Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #738 : PERMASALAHAN BERHUTANG DENGAN ALONG
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #738 : PERMASALAHAN BERHUTANG DENGAN ALONG

Download PDF

SOALAN

Si mati (isteri) telah meninggalkan suami dan anak lelaki. Si mati pernah berhutang daripada Along (ceti haram) sebanyak RM 5000 dan telah membayar hutang tersebut lebih daripada jumlah pinjaman. Bayaran tersebut adalah bunga sahaja belum lagi bayar hutang. Apakah yang perlu dilakukan pewaris terhadap hutang si mati? Adakah perlu membayar lagi atau dah dikira sudah habis hutangnya?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga Baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Permasalahan hutang merupakan satu isu yang diberi perhatian yang besar di dalam Islam. Allah menyebut berkenaan permasalahan ini dalam satu ayat yang cukup panjang di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّـهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّـهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ فَإِن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ ۚ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا ۚ وَلَا تَسْأَمُوا أَن تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَىٰ أَجَلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَىٰ أَلَّا تَرْتَابُوا ۖ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا ۗ وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ ۚ وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ ۚ وَإِن تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ ۗ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّـهُ ۗ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Baqarah: 282)

Ayat di atas jelas menunjukkan beberapa perkara. Antaranya:

  • Hendaklah menulis ketika berhutang.
  • Hendaklah ada saksi dan itulah sebaik-baiknya.
  • Jauhi daripada riba.
  • Jauhi daripada menjadi zalim dan dizalimi.

Inilah irsyad atau petunjuk daripada al-Quran agar mansuia selamat dalam mengemudikan kehidupan termasuklah dalam isu keberhutangan.

Along didefinisikan sebagai orang yg memberikan pinjaman wang secara haram dan mengenakan bunga yg sangat tinggi, dan biasanya akan bertindak ganas sekiranya pinjaman tersebut tidak dibayar. (Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat)

Dalam isu ini, saya nasihatkan agar berjumpa dengan badan-badan NGO yang terlibat secara langsung untuk berkomunikasi dengan along. Antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Mungkin buah nasihat dan cadangan daripadanya boleh diambil kira. Saya juga mengesyorkan agar bertemu dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapat maklumat dan nasihat secara menyusun semula perbelanjaan dan menguruskan hutang agar perjalanan kehidupan dalam pengurusan kewangan menjadi baik dan stabil.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan kepada rakan taulan dan sahabat handai supaya menjauhkan diri daripada berhutang dengan along atau mereka yang tidak berlesen serta yang adanya unsur riba keran sifatnya menindas dan menzalimi. Inilah yang difirmankan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ  ﴿٢٧٩

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(Surah al-Baqarah: 278-279)

Semoga kemelut hutang ini dapat diselesaikan dengan baik dan selamat daripada belenggu keberhutangan. Kami teringat satu doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada yang berhutang:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada keluh kesah dan dukacita. Aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas. Aku berlindung dengan-Mu daripada penakut dan kebakhilan. Aku berlindung dengan-Mu daripada dikalahkan hutang dan dikuasai oleh lelaki.”

Riwayat Abu Daud (1557), al-Baihaqi (305)
dan al-Tabarani (1553)

Walahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-267: GALAKAN MENIKAHI WANITA YANG SUBUR

    Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan galakan menikah dengan wanita yang subur?   Jawapan: …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>