Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-218 : HUKUM MAKAN DI KAWASAN KUBUR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-218 : HUKUM MAKAN DI KAWASAN KUBUR

Download PDF

Soalan:

Apakah hukum makan di kawasan kubur? Sebab ada yang berkata tidak boleh makan di kawasan kubur kerana kasihankan arwah yang melihat.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah swt. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikan kepada beberapa noktah:

Pertama: Definisi Kubur

Ia bermaksud tempat menanam mayat. Ia dikenali juga sebagai makam. Manakala ahli kubur ialah orang-orang yang sudah meninggal dunia. Sedangkan perkuburan pula ialah kawasan tempat menguburkan mayat atau juga disebut permakaman. (Lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)

 

Kedua: Sunat Menziarahi Kubur

Terdapat banyak nas yang menunjukkan supaya kita menziarahi kubur.Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Ziarahlah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ibnu Majah (1558), Imam Ahmad (3/179)
 dan Sahih al-Jami’ al-Saghir (7829)

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

 

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahlah kubur kerana sesungguhnya di dalamnya terdapat ‘ibrah dan pengajaran.”

Riwayat Imam Ahmad (22/466), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/77), al-Hakim dalam al-Mustadrak, (3/414). Beliau menyatakannya Sahih di atas syarat Muslim.

 

Dalam sebuah hadis yang panjang menyebut, daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda antaranya:

زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا

Maksudnya: “Menziarahi kubur itu ternyata bagiku dapat melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Maka ziarahlah kubur. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil/keji.”

Riwayat Ahmad (27/47) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/421)

Banyak lagi hadis-hadis dan nas yang menunjukkan galakan untuk kita menziarahi kubur.

 

Ketiga: Isu Makan di Kubur

Berdasarkan soalan di atas, kami boleh bahagikan kepada tiga perkara:

1. Makan di kubur

Berdasarkan amalan salafus soleh, kubur bukan tempat makan. Dengan sebab itu, apabila kita menekuni adab-adab ziarah kubur, maka tidak terdapat di sana sebarang anjuran makan tetapi penuh dengan doa serta tertib.

2. Makan di perkuburan

Maksud kami sebagaimana tradisi orang Melayu, khususnya di kampung, mereka membina bangsal atau wakaf, bukan di atas kubur tetapi pada sejuzuk tanah perkuburan yang belum digunakan lagi untuk berteduh dan berehat di samping berkumpul menunggu saudara mara yang ada kena mengena dengan ziarah kubur. Dalam hal ini, kami berpendapat hukumnya harus dengan syarat meraikan adab-adab kubur sekalipun mereka berhampiran dengan kubur.

Terdapat larangan menyembelih binatang di atas kubur. Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا عَقْرَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: Tidak ada penyembelihan (binatang di perkuburan) dalam Islam.

  Riwayat Imam Ahmad (13032), Abu Daud (3224),  al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (7320) dan Ibn Hibban (3146)

Syeikh Abd al-Razzaq berkata: “Maksud ‘aqra (عَقْرَ) adalah sembelihan binatang di atas kubur.”

Al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata: “Biasanya orang-orang jahiliah menyembelih unta di makam lelaki dermawan. Kata mereka: ” Kita membalas kebaikannya, kerana semasa hidupnya dia biasa menyembelihnya dan menyajikan kepada tetamu. Maka sekarang kita sembelih haiwan ini di makamnya untuk menjadi makanan bagi burung-burung dan binatang buas. Dengan demikian dia tetap menyediakan makanan setelah meninggal dunia sebagaimana dia telah menyediakan makanan selama hidupnya.

Justeru, apabila makan di bangsal atau wakaf, maka peliharalah adab kubur yang berhampiran dan makanlah dengan penuh kesopanan. Elakkan daripada sembelihan di kawasan tersebut dan juga membuat kotor di kawasan tersebut. Sebenarnya kebersihan kubur juga melambangkan kecaknaan dan keprihatinan masyarakat setempat berkenaan dengan tanah perkuburan.

3. Isu kasihankan arwah yang melihat.

Kami berpendapat ucapan seperti ini tidaklah tepat. Ini kerana orang yang hidup berada pada alam yang lain dan orang yang mati berada pada alam barzakh di mana kehidupan barzakhiah berbeza dengan kehidupan di alam dunia ini. Tanpa kita nafikan adanya azab dan nikmat kubur.

Kami berpendapat, dalam isu ziarah kubur amat perlu kita meraikan adab-adabnya sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Ini akan menjadikan jiwa lebih tenang dan hati lebih tenteram. Semoga kita sentiasa dikurniakan dengan kefahaman yang baik berkenaan dengan agama Islam kita ini.

 

 

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE-141 : PERKAHWINAN KANAK-KANAK MENGIKUT PERSPEKTIF SYARIAH

  Muqaddimah Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *