Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 215 : HUKUM HAKAM BERKAITAN ZIHAR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 215 : HUKUM HAKAM BERKAITAN ZIHAR

Download PDF

Soalan:

Assalamualaikum, bolehkah tuan jelaskan serba sedikit berkenaan isu zihar. Bagaimanakah ia berlaku ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Begitu banyak persoalan berkaitan isu zihar yang telah sampai kepada kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kami merasai kegusaran bagi sebahagian penyoal yang mengadu, bahawa mereka telah mengatakan kepada isteri mereka dengan ungkapan: ‘’Hidung awak sama mancung dengan hidung ibu saya’’, ‘’wajah awak seperti wajah ibu saya’’, ‘’awak macam adik perempuan saya’’ (dengan merujuk kepada ketinggian), dan beberapa perkataan yang seumpama dengannya. Justeru, kami mengambil tanggungjawab untuk memberikan penjelasan yang tepat dalam merungkai isu ini dengan lebih lanjut.

 

Pengertian Zihar

Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرََ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرََ

مِن َامْرَأتَِهَِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أنَْتِ كَظَهْرَِ أ مِي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”

Dari segi istilah, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalak secara bain dengan wanita yang mahram muabbad (selamanya) kepadanya. Rujuk Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini (hlm. 448).

Imam Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerena, golongan jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, dia akan berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku’’

Manakala menurut syarak, zihar itu berlaku pada keseluruhan anggota badan diqiyaskan kepada bahagian belakang. Dahulunya zihar di anggap sebagai talak pada zaman jahiliyyah. Kemudian Allah memberikan rukhsah (keringanan) kepada umat ini dengan menjadikan pada zihar itu ada kaffarah dan tidak menjadikan ia sebagai talak sebagaimana  yang berlaku pada zaman jahiliah. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (8/42).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar adalah perbuatan suami melafazkan kata kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, (si suami wajib mwmbayar kifarat zihar).

Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya. Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.

Hukum Zihar

Secara asasnya, terdapat beberapa nas yang menceritakan berkenaan isu zihar. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.

Surah al-Mujaadilah (2)

Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Keduanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar adalah haram hukumnya. Manakala di dalam kitab Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, disebutkan hukum zihar adalah haram dan termasuk daripada dosa besar dan siapa yang melakukannya dianggap berdosa dengan ijma’. Lihat Takmilah al-Majmu’ (16/341).

Berikut kami kongsikan beberapa tafsiran yang dikemukakan oleh para mufassir berkenaan ayat ini. Di antaranya:

Imam Ibn Jarir al-Thabari Rahimahullah berkata: Dan mereka yang mengharamkan isteri-isteri mereka ke atas diri mereka sendiri dengan sesuatu yang Allah S.W.T haramkan ke atas mereka, iaitulah bahagian belakang ibu-ibu mereka. Lalu mereka mengucapkan kepada isteri mereka: ‘’Kamu adalah seperti bahagian belakang ibu aku ke atas diriku’’. Hal sebegini merupakan suatu bentuk talak seorang lelaki kepada isterinya pada zaman  jahiliah. Dari Abu Qilabah beliau berkata: “Zihar merupakan talak pada zaman jahiliah’’. Lihat Ibn Jarir al-Thabari, Al-Jaami’ al-Bayan (23/228).

Imam al-Qurthubi Rahimahullah pula mengulas ayat ini dengan katanya: Hakikat zihar adalah menyerupakan bahagian belakang dengan bahagian belakang. Iaitu menyamakan bahagian belakang yang halal kepada bahagian belakang yang haram. Oleh yang demikian para ulama telah ijma’ (bersepakat) bahawa sesiapa yang mengatakan kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas aku seperti bahagian belakang ibu aku’’, merupakan seorang yang melakukan zihar. Manaka kebanyakan ulama pula berpandangan zihar berlaku sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atasku seperti belakang anak perempuanku, atau belakang adik beradik perempuanku’’, dan selainnya dari kalangan mahram. Rujuk Al-Jaami’ Li Ahkam alQuran, Al-Qurthubi (17/246).

