Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Sunnah & Bid`ah / BEBERAPA AMALAN BID’AH SEMASA SOLAT JUMAAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BEBERAPA AMALAN BID’AH SEMASA SOLAT JUMAAT

Download PDF
Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Hari Juma’at adalah hari yang utama kerana ia mempunyai kaitan dengan peristiwa yang penting dalam sejarah manusia. Selain itu, istimewanya hari Jumaat kerana umat Islam dapat berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah yang mengandungi nasihat-nasihat dan pengajaran daripada al-Qur`an dan al-Sunnah. Hari yang mulia seharusnya diisi dengan amalan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Tetapi malangnya, beberapa perkara rekaan telah diamalkan dengan dianggap sebagai ibadat. Akibatnya wajah sebenar amalan agama telah dilitupi dengan amalan-amalan bid’ah.

Berselawat Sebelum Azan Yang Kedua

Antara perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh para bilal di tempat kita ialah berselawat kepada Rasulullah s.a.w. dengan suara yang nyaring sebelum azan yang kedua. Biasanya dibacakan sebelum itu ayat 56, surah al-Ahzab sebagai galakan supaya berselawat kemudian barulah azan kedua dilakukan.

Berselawat pada asasnya amat dituntut tetapi dengan beriltizam berselawat pada waktu sebelum khatib berkhutbah dengan suara yang nyaring menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. Tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis bahawa Baginda pernah memerintahkan supaya berbuat demikian. Begitu juga para sahabat sesudah baginda khusus para muazin tidak pernah melakukan dan tidak pernah memerintahkan supaya berbuat demikian. Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa lafaz azan itu telah ditentukan oleh syara’ dengan lafaz yang khusus pada waktu-waktu yang tertentu. Jika dianggap secara mutlak setiap yang keluar dari mulut muazin sebagai azan tentu perkara-perkara yang diada-adakan seperti tasbih sebelum azan subuh, sebelum sembahyang Jumaat dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. akan termasuk dalam azan, pada hal bukan begitu, baik pada bahasa atau syara’. (Fath al-Bari, jil. 2 hal. 297)

Ibn al-Haj menyebutkan pemerintah sepatutnya menegah para muazin daripada mengadakan perkara baru yakni apabila imam keluar untuk berkhutbah, para muazin berdiri dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. serta mengulang-ulangkannya sehingga imam sampai ke mimbar, walaupun selawat itu sebesar-besar ibadat. (al-Madkhal, jil. 2, hal. 424)

Ibn Taymiyyah menyatakan bahawa perbuatan muazin menyaringkan suara ketika berselawat kepada Rasulullah s.a.w. semasa khatib menaiki mimbar atau berdoa dengan suara yang tinggi dan sebagainya tidak pernah ada di zaman Rasulullah s.a.w., para khalifah dan tidak ada seorang pun para imam yang menganggapnya sunnat. (al-Fatawa al-Kubra, jil. 1, hal. 129)

وَلَمْ نَرَ فِي شَيْءٍ مِنْهَا التَّعَرُّضَ لِلصَّلَاةِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْأَذَانِ ، وَلَا إلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ بَعْدَهُ وَلَمْ نَرَ أَيْضًا فِي كَلَامِ أَئِمَّتِنَا تَعَرُّضًا لِذَلِكَ أَيْضًا ، فَحِينَئِذٍ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ هَذَيْنِ لَيْسَ بِسُنَّةٍ فِي مَحَلِّهِ الْمَذْكُورِ فِيهِ ، فَمَنْ أَتَى بِوَاحِدٍ مِنْهُمَا فِي ذَلِكَ مُعْتَقِدًا سُنِّيَّتَهُ فِي ذَلِكَ الْمَحَلِّ الْمَخْصُوصِ نُهِيَ عَنْهُ وَمُنِعَ مِنْهُ ؛ لِأَنَّهُ تَشْرِيعٌ بِغَيْرِ دَلِيلٍ ؛ وَمَنْ شَرَّعَ بِلَا دَلِيلٍ يُزْجَرُ عَنْ ذَلِكَ وَيُنْهَى عَنْهُ .

