Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-272: STATUS HADITH PUASALAH MAKA KAMU AKAN SIHAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-272: STATUS HADITH PUASALAH MAKA KAMU AKAN SIHAT

Download PDF

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَصُومُوا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Dan berpuasalah maka kamu akan sihat”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam. Ini berdasarkan nas-nas Ilahi yang banyak daripada al-Qur’an dan hadith yang menyatakan akan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk itu, setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT pasti mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan tersebut. Antaranya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَصُومُوا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Dan berpuasalah maka kamu akan sihat”. [Lihat: Riwayat al-Thabarani 8312 di dalam Mu’jam al-Awsath]

 

Status Hadith

Hadith ini juga diriwayatkan oleh selain daripada Abu Hurairah RA seperti Ibn Abbas R.anhuma dan juga Ali bin Abi Thalib RA. Akan tetapi, kesemua riwayat tersebut bermasalah dari sudut sanadnya. Antara ulama’ yang memberi komentar terhadap hadith ini:

  • Imam al-Iraqi mengatakan sanad hadith ini dhaif (lemah). [Lihat: al-Mughni fi Haml al-Asfar, 754/2]
  • Imam al-Saghani menilai hadith ini sebagai mawdhu’. [Lihat: al-Mawdhu’at, 51]
  • Imam al-Fattani[1] juga mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Saghani iaitu mawdhu’. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 70]
  • Imam al-Syaukani juga menukilkan pandangan al-Saghani iaitu mawdhu’. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 90]

 

Kesimpulannya, hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan para sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW. Oleh itu, para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan hukum terhadap hadith ini. Sebahagiannya terlalu ringan dalam menerima hadith seperti ini dengan menyatakan hadith dhaif tetapi boleh diterima kerana tidak mempunyai hubungan dengan perkara yang halal dan haram. Tambahan pula, sebahagian lagi menyatakan sebaliknya kerana hadith tersebut merupakan hadith yang menceritakan berkaitan fadhail.

 

Walaubagaimanapun, ini tidak menunjukkan bahawa makna (matan atau teks) hadith itu juga tidak sahih. Ini kerana, ilmu kedoktoran telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak faedah pada kesihatan. Bahkan, sebahagian doktor menjadikan puasa sebagai salah satu cara untuk merawat penyakit. Selain itu juga, kebanyakan manusia tersilap dalam memahami konsep ibadah ini kerana mereka menyangka bahawa diwajibkan berpuasa adalah untuk mendapatkan faedah-faedah ini, sedangkan tujuan utama berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Tuhannya selain itu meraih taqwa.

 

Penutup

Setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya mempunyai banyak rahsia dan hikmah-hikmah di sebalik perkara tersebut dan manfaatnya akan diperolehi bagi sesiapa yang melaksanakannya. Semoga Allah SWT memberi kita kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan serta menyempurnakan ibadah ini dengan sebaik-baiknya. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

[1] Nama beliau ialah Muhammad Thohir bin Ali al-Fattani al-Siddiqi yang mana nasab beliau bersambung kepada Abu Bakar al-Siddiq. Beliau dilahrikan pada 910 Hijrah dan wafat pada 986 Hijrah. Selain itu, beliau merupakan salah seorang ulama besar dalam bidang hadith di India.

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *