Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-209 : HUKUM SOLAT DI MASJID YANG LEBIH JAUH DARIPADA KEDIAMAN KERANA TAKUT MENJADI IMAM DI SURAU KAMPUNG
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-209 : HUKUM SOLAT DI MASJID YANG LEBIH JAUH DARIPADA KEDIAMAN KERANA TAKUT MENJADI IMAM DI SURAU KAMPUNG

Download PDF

 

Soalan:

Assalamualaikum Tuan, Saya nak tahu hukum sembahyang di masjid besar dan tidak bersembahyang di surau kampung kerana tidak yakin dan masalah gementar jika di minta menjadi imam di surau.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Hukum Solat Jemaah

Menurut, pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafie bahawa solat berjemaah selain daripada solat Jumaat itu adalah fardu kifayah. Tidak gugur kefarduannya itu daripada ahl al-baldah (masyarakat setempat) melainkan setelah dizahirkan syiar solat itu. Jika solat jemaah tidak didirikan atau dibuat secara sembunyi maka berdosalah masyarakat setempat dan pemmpin boleh memerangi mereka yakni mengambil tindakan berdasarkan kuasa mereka.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ

Maksudnya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.

(Surah al-Nisa’: 102)

Ayat ini diturunkan berkenaan tatacara ketika takut dalam peperangan. Justeru, arahan untuk menunaikan solat secara berjemaah dalam keadaan aman tanpa perang adalah lebih wajar.

Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/177)

 

Hikmah Solat Berjemaah Sebagai Syiar Islam

Sesungguhnya teguhnya tiang-tiang Islam wujud dengan semangat saling mengenal dalam kalangan orang Islam. Juga pada semangat persaudaraan dan tolong menolong dalam menganggat kebenaran dan meruntuhkan kebatikan. Ini tidak dapat disempurnakan, yakni perkenalan dan persaudaraan ini, melainkan sebaiknya dengan menggunakan peranan masjid yang menjadi tempat pertemuan kaum Muslimin untuk menunaikan solat fardu lima waktu.

Lebih-lebih lagi, dalam urusan dunia, manusia mungkin saling berpecah dan dengki antara satu masa lain. Maka dengan wujudnya pertemuan melalui solat berjemaah akan menthabatkan hati-hati mereka daripada terus koyak akibat perpecahan dan menjaga hati mereka daripada kebencian dan hasad. Orang mukmin yang sejati itu bukan seperti orang munafik; orang mukmin menzahirkan solat berjemaah dan ibadah mereka dan berusaha untuk sentiasa ke masjid.

           Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/178)

Kepentingan Mengimarah Masjid dan Surau

Firman Allah Taala:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

 

Imam al-Qurthubi berkata: “Firman Allah Ta’ala ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa mempersaksikan orang-orang yang memakmurkan masjid dengan keimanan adalah adalah sahih (dan diterima), kerana Allah Ta’ala mengaitkan keimanan dengan perbuatan imarah ini… sebahagian ulama Salaf berkata: “Jika engkau melihat seorang hamba (yang selalu) memakmurkan masjid maka berbaiksangkalah kepadanya”.”

             Rujuk Tafsir al-Qurtubi (8/90)

Berkata Imam al-Maraghi: “Orang yang menyatukan rukun penting antara rukun-rukun Islam itulah yang diharapkan mendapat petunjuk untuk melakukan apa sahaja yang disukai dan diredai Allah SWT. Maksudnya, memakmurkan masjid sama ada secara hissi atau maknawi sesuai denga perjalanan sunnah Allah dalam perbuatan manusia dan pengaruh perbuatan itu terhadap mereka. Dengan demikian, mereka berhak mendapat balasan berdasarkan amalanya itu di syurga.”

Rujuk Tafsir al-Maraghi (2715)

Jelas daripada kenyataan di atas, bahawa orang yang mengimarahkan rumah-rumah Allah, sama ada masjid atau surau, adalah mereka yang berada di dalam hidayah dan tiada balasan melainkan syurga semata-mata.

 

Pandangan Hukum

Mengenai solat yang diajukan, secara asasnya masjid yang memiliki jamaah yang ramai itu lebih afdal untuk disertai solat bersama mereka berbanding masjid yang lebih sedikit bilangan jamaahnya. Ini kerana solat Jamaah yang lebih besar jamaahnya lebih besar kelebihan berbading jemaah yang lebih kecil. Ini berdasarkan hadis riwayat Ubayy bin Ka`ab RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ، وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Solat seorang individu dengan individu lain lebih baik berbanding solat secara bersendirian, dan solatnya seseorang bersama dua orang lebih baik berbanding solat berdua. Bila mana lebih ramai jamaah itulah yang lebih dicintai Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat al-Nasaie (843)

Namun begitu, ada beberapa keadaan solat di tempat yang lebih sedikit lebih afdhal daripada tempat yang ramai.

Salah satunya ialah solat berjemaah di masjid yang lebih dekat. Ini kerana jamaah akan berkurang sehingga ditakuti menghilangkan terus jemaah di kawasan berkenaan.

Begitu juga sekiranya masjid yang lebih jauh tetapi ramai jamaahnya itu diimamkan seorang pelaku bida`ah, orang fasiq, atau orang yang tidak sempurna rukun solatnya (seperti bacaan al-Fatihah yang teruk dan lain-lain). Maka dalam situasi ini masjid yang lebih dekat adalah lebih utama.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (1/407)

Berkenaan dengan apa yang dialami oleh saudara yang bertanya, sepatutnya seseorang Muslim itu hendaklah sempurna rukun-rukun solatnya sehingga dia yakin dan tidak masalah untuk seseorang mengikutnya sebagai makmum. Jika tidak, maka hendaklah dia belajar sehingga dia yakin dengan kesahihan ibadatnya. Apatahlagi dalam situasi berkenaan, ahli jemaah di surau kampung itu lebih meyakini saudara sebagai imam.  Tidak seharusnya seorang yang beriman itu melarikan diri daripada tanggungjawab untuk memperbaiki masyarakat yang paling dekat dengan kediamannya hanya kerana gementar dengan peranan sebagai imam.

Justeru, kami menyatakan bahawa hukum solat di masjid yang lebih dekat adalah lebih afdhal. Ada pun solat di masjid yang lebih besar tetapi lebih jauh itu adalah harus jua.

Wallahua`lam.

Source: IRSYAD FATWA

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-230: KELEBIHAN ISTERI BERSEDEKAH DENGAN HARTA SUAMINYA

      Soalan: Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>