Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 20 : KAEDAH “ASAL BAGI SESUATU PERKARA ADALAH HARUS” DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM MEROKOK
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 20 : KAEDAH “ASAL BAGI SESUATU PERKARA ADALAH HARUS” DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM MEROKOK

Download PDF

 

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, bagaimanakah kita ingin menjawab sekiranya seseorang itu merokok lalu membenarkan perbuatannya itu dengan hujah bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, di antara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha adalah, kaedah “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”. Ini disebutkan oleh beberapa ulama di dalam kitab-kitab  mereka seperti Imam al-Suyuthi yang berkata:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.[1]

Kata Imam al-Suyuthi Rahimahullah apabila menyebutkan kaedah ini: ‘’Inilah mazhab kami (al-Syafi’eyyah)’’.

Berdasarkan kepada kaedah di atas, ia menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus. Justeru, ia boleh menyebabkan berlakunya salah faham di sisi sebahagian masyarakat bahawa kaedah ini umum untuk kesemua perkara termasuklah menghisap rokok itu sendiri.

Sebenarnya, kaedah ini bukanlah bererti keumuman tanpa sebarang pengikat. Ini kerana, kaedah penuh yang disebutkan oleh Imam al-Suyuthi adalah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Hakikatnya, kaedah di atas ini cukup jelas untuk menjawab salah faham yang digunakan untuk mengharuskan perbuatan menghisap rokok. Ini kerana, sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat padanya dalil pengharaman, maka ia kekal kepada hukum asal iaitu harus. Namun jika telah terdapat padanya dalil pengharaman, maka hukum sesuatu perkara itu menjadi haram.

 

Dalil Pengharaman Merokok

Perbuatan menghisap rokok adalah jelas pengharamannya berdasarkan beberapa sudut berikut. Di antaranya:

 

Pertama: Merosakkan Tubuh Badan

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menyebutkan larangan ke atas perbuatan mencampakkan diri kepada kebinasaan. Ini berdasarkan firman-Nya:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan.

Surah al-Baqarah (195)

Di dalam kaedah usul menyebut:

النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم

 

Maksudnya: Larangan membawa erti pengharaman.

 

Justeru, larangan di dalam ayat tersebut jelas menunjukkan kepada pengharaman sesuatu perbuatan yang boleh membinasakan diri seseorang dan perbuatan menghisap rokok termasuk dalam perkara yang membinasakan diri seseorang.

Hal ini juga berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.

Riwayat Malik (31)

Hadis di atas ini merupakan sebuah hadis yang masyhur serta menunjukkan bahawa Islam menafikan sebarang bentuk kemudaratan dan membalas kemudaratan kepada orang lain. Dari sudut usul feqh, ada sebuah kaedah yang menyebut:

النَّكِرَةُ فِي سِياقِ النَّفْيِ تُفِيدُ الْعُمُوم

Maksudnya: Nakirah yang datang dalam konteks penafian menunjukkan kepada keumuman.

Perkataan dharar di dalam hadis tersebut datang dalam bentuk nakirah. Justeru, ini memberi makna bahawa Islam menafikan kesemua bentuk kemudaratan dalam setiap aspek dan sudut. Termasuklah mudarat yang terhasil dari perbuatan menghisap rokok kepada kesihatan dirinya juga kesan buruk yang diterima orang sekelilingnya.

 

Kedua: Merokok Suatu Pembaziran

Perbuatan menghisap rokok termasuk dalam perbuatan membazir. Di dalam al-Quran, terdapat larangan yang jelas ke atas perbuatan membazir. Firman Allah S.W.T:

 وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membazir. Sesungguhnya golongan yang membazir adalah merupakan saudara syaitan, dan syaitan itu sangat engkar kepada Tuhannya.

Surah Al-Isra’ (26-27)

Membazir adalah membelanjakan rezeki Allah S.W.T ke arah jalan yang batil lagi maksiat. Perbuatan merokok jelas merupakan suatu bentuk maksiat maka membelinya dianggap sebagai suatu pembaziran. Dalalah pengharaman membazir adalah pada terdapatnya لا الناهية  serta dipersaudarakan pelakunya dengan syaitan.

 

Ketiga: Rokok Merupakan Suatu Kotoran

Hakikatnya, rokok adalah sesuatu yang mengandungi bahan-bahan yang kotor seperti nikotin, tar, dan selainnya. Fitrah manusia tidak dapat menafikan hal ini bahawa ia merupakan suatu kotoran. Firman Allah S.W.T:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Dan dihalalkan kepada kamu perkara yang baik dan diharamkan ke atas kamu perkara-perkara yang kotor.

Surah Al-A’raaf (157)

Dalalah pengharaman adalah pada lafaz tahrim di dalam ayat di atas, yang menunjukkan bahawa perkara-perkara yang kotor itu haram ke atas umat manusia.

 

Tips Berhenti Merokok

Bagi sesiapa yang berazam untuk meninggalkan perbuatan merokok, sila ikuti perbahasan mengenai tips yang boleh digunakan melalui pautan berikut: https://goo.gl/bMdUz5

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami ingin menyatakan bahawa salah faham terhadap sesetengah kaedah feqh boleh menatijahkan kefahaman yang salah dalam beragama. Samalah seperti sekiranya ada yang mengharuskan perbuatan merokok dengan menjadikan kaedah: ‘’Asal bagi setiap perkara adalah harus’’ sebagai hujah. Hendaklah beberapa perkara berikut menjadi panduan kepada kita dalam memahami kaedah feqh dengan baik:

  • Setiap kaedah ada pengecualiannya. Sebagai contoh, kaedah ‘’asal bagi setiap perkara adalah harus’’ tidak melibatkan isu ibadah. Ini kerana, asal bagi sesuatu ibadah adalah dilarang, melainkan setelah terdapatnya dalil yang membenarkannya.

 

  • Perlu difahami bahawa kaedah tersebut terikat kepada bahagian terakhirnya iaitu: Sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.

 

  • Para ulama menyatakan dengan lebih terperinci dengan menyebut cabang dari kaedah tersebut iaitu:

 

الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ النَّافِعَةِ الإِبَاحَة

 

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara yang bermanfaat adalah harus.

 

  • Juga kaedah yang merupakan cabang darinya:

 

الأصْلُ فِي الأشْيَاءِ الضَّارَّةِ التَّحْرِيم

 

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara yang memberi kemudharatan adalah haram.

 

Justeru, berdasarkan panduan kaedah-kaedah feqh yang telah kami sebutkan, jelaslah bahawa perbuatan merokok itu haram, dan kaedah yang dikemukakan itu sama sekali tidak tepat untuk dijadikan hujah akan pengharusannya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

 

 

[1] Rujuk Al-Asybaah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (1/133).

Source: IRSYAD USUL FIQH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *