Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE-134 : KEPENTINGAN TAKWIM HIJRI DALAM PENENTUAN HUKUM HAKAM DAN PENTADBIRAN HAL EHWAL ISLAM DI MALAYSIA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE-134 : KEPENTINGAN TAKWIM HIJRI DALAM PENENTUAN HUKUM HAKAM DAN PENTADBIRAN HAL EHWAL ISLAM DI MALAYSIA

Download PDF

 

Pengenalan

Alhamdulillah, pada Bayan Linnas kali ini, kami kemukakan isu Kepentingan Takwim Hijri Dalam Penentuan Hukum Hakam Dan Pentadbiran Hal Ehwal Islam Di Malaysia yang disediakan oleh Unit Falak untuk pengetahuan dan maklumat kita semua. Semoga ia memberi kefahaman kepada kita dalam isu ini.

 

Takwim merupakan satu sistem penyatuan unit pengukuran masa bagi satu jangka masa yang panjang. Pengukuran masa adalah berdasarkan pergerakan objek-objek cakerawala terutamanya bulan atau matahari. Secara ringkas, bulan digunakan kerana perubahan fasanya dapat memberikan petunjuk tentang julat sesuatu masa. Manakala matahari digunakan kerana perubahan musim kesan daripada pergerakan tahunannya. Unsur penting yang terdapat pada takwim ialah hari, bulan dan tahun.

 

Mengenai pengukuran masa, Allah SWT berfirman:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

(Surah Yunus: 5)

Definisi

Perkataan takwim berasal daripada bahasa Arab bermaksud maklumat tahunan yang terdiri daripada tarikh, keadaan cuaca, maklumat astronomi, jadual pasang-surut dan maklumat-maklumat lain yang disusun dalam satu jadual.

 

Menurut Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, ‘takwim’ ialah: daftar hari bulan, almanak, kalendar, dan penanggalan. ‘Kalendar’ pula bermaksud: jadual atau susunan tarikh bagi sesuatu tahun yang diatur mengikut hari (dalam minggu) dan bulan (dalam tahun), takwim, almanak, penanggalan. Perkataan ‘almanak’ (Arab: al-manakh, Inggeris: almanac) pula ditakrifkan sebagai: kalendar tahunan yang mengandungi senarai hari bulan dengan maklumat lain seperti terbit dan masuk matahari, air pasang surut, peredaran bulan, dan lain-lain.

 

Daripada segi istilah, ‘takwim’ ialah satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu, minggu menjadi hari, hari menjadi jam, dan jam menjadi saat.

 

Hijriah atau Miladiah

Takwim Hijriah merupakan takwim rasmi umat Islam dalam pelbagai urusan terutama dalam aspek ibadat. Ia adalah suatu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi dan pengiraannya bermula daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Yathrib (Madinah) pada tahun 622 Miladiah.

 

Manakala takwim Miladiah merupakan suatu sistem syamsiah iaitu bepandukan peredaran matahari. Takwim Miladiah berasal daripada takwim Julian (Julius Ceasar) yang diperkenalkan sejak tahun ke-46 sebelum Miladiah dan digunakan oleh orang Rom. Kemudian, tahun kelahiran Isa al-Masih (Nabi Isa A.S) dijadikan permulaan rujukan kitaran takwim oleh orang-orang Kristian dan dinamakan takwim miladiah (milad dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran) atau takwim Masihi sempena gelaran al-Masih kepada Nabi Isa A.S. Takwim ini telah diperbaiki oleh Pope Gregory XIII serta dinamakan takwim Gregorian dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 Miladiah.

 

Sejarah Takwim Hijriah

Pada zaman pra Islam, masyarakat Arab menamakan tahun-tahun dengan peristiwa-peristiwa penting atau peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut sebagaimana contoh-contoh berikut:

 

  1. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. kira-kira pada tahun 1855 sebelum Miladiah.
  2. Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 sebelum Miladiah.
  3. Kewafatan Ka’ab bin Lu`ay iaitu datuk kepada Nabi Muhammad SAW yang ketujuh pada tahun 59 sebelum Miladiah.
  4. Tahun Uzur pada 461 Miladiah kerana manusia pada tahun ini bertelagah sesama mereka.
  5. Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah menyerang Makkah pada tahun 571 Miladiah.
  6. Berlakunya Peperangan Fujjar selama empat tahun bermula daripada 586 Miladiah. Para qabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berperang dalamnya. Oleh sebab itu ia dinamakan peperangan Fujjar kerana bangsa Arab melanggar larangan pada bulan haram.
  7. Pembinaan semula Kaabah yang siap pada masa Abdul Mutallib iaitu datuk Nabi Muhammad SAW menjadi ketua dan ketika itu baginda SAW berusia 35 tahun. Ini bermakna ia berlaku pada tahun 605 Miladiah.

 

Tahun berlakunya peristiwa Hijrah dinamakan Tahun Azan kerana pada tahun tersebut disyariatkan azan, tahun kedua dinamakan Tahun Izin Berperang, tahun ketiga Tahun Puasa, keempat Tahun Zakat atau Tahun Korban, tahun kesembilan dinamakan Tahun Al-Bara`ah kerana pada tahun tersebut turunnya surah Al-Bara`ah (At-Taubah), kesepuluh Tahun Wada’ (perpisahan) ekoran Haji Wada’ Nabi Muhammad SAW.

 

Pada tahun kesepuluh selepas peristiwa Hijrah inilah (632 Miladiah), semasa Haji Wada’ (Haji Perpisahan) diturunkan ayat 36, surah al-Taubah berikutan penyalahgunaan kaum kafir dalam menetapkan susunan takwim bagi tujuan menjaga kepentingan mereka. Wahyu ini melarang campur tangan manusia sama ada secara peribadi atau untuk tujuan politik dalam soal pengaturan takwim. Firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”.

(Surah al-Taubah: 36)

 

Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

 

Penyusunan semula takwim Hijriah ini berlaku apabila beliau menerima tiga pucuk surat yang telah mengelirukan iaitu:

 

  1. Surat daripada Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya;
  2. Sepucuk surat daripada Gabenornya di Mesir yang mencatatkan ‘bulan Syaaban’ (syuhur sya’ban) dengan tidak pula menyebutkan bilangan tahun;
  3. Beliau juga telah menerima sepucuk surat dari seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ya’la ibni Umayyah dari Yaman yang mencatatkan tarikh, nama bulan serta tahun yang diasaskan dari tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW

 

Khalifah Umar R.A. telah tertarik dengan susunan tarikh yang ditulis Ya’la ibni Umayyah. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan para sahabat pada hari Rabu, 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijriah dan memutuskan bahawa takwim Islam disusun semula bermula pada tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Tarikh 01 Muharram tahun 01 Hijriah adalah bersamaan dengan hari Jumaat 16 Julai 622 Miladiah.

 

Jenis-jenis Takwim Hijriah

Secara praktikal, Takwim Hijriah terbahagi kepada beberapa jenis seperti berikut:

 

  1. Takwim Istilahi

 

Pusingan lengkap peredaran bulan mengelilingi bumi (satu bulan) adalah 29.53059 hari. Bilangan hari ini kemudiannya dibuat jujukan selama 30 tahun menghasilkan jumlah hari hampir genap 10631 hari. Jumlah hari selama 30 tahun ini membentuk purata jumlah hari setahun iaitu 354.36667 hari. Jumlah hari purata ini digunakan untuk menyusun 12 bulan taqwim berdasarkan jumlah hari 29 atau 30 hari secara selang seli menjadikan 354 hari setahun. Kaedah ini hanya digunakan untuk membuat anggaran tarikh sahaja, bukan untuk takwim ibadat.

 

  1. Takwim Hakiki

 

Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari. Penentuan awal bulan hijriah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki, iaitu apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

 

  1. Takwim Wujudul Hilal

 

Takwim yang berdasarkan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

 

  1. Takwim Imkanur Rukyah

 

      Takwim Imkanur Rukyah adalah berdasarkan penentuan setiap awal bulan hijriah ditetapkan berpandukan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

 

Ciri-Ciri Takwim Hijriah

  1. Bulan

 

Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 36. Bilangan bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu:

 

  • Muharram
  • Safar
  • Rabiulawal
  • Rabiulakhir
  • Jamadilawal
  • Jamadilakhir
  • Rejab
  • Syaaban
  • Ramadhan
  • Syawal
  • Zulkaedah
  • Zulhijjah

 

Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan Hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

  

  1. Hari

 

Pengiraan hari dalam takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan takwim Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, berbeza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam takwim Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru Hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.

 

Penentuan Awal Bulan Hijriah

 

Berdasarkan pedoman yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:

 

  1. Rukyah (melihat anak bulan) semata-mata.

 

  1. Hisab Falak semata-mata.

 

  1. Rukyah dan Hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur Rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (Hilal).

 

Perbezaan amalan dan cara di atas adalah disebabkan kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berkaitan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah.

 

 

Kriteria Imkanur Rukyah

Berdasarkan dalil-dalil Al-Quran, Hadis dan pendapat ulama serta kajian astronomi moden, penyelesaian jalan tengah dengan cara Rukyah dan Hisab adalah menjadi pilihan untuk diamalkan di Malaysia kerana ia lebih hampir kepada kehendak syarak.

 

Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan Qamariah berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

 

Kriteria Imkanur Rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan ketetapan:

 

  1. Ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam.

 

  1. Jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam.

 

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menerimapakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif iaitu:

 

  • Umur hilal tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.

 

Pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersetuju untuk mengubahsuai kriteria Imkanur-Rukyah yang sedia ada. Kriteria Imkanur-Rukyah adalah:

 

Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku pada 29 haribulan hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

 

  1. Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3°, atau;

 

  1. Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

 

Kriteria Imkanur Rukyah ini pada mulanya diguna bagi penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain secara kaedah Wujudul Hilal. Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah menetapkan penggunaan kriteria Imkanur Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam pelaksanaan Takwim Hijriah.

  

 

Keperluan dan Kepentingan Takwim Hijri Dalam Dokumen Rasmi Malaysia

Takwim memainkan peranan yang amat kritikal dalam pengurusan kehidupan manusia. Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan pentadbiran kehidupan seharian manusia bergantung kepadanya. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ آيَتَيْنِ ۖ فَمَحَوْنَا آيَةَ اللَّيْلِ وَجَعَلْنَا آيَةَ النَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ فَصَّلْنَاهُ تَفْصِيلًا

 

Maksudnya: “Dan Kami jadikan malam dan siang itu  dua tanda (yang membuktikan kekuasaan   Kami), maka Kami  hapuskan   tanda malam  itu  (sehingga   menjadi  gelap   gelita), dan  Kami jadikan  tanda  siang  itu  terang  benderang, supaya kamu mudah  mencari  rezeki  dari  limpah  kurnia Tuhan  kamu, dan   supaya   kamu   mengetahui    bilangan    tahun   dan hitungan   hisab  (bulan   dan  hari); Dan  (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya”

(Surah al-Isra’: 12)

 

Takwim Hijriah digunakan oleh umat Islam dalam menentukan segala hari kebesaran, haul zakat, tempoh iddah, umur baligh dan segala ibadah dalam Islam perlu merujuk kepada tahun Hijriah. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji….”

(Surah Al-Baqarah: 189)

 

Menurut Ibn Kathir, ayat di atas menjelaskan bahawa hilal itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa & berbuka, iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain.

 

Dokumen Rasmi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia yang sentiasa digunakan dalam urusan kehidupan umat Islam yang berkaitan dengan tarikh miladi dan hijri adalah Sijil Kelahiran, Sijil Perkahwinan, Sijil Cerai, Sijil Rujuk, Sijil Mati dan seumpamanya.

 

Selain itu, Malaysia mempunyai beberapa kaedah dan sejarah penggunaan takwim hijri yang rasmi. Tahun 1970, Malaysia menggunakan sistem takwim hijri istilahi, 1982 pula takwim hijri hakiki dan seterusnya 1997 takwim hijri imkan al-rukyah. Penggunaan takwim semasa yang rasmi akan memudahkan rakyat mengurus dan mengatur kehidupan seharian mereka termasuklah apa-apa yang melibatkan acara kebudayaan mahupun keagamaan.

 

Pengiraan takwim hijri yang tepat selari perubahan dan perkembangan penggunaannya di Malaysia perlu dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan semua pihak.

 

Beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Jabatan Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Agensi Pungutan Zakat, Lembaga Tabung Haji dan lain-lain adalah antara agensi yang terlibat secara langsung dengan penggunaan  tarikh hijri dalam merekod atau memutuskan sesuatu hukum atau keputusan.

 

Hakikatnya sememang wujud di sana kepentingan penggunaan takwim dalam permasalahan yang ada kaitan secara langsung dengan fiqh. Antara persoalan fiqh yang mempunyai hubungkait dengan penggunaan takwim hijri adalah persoalan tempoh hawl, tempoh iddah, tempoh mengandung, baligh, hadanah, penyusuan dan hukum hakam yang merujuk kepada perkiraan umur samada yang melibatkan manusia atau binatang ternakan.

 

Seharusnya Malaysia mencatat sejarah bersama dengan negara Asia yang lain seperti Singapura yang merekodkan tarikh hijri dalam dokumen rasmi yang sentiasa menjadi rujukan dan penggunaan dalam urusan kehidupan seharian.

 

 

Rujukan

  • Al-Quran
  • Hadis
  • Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
  • Mohammad Ilyas; Sistem Kalendar Islam Dari Perspektif Astronomi; Dewan Bahasa dan Pustaka; 1999
  • Mohammad Ilyas; Kalendar Islam Antarabangsa; Dewan Bahasa dan Pustaka;1999.
  • Mohammad Ilyas; Calendar In Islamic Civilization : Modern Issues ; Dewan Bahasa dan Pustaka; 1999.
  • Mohammad Ilyas; Astronomi Islam Dan Perkembangan Sains: Kegemilangan Masa Lalu Cabaran Masa Depan; Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.; 2003
  • Baharrudin Zainal; Ilmu Falak; Dewan Bahasa dan Pustaka; 2004
  • Ab Rahaman b. Hj. Hussain; Kertas kerja: Taqwim Menurut Justifikasi Syara’; Jabatan Mufti Negeri Selangor; 2005

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *