Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI # 726 : HUKUM KHATIB BERKHUTBAH DI LUAR TAJUK ASAL
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI # 726 : HUKUM KHATIB BERKHUTBAH DI LUAR TAJUK ASAL

Download PDF

Soalan: Seorang imam di tempat saya kerap berhenti seketika sewaktu menyampaikan khutbah kedua untuk membuat pengumuman jemputan kenduri, mesyuarat mahupun hal-hal kampung sebelum menyambung semula khutbah Jumaat tersebut. Adakah sah khutbah Jumaat tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat Jumaat merupakan perhimpunan seminggu sekali bagi orang Islam.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ الله وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”.                                        

(Surat Al-Jumu‘ah: 9)

Khutbah Jumaat yang menjadi salah satu rukun solat Jumaat pula hendaklah berkisar sekitar pandangan Islam terhadap isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam atau apa-apa isu yang relevan kepada masyarakat.

Kefarduan solat Jumaat serta dua khutbahnya tidak boleh dipandang sebagai ibadat yang terpencil atau sekadar memenuhi rutin mingguan. Malahan kefarduannya adalah merupakan antara manifestasi keagungan syiar Islam. Maka berusaha ke arah kesempurnaan solat Jumaat dan falsafahnya perlu diberi perhatian serius. Dua khutbah yang dibaca oleh khatib juga perlu sempurna dengan meneliti isi kandungannya serta menyampaikannya kepada sidang Jumaat dengan sebaik mungkin.

Persoalan yang timbul, bolehkah seorang khatib berhenti seketika sewaktu menyampaikan khutbah kedua untuk membuat pengumuman jemputan kenduri, mesyuarat mahupun hal-hal kampung sebelum menyambung semula khutbah Jumaat tersebut?

Contoh keadaan yang dapat kami gambarkan mungkin adalah seperti berikut:

“Marilah kita sama-sama berusaha ke arah memperatkan lagi silaturahim sesama kita, bagi melahirkan masyarakat yang beriman, bersatu-padu dan hidup dalam keadaan sejahtera. Pada kesempatan ini juga, saya mengambil peluang untuk mewar-warkan berkenaan gotong-royong perdana peringkat kampung yang akan diadakan pada…”

Muwalah Ialah Syarat Sah Khutbah Jumaat

Dalam mazhab Syafie, muwalah (berturut-turutan) antara rukun khutbah, dan antara khutbah pertama dan kedua serta khutbah kedua dengan solat Jumaat merupakan syarat sah khutbah Jumaat.[1] Bagi menjawab persoalan ini, kami memetik pandangan Syaikh Abu Bakr Ad-Dimyathi yang menyebut:

أَنَّ كَوْنَ مَا عَدَا الْأَرْكَانَ مِنْ تَوَابِعِهَا بِغَيْرِ الْعَرَبِيَّةِ لَا يَكُوْنُ مَانِعًا مِنَ الْمُوَالَاةِ وَيُفْرَقُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ السُّكُوْتِ بِأَنَّ فِي السُّكُوْتِ إِعْرَاضًا عَنِ الْخُطْبَةِ بِالْكُلِّيَّةِ بِخِلَافِ غَيْرِ الْعَرَبِيِّ فَإِنَّ فِيْهِ وَعْظًا فِي الْجُمْلَةِ فَلَا يَخْرُجُ بِذَلِكَ عَنْ كَوْنِهِ فِي الْخُطْبَةِ

Maksudnya: “…bahawa selain rukun-rukun khutbah iaitu beberapa unsur yang masih berkaitan dengan khutbah yang diucapkan dengan selain bahasa Arab tidak dikira menyanggahi kewajiban muwalah di antara rukun-rukun khutbah. Dibezakan juga perkara ini dengan diam yang lama yang dapat memutuskan muwalah kerana padanya terdapat unsur berpaling daripada khutbah secara keseluruhan. Ini berbeza dengan isi khutbah dengan selain bahasa Arab yang di dalamnya terdapat unsur nasihat dan peringatan secara umum, maka ia tidak terkeluar daripada khutbah itu sendiri.” [2]

Sebagai contoh, beliau menulis bahawa menyebut kelebihan para pemerintah dan memuji mereka di atas mimbar tidak memutuskan muwalah, selagi mana ia tidak terlalu panjang, dan kadar maksimum tempoh fasil thawil ini ialah sekira-kira solat dua rakaat yang seringkas mungkin.[3] Menurut Syeikh Muhammad az-Zuhaily pula, fasil qasir (pemutus yang pendek) adalah dibenarkan, dan cara menentukan pendek atau panjang fasil itu adalah bergantung kepada ‘uruf setempat.[4]

Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi turut menambah, bahawa fasil / pemutus itu jika ia berkaitan dengan khutbah contohnya nasihat umum, maka ia tidak memutuskan muwalah meskipun ia panjang.[5]

Kesimpulannya, kami berpandangan, tindakan khatib tersebut adalah harus dan tidak membatalkan khutbah Jumaat kerana ia tidaklah sampai kepada tahap fasil thawil (pemisah yang panjang di antara rukun khutbah) yang memutuskan muwalah antara rukun-rukun khutbah, dan muwalah antara khutbah dengan solat Jumaat.

Selain itu, pengumuman jemputan kenduri, mesyuarat mahupun hal-hal kampung adalah termasuk di bawah anjuran mengeratkan silaturrahim sesama penduduk kampung, dan ini bertepatan dengan suruhan agama Islam yang sangat menitikberatkan perpaduan dan tolong-menolong sesama Muslim. Maka ia termasuk dibawah kategori nasihat umum (mau’izah) yang termasuk di bawah unsur khutbah yang tidak membatalkan muwalah meskipun bersifat fasil thawil.

Namun demikian, kami mengesyorkan agar sebarang pengumuman berkenaan urusan-urusan pentadbiran yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan khutbah hendaklah dilakukan sebelum khutbah atau selepas solat Jumaat bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang memutuskan muwalah antara rukun-rukun khutbah, dan ini merupakan satu bentuk ihtiyath (berhati-hati) yang sangat dituntut dalam agama.

Selain itu juga, memandangkan khutbah rasmi ada disediakan oleh pihak berkuasa agama setiap negeri (dan Wilayah Persekutuan) untuk para khatib sebagai panduan dan rujukan, adalah amat baik sekiranya para khatib tidak melencong daripada tajuk asal dan tidak menambah-nambah perkara yang tidak perlu dalam khutbah sebagai meraikan usaha murni pihak berkuasa agama yang berperanan menyelaras pentadbiran Islam di negeri masing-masing.

Semoga jawapan ini menjawap persoalan yang dikemukakan oleh yang bertanya, dan memberikan manfaat kepada semua pihak. Semoga kita semua sentiasa dikurniakan dengan kefahaman yang baik berkenaan dengan agama Islam kita ini. Wallahua’lam.

 

[1] Al-Fiqh al-Manhaji, 2006, Damshik: Darul Qalam, Cetakan Ketujuh, 1/207

[2] Syaikh Abu Bakr Ad-Dimyathi, I’anatu at-Thalibin, 2/83

[3] ibid. 2/80

[4] Al-Mu’tamad fil Fiqh as-Syafi’e, 2015, Damshik: Darul Qalam, Cetakan Kelima, 1/511

[5] I’anatu at-Thalibin, 2/83

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #731 : ADAKAH FADHILAT KHUSUS PUASA 27 REJAB SEMPENA ISRA’ MI`RAJ?

  Soalan Saya nak tahu apa hukum dan fadilat puasa sunat 27 Rejab sempena Isra’ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>