 

Lafaz Zihar

Kami berpendapat bahawa di antara cara terpenting untuk menghilangkan kerisauan dan kekeliruan terhadap isu zihar ini adalah dengan kita menekuni secara mendalam berkenaan lafaz-lafaz zihar. Secara asasnya, lafaz zihar mempunyai dua bahagian. Iaitu lafaz yang sarih (jelas) dan juga kinayah (kiasan).

Lafaz yang sarih seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti bahagian belakang ibuku’’. Demikian juga ungkapan seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti perut ibuku’’, atau seperti kepalanya, atau farajnya, atau seumpama dengannya. Begitu juga dengan ucapannya: ‘’Faraj kamu, atau kepala kamu, perut kamu, atau kaki kamu, ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibu aku’’. Maka orang yang mengucapkan ini telah melakukan zihar.

Dan lafaz kinayah pula, ungkapan seorang suami kepada isterinya: ‘’Kamu ke atasku seperti ibuku, atau seumpama ibuku’’. Maka dalam hal ini perlu diambil kira pada niat pengucapnya. Sekiranya dia memaksudkan zihar, maka itu merupakan zihar. Sekiranya dia tidak memaksudkan zihar maka dia tidak dianggap sebagai pelaku zihar di sisi Imam al-Syafie dan juga Imam Abu Hanifah. 

Pendapat di atas ini adalah di antara 23 permasalahan yang berkaitan dengan isu zihar yang telah disebutkan oleh Imam al-Qurthubi Rahimahullah di dalam tafsirnya. Rujuk al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (17/246).

 

Kaffarah Zihar

Sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini, bahawa Allah S.W.T telah memberikan keringanan dalam isu zihar dengan menjadikan padanya kaffarah dan bukannya talak seperti pada zaman jahiliah. Kaffarah bagi seseorang yang melakukan zihar adalah seperti berikut:

Pertama: Bebaskan seorang hamba.

Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.

Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin.

Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur. Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga RasulNya. Dan itulah hudud (batasan) Allah. Dan buat orang kafir itu azab yang pedih.

Surah al-Mujaadilah (3-4)

Kesimpulan

Setelah kami menyatakan beberapa nas dan hujahan daripada kenyataan para ulama di atas, maka kami berpandangan bahawa seseorang suami hendaklah berhati-hati dan menjaga lidahnya dari bermudahan mengucapkan sesuatu yang boleh merosakkan hubungan suami isteri di dalam perkahwinan. Tambahan pula, pada perkataan-perkataan yang boleh menimbulkan keraguan dan kerisauan terhadap status perkahwinan seperti talak dan juga zihar.

Sekiranya ungkapan-ungkapan seperti yang telah kami sebutkan itu tadi diucapkan, dan memang benar seorang suami itu memaksudkan zihar, maka hukumnya adalah haram. Dalam kes ini kami mencadangkan agar pasangan suami isteri merujuk kepada pihak mahkamah syariah atau pihak berkuasa agama, terhadap kenyataannya itu. Sekiranya sabit zihar, maka talak tidak jatuh. Akan tetapi, wajib kaffarah zihar ke atas suami sebagaimana yang telah kami sebutkan.

Namun, perkataan suami kepada isteri: ‘’Awak cantik macam ibu saya’’, awak pandai memasak seperti ibu saya’’, ‘’ketinggian awak macam adik perempuan saya’’, ‘’saiz badan awak macam kakak saya’’, dan ucapan yang seumpama dengannya ini tidaklah membawa kepada maksud zihar yang sebenar. Kerana seseorang yang mengungkapkan ucapan seperti ini tidaklah bertujuan untuk mengharamkan isterinya ke atas dirinya sendiri dengan perkataan tersebut.

Akhir kalam, semoga dengan pencerahan ini dapat menghilangkan kerisauan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *