Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #752 : HUKUM GABUNG TABUNG ASNAF ZAKAT DENGAN TABUNG ANAK YATIM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #752 : HUKUM GABUNG TABUNG ASNAF ZAKAT DENGAN TABUNG ANAK YATIM

Download PDF

Soalan :

Adakah boleh menggabungkan di antara tabung untuk anak yatim dan tabung asnaf zakat?

Jawapan :

Alhamdulillah. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perlu diketahui bahawa Zakat mempunyai asnafnya yang tersendiri. Ini berdasarkan firman Allah swt ;

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّـهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّـهِ ۗ وَٱللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya :” Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah : 60)

Melalui ayat ini dapat kita ketahui bahawa asnaf yang layak diberikan zakat ialah :

  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Amil
  4. Orang Muallaf yang dijinakkan hatinya
  5. Hamba
  6. Orang yang berhutang
  7. Orang yang berada di jalan Allah
  8. Orang yang bermusafir

 

Kata Sheikh Wahbah al-Zuhaili :

“Zakat yang difardukan diberikan kepada 8 golongan tersebut. Huruf Lam yang terdapat pada ayat tersebut membawa makna wajib. Zakat tersebut adalah khusus untuk 8 golongan ini sahaja dan tidak boleh diberikan kepada orang lain. Secara zahirnya, ayat ini membawa makna takhsis (pengkhususan) hak zakat kepada 8 golongan ini dan wajib untuk memberi hasil zakat kepada setiap golongan jika ada. Juga perlu menjaga kesamarataan di antara mereka kerana mereka berhak memperoleh hak yang sama.”

Rujuk al-Tafsir al-Munir (10/258)

Khatib al-Syarbini menjelaskan :

“Maka dapat diketahui bahawa ayat tersebut berbentuk al-Hasr (pengkhususan) yang membawa makna hasil zakat tersebut tidak boleh diberikan kepada selain dari 8 golongan ini. Ini adalah perkara yang berlaku ijmak padanya. Yang menjadi perselisihan adalah adalah perlu mencari setiap dari golongan tersebut untuk diberikan zakat.”

Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ (3/86)

Maka jelaslah fungsi tabung zakat adalah untuk diberikan kepada asnaf yang layak iaitu yang disebutkan di dalam ayat yang telah kami sebutkan. Tidak termasuk di dalamnya anak yatim. Melainkan jika anak yatim tersebut tergolong di dalam mana-mana asnaf yang 8.Pada ketika itu, mereka layak untuk diberikan zakat.

Melihat kepada fungsi yang berbeza pada kedua-dua tabung tersebut, kami mengesyorkan agar tabung anak yatim dan tabung zakat diasingkan. Ini supaya hasil dari tabung zakat dapat diberikan kepada yang layak dan berhak.

Wallahu’alam

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

          Soalan: Apakah status hadith ini?   مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *