Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Sunnah & Bid`ah / DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN – ADAKAH IA BENAR ATAU BATHIL?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN – ADAKAH IA BENAR ATAU BATHIL?

Download PDF
Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Doa Akhir/Awal Tahun Hijrah Tidak Dari Nabi
 

 

Maulana Asri Yusoff: Wujudkah Doa Awal & Akhir Tahun Itu Dari Nabi SAW? **(keterangan video di hujung artikel)

 

Akhir-akhir ini kita dapati wujud amalan baru setiap menjelangnya tahun baru hijrah iaitu amalan doa yang dinamakan “Doa Awal Tahun” dan “Doa Akhir Tahun”. Ianya biasanya dilakukan secara ‘berjemaah’ di masjid-masjid dan diwar-warkan melalui akhbar, radio dsb.

Berikut adalah doa yang dimaksudkan:

Doa Awal tahun

“Segala puji tertentu bagi Allah, Allah s.w.t. yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah ya Karim ya Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah s.w.t yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.

Doa Akhir tahun

“Segala puji tertentu bagi Allah, Allah s.w.t. yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah s.w.t. yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering ditonjolkan:

Ibnu Abbas berkata: “Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malaikat memeliharanya pada tahun itu”.

Selepas doa (awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun”.

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, “Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan”.

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sunan sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa.

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang bererti: “Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak”

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam (Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah s.a.w. juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda s.a.w. dalam hadis sahih yang bermaksud: “Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Hadis Mutawatir

Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud: “Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian (sunnah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.).

Ibnu Abbas juga pernah berkata: “Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah s.a.w) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru”.

Kesimpulan

Doa pada asalnya memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menyalahgunakan konsep berdoa yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah s.a.w. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud: “Sesungguhnya benar-benar hadith (percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad s.a.w. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah manakala setiap bid’ah adalah sesat” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan: “dan setiap kesesatan itu di dalam neraka”

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja.

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah.

 

Sumber: http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id144.html (dengan sedikit ubahsuai)

 

KETERANGAN RINGKAS DARI VIDEO OLEH MAULANA MUHAMMAD ASRI YUSOFF

Banyak perkara yang dimulakan atau dicetuskan oleh Saidina Umar. Salah satu ialah menetapkan tahun dalam Islam bermula dari peristiwa hijrah nabi dari Mekah ke Madinah. Yang menghairankan, sekiranya perkiraan tahun hijrah ditetapkan oleh Saidina Umar, macamana wujudnya doa awal tahun dan akhir tahun Hijrah. Doa ini dikatakan dari nabi sedangkan pada masa nabi, tahun hijrah belum ada lagi. Sebenarnya sahih atau tidak perkara ini dapat dikenalpasti dengan mudah dengan hanya meneliti sedikit sejarah. Pada hakikatnya, memang doa awal dan akhir tahun tak pernah wujud di zaman nabi dan sahabat-sahabat. Perkiraan tentang tahun hijrah ini tidak ada zaman nabi, sebab itu Saidina Umar bermesyuarat dengan sahabat-sahabat samada nak memulakan tahun dalam Islam ini bermula dari tahun nabi lahir atau dari peristiwa-peristiwa lain seperti peristiwa hijrah. Yang dukacitanya yang buat perkara-perkara begini ( mengadakan majlis baca doa awal dan akhir tahun) ialah Jabatan-jabatan Agama. Sedihnya, kerana mereka tidak berusaha untuk membuat rujukan yang terperinci dan melakukan sesuatu amalan ikut rasa hati dan tidak berpijak pada fakta.

Download PDF

Check Also

Tiada Bid’ah Hasanah – Dr Yusof Al-Qaradhawi

  Bidah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bidah hasanah? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *