Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-206 : NUSYUZ JIKA MERTUA MEMBAWA ISTERI KELUAR TANPA KEBENARAN SUAMI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-206 : NUSYUZ JIKA MERTUA MEMBAWA ISTERI KELUAR TANPA KEBENARAN SUAMI

Download PDF

Soalan:

Apa hukum mertua membawa pulang isteri ke rumah mereka, sedangkan suami tidak memberi izin, ini kerana cuma pergaduhan kecil.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada hukum asal, seorang isteri diharamkan untuk keluar daripada rumah pelaminnya sekiranya tidak diizinkan oleh suaminya. Wanita ini dianggap sebagai nusyuz dan berdosa besar.

 

Definisi Nusyuz

Nusyuz daripada sudut bahasa bermaksud melakukan maksiat atau penentangan. Asalnya daripada perkataan nasyz dan nasyaz yang bermaksud kedudukan yang tinggi.

Manakala daripada sudut istilah syarak, secara ghalib (kebiasaan) berlaku kepada wanita. Perempuan yang nusyuz ialah isteri yang ingkar kepada suaminya dan bertindak meninggi diri daripada apa yang Allah wajibkan untuk mentaati suaminya.

 

Hukum dan Dalil-dalil Berkenaan Nyusyuz

Hukum berkelakuan nusyuz adalah haram dan berdosa besar.

Firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz).

(Surah al-Nisa’: 34)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَاتَتِ المَرْأَةُ مُهَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجِهَا، لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Jika seorang wanita itu tidur dalam keadaan dia meninggalkan katil suaminya (yakni tidak mahu tidur bersama setelah diajak) maka dia akan dilaknat oleh para malaikat sehingga Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (5194)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ، فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ، لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Jika seorang memanggil isteri ke tempat tidur tetapi dia tidak datang kepadanya lalu suami itu tidur dalam keadaan marah terhadapnya maka para malaikat melaknat wanita itu sehingga Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (5193)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا مِنْ رَجُلٍ يَدْعُو امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهَا، فَتَأْبَى عَلَيْهِ، إِلَّا كَانَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ سَاخِطًا عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْهَا

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada apa yang berlaku apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur lalu isterinya enggan kecuali Dia yang di langit akan murka ke atasnya sehingga suami berkenaan reda terhadap isterinya.”

Riwayat Muslim (1436)

Daripada Muaz bin Jabbal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya, seseorang wanita itu tidak dikira menunaikan hak Tuhannya sehingga dia menunaikan hak suaminya.”

Riwayat Ibn Majah (1853)

Bentuk-Bentuk Nusyuz

Nusyuz boleh berlaku ke atas isteri mahupun suami. Sekiranya masing-masing meninggalkan tanggungjawab maka mereka dianggap nusyuz.

  1. Nusyuz Isteri:
    1. Keluar daripada rumah pelamin tanpa keizinan suami dan tanpa uzur. Dikecualikan bagi kes-kes keuzuran seperti:
      1. Keluar berjumpa qadi/hakim untuk menuntut haknya daripada suaminya
      2. Keluar mencari nafkah jika suami tidak mampu menafkahkannya
  • Meminta fatwa daripada mufti sekiranya suami itu bukan seorang faqih dan tidak dapat meminta fatwa bagi pihaknya
  1. Menegah suaminya daripada beristimta` (berasmara) sekalipun pada selain bersetubuh
  2. Bermusafir tanpa izin dan keredhaan suami
  3. Enggan membuka pintu rumah untuk suami masuk
  4. Memenuhi kehendak suaminya kecuali ketika uzur seperti sakit.
  5. Sibuk dengan urusan dirinya apabila suami telah memanggilnya
  6. Enggan pulang ke rumah pelamin setelah diajak oleh suami dan terus tinggal di rumah keluarganya.

Tidak termasuk dalam kategori nusyuz jika seorang wanita itu memaki hamun dan menyakiti suaminya dengan lisan atau dengan lainnya, sekalipun perbuatan itu berdosa. Sebaiknya suami menta`dibkan (mendidiknya) sendiri tanpa dibawa kepada kadi kerana itu lebih mendatangkan masyaqqah, memalukan, akan susah untuk diajak berasmara kemudian hari dan meliarkan hati.

  1. Nusyuz Suami:
    1. Mengabaikan isteri.
    2. Membiarkan isteri tanpa nafkah batin.
    3. Menzaliminya dengan menegah haknya mendapat nafkah
    4. Tidak adil membuat aturan hari jika isteri ramai.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (90-92) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili

Kesimpulan

Perbuatan mertua membawa balik anaknya keluar daripada rumah pelamin tanpa keizinan suami adalah suatu hal yang tidak wajar. Namun begitu suami isteri hendaklah bijak menangani situasi seperti ini dengan bersabar dan mengambil tindakan yang wajar apabila keadaan kembali tenang.

Sebenarnya isteri dalam situasi begini perlu memainkan peranan untuk tidak keluar rumah tanpa kebenaran suaminya sekalipun diajak oleh ibu bapanya. Namun begitu hukum akan menjadi berbeza sekiranya suami berkenaan melakukan jenayah terhadap isteri yang mengancam nyawa dan mendatangkan kecederaan pada isteri. Maka mertua tersebut ingin menyelamatkan anaknya.

Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada penanya. Kami berdoa agar Allah memberikan sakinah kepada keluarga.

 

 

 

Source: IRSYAD FATWA

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 122: HUKUM DEMONSTRASI AMAN UNTUK PALESTIN

    Mukadimah Palestin merupakan salah satu tanah suci buat umat Islam seluruh dunia dan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>