Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-223: SOLAT DHUHA MENDAPAT ISTANA EMAS
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-223: SOLAT DHUHA MENDAPAT ISTANA EMAS

Download PDF

 

 

Soalan: Benarkah hadith yang menceritakan bahawa solat sunat Dhuha dua belas rakaat akan mendapatkan istana daripada emas di syurga?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari. Tambahan pula, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

 

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan akan kelebihan orang yang melakukan solat Dhuha sebanyak 12 rakaat akan mendapat sebuah istana emas di dalam syurga. Hadith ini diriwayatkan oleh:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.” [Riwayat al-Tirmizi (473) dan Ibn Majah (1380)]

 

Hukum Hadith

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi menilai hadith Anas ini sebagai gharib (ganjil) kerana tidak diketahui. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, 337/2]
  • Imam Ibn Mulaqqin mengatakan bahawa hadith ini telah dimuatkan oleh Ibn al-Sakan di dalam kitab sunannya yang sahih. [Lihat: Tuhfah al-Muhtaj, 416/1]
  • Imam al-Nawawi menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Khulasah al-Ahkam, 571/1]
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan di dalam sanad ini tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]
  • Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat Dhaif Jami’ al-Tirmizi, 52/1, Dhaif Ibn Majah, 380/3]

 

Di sini kami nyatakan bahawa kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif, akan tetapi ia boleh terangkat ke tahap hasan apabila ia disokong oleh beberapa riwayat lain. Hal yang sama juga dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa:

 

لَكِنْ إِذَا ضُمَّ إِلَيْهِ حَدِيثُ أَبِي ذَرٍّ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ قَوِيَ وَصَلُحَ لِلِاحْتِجَاجِ بِهِ

Maksudnya: “Tetapi jika digabungkannya dengan hadith Abi Zar RA dan Abi Darda’ RA maka ia kuat dan juga boleh digunakan dalam berhujah dengannya.” [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]

 

Kelebihan Solat Dhuha

Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:

 

  • Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]

 

Penutup

Kesimpulannya, menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar melaksanakan solat sunat Dhuha pada setiap hari. Ini kerana, ia merupakan sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-230: KELEBIHAN ISTERI BERSEDEKAH DENGAN HARTA SUAMINYA

      Soalan: Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>