Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-217: ITQAN (TEKUN) DALAM SETIAP PEKERJAAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-217: ITQAN (TEKUN) DALAM SETIAP PEKERJAAN

Download PDF

 

Soalan: Apakah hukum hadith ini?

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki. Di dalam al-Qur’an Allah SWT telah berfirman:

 

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

al-Taubah:105

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

 

Makna Itqan

Itqan (tekun) dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

 

Takhrij Hadith

Hadith tersebut ada diriwayatkan di dalam:

 

  • Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath, no. Hadith
  • Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman tetapi dengan sanad yang berbeza, no. Hadith 4929, 4930 dan 4931.

 

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menilai dan menghukum hadith ini adalah:

 

  • Imam al-Thabarani mengatakan hadith ini tidak diriwayatkan daripada Hisyam melainkan melalui jalur Mus’ab dan Bisyr telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 275/1]

 

  • Imam al-Haithami berkata hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan pada sanadnya terdapat Mus’ab bin Thabit. Ibn Hibban berpendapat Mus’ab seorang perawi yang thiqah dan sekumpulan ulama’ mengdhaifkannya. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 98/4]

 

  • Imam al-Bushiri menghukum sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan dhaifnya Mus’ab bin Thabit. [Lihat: Ithaf al-Khiyarah, 382/3]

 

  • Syeikh al-Albani menyatakan jika pada sanad Imam al-Baihaqi itu bagi orang yang melihat keadaan perawi selain daripada Bisyr. Maka di sisiku sanad hadith ini adalah kuat kerana perkataan al-Munawi pada Bisyr tidaklah mencacatkan keadaan Bisyr itu. Tambahan pula, Bisyr adalah seorang yang thiqah dengan dirinya sendiri, bahkan lebih tinggi daripada itu lagi.

 

Selain itu juga, bagi hadith ini terdapat sokongan atau syahid (daripada hadith yang lain) yang menguatkannya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 106/3]

 

وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ

Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” [Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932]

 

Setelah melihat pendapat sebahagian para ulama’ di atas, kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah dhaif yang ringan dan boleh menjadi hasan disebabkan terdapat sokongan pada hadith atau riwayat tersebut. Tambahan pula, keadaan perawi yang dipertikaikan itu telah berlaku khilaf dan ada pihak yang mengthiqahkannya antaranya Imam Ibn Hibban.

 

Kepentingan Itqan (Tekun)

Antara kepentingan tekun dalam bekerja:

 

Pertama: Tekun di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan adalah wasilah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT.

 

Kedua: Allah SWT kasih kepada orang-orang yang tekun dalam dalam bekerja sebagaimana hadith di atas.

 

Ketiga: Barangsiapa yang tekun dalam pekerjaannya akan memudahkan urusan orang lain dan mengelakkan daripada keletihan.

 

Keempat: Sifat tekun akan membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga orang yang sambil lewa ketika bekerja.

 

Kelima: Tekun juga akan menambakan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

al-An’am:162

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolomgkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan tekun dalam setiap perkara yang dilakukan. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 122: HUKUM DEMONSTRASI AMAN UNTUK PALESTIN

    Mukadimah Palestin merupakan salah satu tanah suci buat umat Islam seluruh dunia dan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>