Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-251: DUDUK BERSAMA GURU DIBUKA 70 PINTU RAHMAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-251: DUDUK BERSAMA GURU DIBUKA 70 PINTU RAHMAT

Download PDF

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا جَلَسَ الْمُتَعَلِّمُ بَيْنَ يَدَيِ الْعَالِمِ فَتَحَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَيْهِ سَبْعِينَ بَابًا مِنَ الرَّحْمَةِ وَلا يَقُومُ مِنْ عِنْدِهِ إِلا كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ؛ وَأَعْطَاهُ اللَّهُ بِكُلِّ حَرْفٍ ثَوَابَ سِتِّينَ شَهِيدًا، وَكَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ حَدِيثٍ عِبَادَةَ سَبْعِينَ سَنَةً، وَبُنِيَ لَهُ بِكُلِّ وَرَقَةٍ مَدِينَةٌ، كُلُّ مَدِينَةٍ مِثْلُ الدُّنْيَا عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Apabila duduknya seorang pelajar di sisi seorang alim, maka Allah SWT akan membuka kepadanya 70 pintu rahmat dan tidak bangun dia daripada bersama orang alim itu melainkan seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya (diampunkan dosa baginya). Dan Allah akan memberikan kepadanya pada setiap huruf itu dengan ganjaran 60 orang syahid. Dan Allah juga akan menulis baginya pada setiap hadith (kata-kata) itu ibadah selama 70 tahun serta dibina baginya dengan setiap kertas itu sebuah bandar dan setiap bandar itu seperti sepuluh kali ganda dunia.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Agama kita Islam amat menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu dan juga berdamping dengan para alim ulama’. Ini kerana, mereka adalah para pewaris nabi berdasarkan hadith Nabi SAW:

 

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud (3157)][Menurut Syeikh al-Arna’outh hadith ini adalah hasan dengan syawahidnya]

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith di atas:

 

  • Kata Imam al-Suyuthi (911 H) hadith ini adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi. [Lihat: Zail al-La’aliy al-Masnu’ah, 200/1]
  • Kata Ibn ‘Irraq (‘Arraq) al-Kinani (963 H) adalah palsu. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 283/1]
  • Kata al-Fattaniy (986 H) hadith ini adalah palsu tanpa ragu-ragu. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 19/1]
  • Kata Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H) menghukum ia adalah palsu sebagaimana di dalam al-Zail. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 89/1] dan [Lihat: al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 52/1]
  • Kata al-‘Ajlouniy (1162 H) menghukum hadith ini palsu sebagaimana yang dikatakan oleh al-Qari. [Lihat: Kasyf al-Khafa’ Wa Muzil al-Ilbas, 85/1]
  • Kata Imam al-Syaukani (1250 H) hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 285/1]
  • Kata al-Qawuqji (1305 H) hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 35/1]

 

Melihat kepada beberapa pendapat ulama’ di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas palsu dan haram untuk kita meriwayatkannya serta menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Di samping itu juga, jika dilihat pada teks hadith tersebut jelas terdapat padanya beberapa ciri-ciri hadith palsu seperti kandungan teks hadith dilihat melampau dari sudut ganjaran yang disediakan kepada orang yang bersama dengan orang alim.

 

Walaupun begitu, kita juga dituntut untuk sentiasa berdamping dengan orang-orang yang soleh atau alim agar sifat atau perkara yang ada pada diri mereka itu terkesan kepada diri kita juga. Hal ini, ada dinyatakan di dalam sebuah hadith yang sahih:

 

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu  mendapatkan bau yang busuk.” [Riwayat al-Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]

 

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW membuat perumpamaan teman atau kawan yang baik ini umpama seorang penjual wangi kerana manfaat yang kita akan perolehi daripadanya apabila kita berdamping dengannya. Tambahan pula, Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini di bawah baba tau tajuk sunat berdamping (bergaul) dengan orang yang soleh. Selain itu juga, hadith ini menunjukkan kepada kita kelebihan duduk bersama orang yang soleh, orang yang baik, orang yang menjaga maruah, orang yang mulia akhlaknya, orang yang warak, ahli ilmu, orang yang beradab di samping larangan duduk bersama orang yang tidak baik, ahli bid’ah, orang yang dibenci masyarakat atau yang melakukan maksiat, malas beramal dan sebagainya yang termasuk di dalam perkara-perkara yang dicela. [Lihat: al-Minhaj, 178/16]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka berdasarkan beberapa hadith yang sahih. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #766 : HUKUM MUAT TURUN SOFTWARE/ LAGU/ GAME DARIPADA INTERNET

Soalan: Apakah hukum memuat turun software/lagu/game daripada internet? Jawapan: Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>