Ibn Hajar al-Makki pernah ditanya tentang selawat sebelum azan. Beliau memberikan jawapan bahawa tidak ada hadis yang menyentuh tentang masalah itu dan tidak ada juga dalam perbincangan para imam. Oleh itu, selawat dan salam sebelum azan bukan merupakan sunnah pada tempatnya. Sesiapa yang melakukannya dengan menganggap sebagai sunnah sebelum azan maka dia hendaklah dilarang dan ditegah kerana itu adalah mengadakan hukum syara’ tanpa berdasarkan dalil. Sesiapa yang mengadakan hukum syara’ tanpa ada sebarang dalil hendaklah ditegah dan dilarang. (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, jil. 1. hal. 131)

Berdasarkan kepada penegasan tokoh-tokoh di atas, berselawat pada tempat yang tidak diperintah dengan cara mengkhususkan tempat dan waktu tertentu membawa kepada berlakunya bid’ah yang menyesatkan walaupun pada asasnya setiap orang dituntut supaya berselawat. Oleh itu, berselawat sebelum daripada azan itu tidak menjadi sunnah walaupun pada asalnya amat dituntut. Kesimpulannya, berselawat dilarang sebelum azan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan seolah-olah selawat dan salam kepada Rasulullah termasuk dalam lafaz azan. Lafaz-lafaz azan adalah sesuatu yang bersifat tawqifi (tidak boleh difikirkan sendiri) yang diterima melalui Rasulullah s.a.w. dan tidak dibolehkan membuat sebarang penambahan dan penukaran.

Muazin membaca hadis Rasulullah yang melarang bercakap semasa khutbah dengan suara yang nyaring.

Hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim melalui Abu Hurairah: “Apabila anda mengucapkan kepada saudara anda diamlah pada hari Jumaat sedangkan imam sedang berkhutbah maka anda telahpun lagha.” Hadis ini walaupun sahih tetapi membacanya dengan mengeraskan suara pada ketika imam hendak berkhutbah bukanlah sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Ini merupakan bid’ah, tidak ada sebarang dalil yang menyatakan baginda menyuruh mana-mana juru azan membacanya sebelum baginda berkhutbah.

Perbuatan muazin ini hendaklah ditegah kerana mengelirukan mereka yang tidak mengetahui hukum syara’ lalu memahaminya sebagai sebahagian daripada tuntutan khutbah Jumaat dan syiarnya. Oleh kerana para muazin membaca hadis ini secara iltizam dan berterusan pada setiap minggu mereka yang jahil menyakini bahawa membaca hadis itu merupakan tuntutan syara’ pada ketika itu sedangkan tidak ada riwayatpun yang menyuruh berbuat demikian. Dalam konteks menghalang perbuatan bercakap-cakap ketika imam berkhutbah, imam sendiri yang seharusnya menegah dan memberi peringatan kepada mereka.

Muazin berdoa dengan menyaringkan suara ketika khatib duduk di antara dua khutbah.

Syaikh Jamaluddin al-Qasimi menyebutkan di antara perkara yang dilakukan apabila khatib menaiki mimbar ialah tidak boleh mengangkat suara dengan berdoa. Ini sebagai persediaan untuk mendengar khutbah. Para ulama sepakat melarang daripada berdoa, beristighfar dan berzikir dengan suara yang nyaring pada ketika itu. Waktu tersebut ialah waktu diam atau bertafakkur untuk mengambil pengajaran dan iktibar. Mengangkat suara pada masa tersebut walaupun untuk berzikir menyebabkan tumpuan para jemaah terganggu.(Islah al-Masajid ‘An al-Bida’ Wa al-‘Awaid, hal. 70)

Berdoa dengan mengangkat tangkat ketika khutbah

Abu Syamah al-Maqdisi berkata: “Adapun mengangkat tangan yang dilakukan oleh mereka ketika berdoa (semasa khutbah) maka itu adalah bid’ah sejak dahulu lagi”. (al-Ba’th ‘Ala Inkar al-Bida’, hal. 84) Al-Suyuti berkata: “Mengangkat tangan yang dilakukan oleh mereka ketika berdoa (semasa khutbah) maka itu adalah bid’ah yang jelek”.(al-Amr Bi al-Ittiba’ Wa al-Nahy ‘An al-Ibtida’, hal. 54)

والله أعلم

Download PDF

Check Also

Tiada Bid’ah Hasanah – Dr Yusof Al-Qaradhawi

  Bidah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bidah hasanah? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *