Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA

Download PDF

 

Mukadimah

Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula. Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.

Definisi

Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1] Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

Jenis Doula

Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum. Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung. Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]

Hukum Menggunakan Khidmat Doula

Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional. Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih. Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.

Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih. Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut. Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).

Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi. Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014.  Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.

Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”
(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan kalimah (وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ) dengan katanya:

مُعَالَجَةٌ صَحِيحَةٌ غَالِبَةٌ عَلَى الْخَطَأِ فَأَخْطَأَ فِي طِبِّهِ وَأَتْلَفَ شَيْئًا مِنَ الْمَرِيضِ

Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)

Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri. 

Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.

Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).

  • Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
  • Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata:  “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu  yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan  mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu.  Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”

Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.

Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)

Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.  

Akhukum fillah,

SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

11 Februari 2018

_________________________________________________

[1] http://americanpregnancy.org/labor-and-birth/having-a-doula/

[2] https://www.webmd.com/baby/what-is-a-doula

[3] Temuramah dengan Dr. Abdul Latif Mohamad pada 10 Februari 2018.

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

          Soalan: Apakah status hadith ini?   مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *