Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #735: HUKUM MENGATAKAN AL-QURAN ITU SALAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #735: HUKUM MENGATAKAN AL-QURAN ITU SALAH

Download PDF

 

 

 

Soalan: Apakah hukum orang yang mengatakan bahawa al-Quran itu salah dengan niat menyindir bacaan orang lain yang tersilap?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan ia merupakan mukjizat teragung Nabi SAW. Selain itu, al-Quran adalah panduan utama umat Islam dan Allah SWT telah bersaksi bahawa Dia akan memelihara al-Quran ini berdasarkan firman-Nya:

 

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

al-Hijir:9

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara serta menjaganya.”

 

Sebelum kami menjawab soalan di atas, terdapat perkara yang perlu difahami terlebih dahulu iaitu berkaitan batasan gurauan di dalam Islam. Antara ciri-ciri gurauan yang dibenarkan oleh agama adalah gurauan itu perlulah tidak mengandungi unsur-unsur penghinaan terhadap agama. Hal ini ditegur dan dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

al-Taubah:65

Maksudnya: “Dan jika kamu bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya diperolok-olokkan dan diejek oleh kamu?.”

 

Syeikh al-Thantawi berkata ketika menafsirkan ayat ini: “Apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkahlaku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehinggalah mereka berbicara tentang perkara yang lain. Ini kerana, ayat-ayat Kami itu dinisbahkan kepada Kami (Allah SWT) dan menjadi tanggungjawab kita terhadapa ayat-ayat al-Quran adalah dengan membesarkan serta memuliakannya dan bukannya menjadi tempat untuk diejak atau dihina.” [Lihat: al-Tafsir al-Wasith, 98/5]

 

Berdasarkan soalan di atas, kami melihat perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia boleh membawa maksud penghinaan kepada al-Quran. Perbuatan menghina Allah SWT, Rasulullah SAW, al-Quran, agama Islam dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun dengan tujuan bergurau kerana ia boleh mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam. Jika seseorang itu melakukan perkara ini dalam keadaan jahil maka dia perlu segera untuk bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT di samping memperbanyakkan amal solehnya dan meninggalkan perbuatan tersebut. Adapun jika sebaliknya maka hukumnya boleh menyebabkan terbatal imannya di samping bertaubat nasuha di atas perbuatan tersebut dengan berazam untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang.

 

Kesimpulannya, Islam tidak melarang seseorang itu bergurau dengan sesiapa pun kerana ia termasuk di dalam fitrah manusia iaitu suka kepada hiburan. Akan tetapi, Islam tidak membiarkan sesuatu perkara itu begitu sahaja walaupun ia dibenarkan tanpa meletakkan beberapa garis panduan supaya apa yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini supaya setiap tindakan kita itu bertepatan sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #849 : ANTARA ADAB BERASMARA SUAMI ISTERI

Soalan: Assalamu’alaikum ustaz. minta maaf jika bertanya soalan begini sebab memang nak tahu. apa hukum …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *