Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-236: MULLA ALI AL-QARI SARJANA UNGGUL ISLAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-236: MULLA ALI AL-QARI SARJANA UNGGUL ISLAM

Download PDF

 

 

Soalan: Siapakah Syeikh Mulla Ali al-Qari?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dengan mengkaji sejarah tokoh-tokoh dan sarjana-sarjana besar Islam akan meningkatkan semangat dan juga sedikit sebanyak dapat mencontohi sifat atau akhlak yang ditonjolkan supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan secara ringkas berkaitan latar belakang seorang tokoh yang hebat dan besar juga sumbangannya kepada perkembangan ilmu dan juga agama Islam iaitu Syeikh Mulla Ali al-Qari.

 

Nama beliau ialah Nur al-Din Ali bin Sultan Muhammad al-Harawi al-Makki al-Hanafi. Beliau terkenal dengan panggilan al-Qari (القاري) kerana beliau merupakan seorang yang pakar lagi alim dalam bidang al-Quran dan juga Qiraat. Antara gelaran yang diberikan kepada beliau ialah al-Imam (tokoh besar), al-Muhaddith (pakar hadith), al-Usuli (pakar usul), al-Mufassir (pakar tafsir), al-Muqri’ (pakar Qiraat), al-Mutakallim (ahli kalam), al-Nazhar (pakar debat), al-Faradhi (pakar faraih), al-Sufi (ahli sufi), al-Mua’rrikh (pakar sejarah), al-Lughawi (pakar Bahasa), al-Nahwi (pakar nahu) dan al-Adib (pakar  sastera).

 

Di samping itu, beliau dilahirkan di bandar Harah sekitar tahun 930 Hijrah iaitu salah satu bandar terbesar di Khurasan dan pada hari ini bandar tersebut termasuk di dalam Afganistan. Bermula dari bandar inilah beliau mula menuntut ilmu dan juga mempelajari al-Quran serta menghafaznya dengan Syeikh beliau Main al-Din bin al-Hafiz Zain al-Din al-Harawi. Selain itu, beliau juga menuntut ilmu-ilmu yang lain daripada pelbagai bidang daripada guru-guru yang ada di zamannya.

 

Setelah dari itu, beliau memulakan rehlah ilmiyyah (pengembaraan ilmu) ke Makkah dan beliau juga menetap di sana. Beliau banyak melazimi ulama’-ulama’ selama bertahun-tahun lamanya dan berterusan dalam keadaan tersebut. Akhirnya, beliau juga menjadi salah seorang daripada ulama’-ulama’ yang masyhur dan hebat dalam menggunakan dalil-dalil samada daripada al-Quran, al-hadith dan sebagainya.

 

Tambahan pula, beliau juga terkenal dengan seorang yang baik agamanya, warak (meninggalkan perkara-perkara yang syubhah) dan baik akhlaknya. Beliau tidak akan makan melainkan daripada hasil pekerjaan hariannya sendiri, tidak menghiraukan dunia kerana sifat ketaqwaan, kezuhudan, kemuliaan dan redha (berpada) dengan apa yang ada telah menguasai dirinya. Selain itu juga, beliau tidak gemar bercampur dengan orang ramai, banyak beribadah kepada Allah SWT dan beliau akan menulis setiap tahun satu mushaf (al-Quran) dengan khatnya (tulisannya) yang cantik yang mana mushaf tersebut ditepinya (muka surat) itu terdapat qiraat bacaan-bacaan riwayat lain) dan juga tafsiran-tafsiran kepada ayat-ayat tersebut. Dengan cara itu, beliau akan menjual mushaf tersebut dan hasil daripada itu cukup untuk menampung hidupnya selama setahun. Antara sebab atau punca mengapa beliau melakukan hal ini adalah disebabkan pada pandangan beliau dengan mendekatkan diri kepada pemerintah dan dengan mengambil bantuan akan memudharatkan keikhlasan serta sifat kewarakan.

 

Beliau pernah mengatakan pada dirinya sebagaimana yang pernah dipesan oleh ayahnya kepada beliau:

 

مَا أُرِيدُ أَنْ تَصِيرَ مِنَ الْعُلَمَاءِ خَشْيَةَ أَنْ تَقِفَ عَلَى بَابِ الْأُمَرَاءِ

Maksudnya: “Aku tidak mahu kamu menjadi ulama’ yang takut untuk berdiri (berhadapan) di hadapan pemerintah.” [Lihat: Mirqat al-Mafatih Syarah Mishkah al-Masabih, 331/1]

 

Beliau telah wafat pada bulan Syawwal tahun 1014 Hijrah di Makkah sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah setelah beliau mengabdikan keseluruhann kehidupannya terhadap ilmu dan beristiqamah dalam perkara-perkara kebaikan. Jenazah beliau telah dikebumikan di perkuburan Ma’la.

 

Antara pujian yang diberikan kepada beliau adalah:

 

  • Telah berkata al-Hamawi:

“Salah seorang daripada sumber ilmu, tidak ada yang setanding dengan beliau di zamannya, terserlah tanda (keilmuannya) pada penulisannya.” [Lihat: Khulasah al-Athar, 185/3]

 

  • Berkata al-‘Ishomi:

“Penghimpun di antara ilmu aqal dan naqal (ilmu seperti daripada al-Quran dan al-Sunnah), pakar di dalam Sunan al-Nabawiyyah (hadith Nabi SAW), salah seorang daripada tokoh-tokoh keilmuan dan juga tokoh yang masyhur dengan hafalan dan kefahamannya (dalam ilmu agama).” [Lihat: Samth al-Nujum, 402/4]

 

  • Imam al-Laknawi pula berkata:

“Beliau merupakan salah seorang ahli ilmu yang banyak dan ahli kelebihan yang jelas. Kemudian beliau berkata selepas menyatakan beberapa penulisannya: Beliau mempunyai risalah-risalah yang tidak terkira banyaknya dan tidak terbilang. Akan tetapi, semuanya bermanfaat.” [Lihat: al-Ta’liq al-Mumjid, 105-106/1]

 

  • Kata al-Nu’mani:

“Beliau lebih terserlah berbanding ulama’-ulama’ sezamannya sehingga beliau menjadi seorang imam yang masyhur, seorang alim yang besar dan mahir di dalam pelbagai jenis ilmu seperti ilmu akal dan naqal. Di samping itu, beliau juga berkebolehan di dalam ilmu hadith, tafsir, qiraat, usul, bahasa Arab dan pelbagai jenis ilmu lidah dan balaghah berserta mahir dalam setiap cabang ilmu tersebut.” [Lihat: al-Bidho’ah al-Muzjah, 30]

 

  • Berkata Syeikh al-Zirikli:

“Muhammad Nur al-Din al-Mulla al-Harawi al-Qari seorang yang faqih di dalam mazhab Hanafi, salah seorang daripada sumber ilmu di zamannya, lahir Harrah, tinggal di Makkah dan wafat di situ (Makkah).” [Lihat: Khulasah al-Athar fi A’yan al-Qarn al-Hadi ‘Asyar, 185/3]

 

Di antara guru beliau ialah:

  • Imam Ibn Hajar al-Haithami
  • Ali al-Muttaqa al-Hindi
  • Muhammad Said al-Hanafi al-Khurasani
  • Athiyyah bin Ali al-Sulami
  • Abdullah al-Sindi
  • Qutub al-Din al-Makki

 

Di antara murid beliau pula ialah:

  • Abd al-Qadir al-Thabari
  • Abd al-Rahman al-Mursyidi
  • Muhammad bin Farwakh

 

Di antara karya-karya beliau adalah:

Adapun karya-karya beliau terlalu banyak dan masyhur dalam kalangan manusia samada dalam bentuk yang sudah dicetak atau masih di dalam manuskrip. Selain itu juga, para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan jumlah karya beliau. Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah bahawa karya Syeikh Mulla Ali al-Qari mencecah 125 buah karya dalam pelbagai ilmu seperti fiqh, hadith, tafsir, qiraat, usul, ilmu kalam, faraid,, tasawwuf, sejarah, bahasa arab, nahu dan sebagainya. Antaranya sebahagian kecilnya adalah:

 

  • Al-Ahadith al-Qudsiyyah (Hadith-hadith qudsi)
  • Arbaun Hadith fi Fadhail al-Quran (40 hadith kelebihan al-Quran)
  • Al-Asrar al-Marfu’ah fi Ahadith al-Maudhu’ah
  • Syarah Sahih Muslim
  • Anwar al-Hujaj fi Asrar al-Haj
  • Anwar al-Quran wa Asrar al-Furqan fi al-Tafsir
  • Bidayah al-Salil fi Nihayah al-Masalik fi Syarh al-Manasik
  • Hasyiah ‘ala Fath al-Qadir
  • Hudud al-Ahkam
  • Al-Hai’ah al-Sanniyyah al-‘Aliyyah ‘ala Abyat al-Syatibi
  • Al-Namus fi Talkhis al-Qamus li al-Fairuz Abadi
  • Syarah al-Risalah al-Qusyairiyyah

 

Kesimpulannya, Syeikh Mulla Ali al-Qari merupakan salah seorang tokoh Islam yang agung yang mana jasa beliau telah banyak menyumbang kepada agama ini  dan sumbangannya juga amat besar di dalam ilmu Islam sehingga kini karya-karya beliau masih menjadi rujukan dan ditempatkan di dalam perpustakaan Islam. Semoga Allah SWT merahmatinya dan menjadikan kita sebahagian daripada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berjasa dan menyumbang kepada agama yang dicintai ini iaitu Islam. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #763 : HUKUM SOLAT SUNAT RAWATIB SELEPAS SOLAT JAMAK

Soalan : Assalamualaikum Dr Mufti.. Jika di ikutkan haram mengerjakan solat sunat selepas asar.Tetapi adakah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>