hasanah – Dr Yusof Al-Qaradhawi

  Bidah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bidah hasanah? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *