Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-233: IMAM AL-QA’NABI SEORANG TOKOH ULUNG HADITH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-233: IMAM AL-QA’NABI SEORANG TOKOH ULUNG HADITH

Download PDF

 

 

Soalan: Siapakah Imam al-Qa’nabi?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dengan mengenali sejarah para sarjana besar Islam akan meningkatkan semangat seseorang itu dalam menuntut ilmu dan juga sedikit sebanyak dapat diambil manfaat daripada sifat atau akhlak yang ditonjolkan supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan secara ringkas berkaitan latar belakang seorang tokoh yang hebat dan besar sumbangannya kepada Islam terutamanya di dalam bidang periwayatan hadith iaitu Imam al-Qa’nabi.

 

Imam al-Qa’nabi bukanlah satu nama yang asing bagi pencinta-pencinta ilmu hadith kerana beliau merupakan salah seorang perawi hadith yang thiqah (dipercayai) dan diambil riwayatnya daripada ramai tokoh-tokoh besar hadith sebagaimana yang akan kami nyatakan sebentar lagi.

 

Nama beliau ialah Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab. Beliau ialah seorang imam, kuat hafalannya, contoh ikutan dan juga syeikh al-Islam. Kunniyyah beliau pula ialah Abu Abd al-Rahman al-Harithi dan beliau tinggal di Basrah sebelum berpindah ke Makkah. Beliau lahir kemudian sedikit daripada tahun 130 hijrah.

 

Beliau meriwayatkan hadith daripada Aflah bin Humaid, Ibn Abi Zi’ib, Syu’bah bin al-Hajjaj. Usamah bin Zaid bin Aslam, Daud bin Qais al-Farra’, Salamah bin Wardan ,Yazid bin Ibrahim al-Tastari, Malik bin Anas, Nafi’ bin Umar. Al-Laith bin Sa’ad dan ramai lagi.

 

Adapun yang meriwayatkan hadith daripada beliau pula ialah al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Abu Hatim al-Razi, Amr bin Mansur al-Nasa’ie. Abu Zur’ah al-Razi, Uthman bin Sa’id al-Darimi, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi, Ismail al-Qadhi, Muhammad bin Ayyub, Ishak bin al-Hasan al-Harbi dan ramai lagi yang meriwayatkan hadith daripada beliau.  [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 257-258/10]

 

Di samping itu juga, al-Qa’nabi merupakan salah seorang tokoh yang banyak melazimi Imam Malik bin Anas R.anhu. Ini berdasarkan ucapan daripada al-Maimuni, aku telah mendengar al-Qa’nabi berkata:

 

“Aku bersama Imam Malik  selama 30 tahun, tidak ada satu hadith di dalam al-Muwattha’ yang mana jika kamu ingin bertanya akannya melainkan aku telah mendengarnya secara berkali-kali.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 259/10]

 

Imam al-Qa’nabi tidak bertemu Syu’bah melainkan pada akhir kehidupannya dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripadanya (melainkan sebuah hadith sahaja). Adapun, beliau telah meriwayatkan hadith daripada Aflah dan Aflah pula daripada al-Qasim. Aflah (usianya) lebih berusia sedikit berbanding Syu’bah.

 

Telah berkata Ahmad bin Muhammad al-Hiri, aku mendengar ayahku berkata apabila dia bertanya kepada al-Qa’nabi:

 

“Mengapa kamu tidak meriwayatkan hadith daripada Syu’bah melainkan satu hadith sahaja? Maka al-Qa’nabi menjawab: Adapun Syu’bah berat untuk meriwayatkan hadith kepadaku maka disebabkan itu beliau tidak meriwayatkan hadith kepadaku.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 261/10]

 

Kisah Taubat al-Qa’nabi Apabila Bertemu Syu’bah bin al-Hajjaj

Antara kisah menarik daripada tokoh ini yang boleh kita ambil sebagai pengajaran buat kita adalah daripada kisah taubat al-Qa’nabi. Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitab al-Tawwabin (orang-orang yang bertaubat):

 

“Dahulu ayahku seorang peminum nabiz (sejenis arak) dan berkawan dengan anak-anak muda. Pada suatu hari, beliau mengundang mereka (anak-anak muda untuk minum) dan saat itu beliau duduk di depan sebuah pintu menunggu kehadiran mereka lalu Syu’bah melalui tempat tersebut dengan menunggang keldainya yang dibelakangnya ramai orang yang berlari-lari mengikutinya. Melihat peristiwa itu, al-Qa’nabi berkata: “Siapakah orang ini (yang menunggang keldai?.” Dikatakan kepadanya: “Syu’bah.” Beliau berkata lagi: “Siapa itu Syu’bah?.” Orang-orang itu berkata: “Dia seorang ahli (tokoh) hadith.” Lalu al-Qa’nabi berdiri menghampiri Syu’bah yang memakai pakaian berwarna merah pada waktu itu sambil berkata kepadanya: “Riwayatkan hadith kepadaku?.” Maka Syu’bah berkata: “Kamu bukanlah seorang ahli hadith yang membuatkan aku harus untuk menyampaikan hadith kepada kamu”. Mendengar jawapan itu, al-Qa’nabi menghunuskan pisaunya dengan berkata: “Riwayatkan hadith kepadaku atau aku akan mencederakanmu dengan pisau ini?.” Lalu Syu’bah berkata:

 

حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ، عَنْ رِبْعِيِّ بْنِ حِرَاشٍ، حَدَّثَنَا أَبُو مَسْعُودٍ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.”

Maksudnya: “Telah menceritakan kepadaku Mansur, daripada Rib’iy, daripada Abu Mas’ud, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang kamu suka.” [Riwayat al-Bukhari (6120)]

 

Setelah mendengar hadith tersebut, a-Qa’nabi membuang pisaunya lalu pulang ke rumahnya dan pergi menuju ke tempat simpanan nabiznya (araknya) lalu memecahkannya atau menumpahkannya kesemuanya sambil beliau berkata kepada ibunya: “Jika sahabat-sahabatku datang nanti, persilakanlah mereka untuk masuk ke rumah dan sediakanlah makanan untuk mereka. Apabila mereka telah selesai makan, maka khabarkanlah kepada mereka tentang apa yang telah aku lakukan terhadap semua minumanku tadi sehingga mereka pulang.” Tidak lama daripada kejadian itu, beliau pergi ke Madinah untuk menimba ilmu di hadapan Malik bin Anas dan Imam Malik amat mempengaruhi dirinya. Setelah itu, beliau kembali ke Basrah yang pada saat itu Syu’bah telah pun meninggal dunia. Untuk itu, al-Qa’nabi tidak mendengar hadith daripada Syu’bah melainkan hadith ini (yang beliau dengar ketika beliau masih seorang pemabuk dan yang membuatkan dirinya bertaubat daripada perbuatannya tersebut). [Lihat: al-Tawwabin, 133]

 

Kedudukan al-Qa’nabi Di Dalam Muwattha’

Imam Yahya bin Ma’in tidak mendahulukan sesiapa daripadanya (al-Qa’nabi) dalam kalangan ashab (murid) Imam Malik. Kata al-Daraquthni dan al-Nasa’ie, al-Qa’nabi lebih tinggi (kedudukannya) berbanding Abdullah bin Yusuf di dalam al-Muwattha’. Imam al-Hakim pula pernah menceritakan bahawa Ali bin al-Madini pernah ditanya akan hal ini, maka beliau menjawab: [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

“Aku tidak mendahulukan mana-mana perawi di dalam al-Muwattha’ ke atas al-Qa’nabi.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 260/10]

 

Pujian Terhadap al-Qa’nabi

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang banyak mendapat pujian daripada orang yang pernah mengenali beliau. Antara pujian yang pernah diberikan kepada beliau adalah sepertimana yang kami nukilkan daripada kitab al-Hafiz al-Zahabi dan juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani:

 

  • Kata Ibn Abi Hatim, aku telah bertanya kepada ayahku: “Kamu lebih suka al-Qa’nabi atau Ismail bin Abi Uwais ketika meriwayatkan berkaitan al-Muwattha’?.” Maka ayahku menjawab: al-Qa’nabi dan aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih takut (kepada Allah) berbanding beliau.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 259/10]

 

  • Kata Yahya bin Ma’in: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang bercakap ikhlas kerana Allah sepertimana Waki’ dan al-Qa’nabi.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 261/10]

 

  • Kata Amr bin Ali al-Fallas berkata: “Adapun al-Qa’nabi merupakan seorang yang diterima doanya.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 261/10]

 

  • Kata Ismail al-Qadhi berkata: “al-Qa’nabi merupakan salah seorang yang bersungguh-sungguh di dalam ibadahnya.” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 262/10]

 

  • Kata Imam Ibn Khuzaimah: “Aku telah mendengar Nasr bin Marzuq berkata: Manusia yang paling kuat hafalan dan pengriwayatannya terhadap al-Muwattha’ ialah al-Qa’nabi dan Abdullah bin Yusuf selepas daripadanyam(al-Qa’nabi).” [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 262/10]

 

  • Kata al-Hunainiy: “Kami duduk bersama Imam Malik maka Imam Malik berkata ketika datangnya al-Qa’nabi: Bangunlah kamu bersama kami buat sebaik-baik penduduk bumi.” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

  • Kata Ibn Sa’ad: “Beliau merupakan seorang yang kuat ibadah, mulia dan telah mempelajari daripada Imam Malik buku-bukunya.” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

  • Abu Zur’ah berkata: “Aku tidak pernah menulis daripada seseorang yang mana orang tersebut teramat agung pada pandangan mataku daripadanya (al-Qa’nabi).” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

  • Abu Hatim berkata: “Beliau seorang yang thiqah dan hujjah (riwayatnya boleh dijadikan hujjah).” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

Kewafatan al-Qa’nabi

Imam al-Qa’nabi wafat pada tahun 220 atau 221 dan ini adalah pendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari. Adapun menurut Imam Abu Daud dan selain daripada beliau mengatakan beliau wafat pada bulan Muharram tahun 221 hijrah di Makkah. Akan tetapi, Ibn Adiy dan juga Ibn Hibban mengatakan beliau wafat di Basrah. [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 32/6]

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam mengenali salah seorang ilmuan atau tokoh dalam ilmu hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #763 : HUKUM SOLAT SUNAT RAWATIB SELEPAS SOLAT JAMAK

Soalan : Assalamualaikum Dr Mufti.. Jika di ikutkan haram mengerjakan solat sunat selepas asar.Tetapi adakah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>