Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #724 : HUKUM DUDUK DI ATAS BINAAN KUBUR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #724 : HUKUM DUDUK DI ATAS BINAAN KUBUR

Download PDF

 

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Mohon pencerahan berkaitan situasi di dalam gambar di bawah. Adakah duduk diatas binaan itu dikira duduk diatas kubur ?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan suka kami mengingatkan berkenaan hukum membina binaan dan meninggikan kubur. Hukum membina binaan dan meninggikan kubur adalah perbuatan yang haram.Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Jabir r.a :

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya :” Rasulullah saw melarang membina kubur dengan batu kapur, juga (dilarang) untuk duduk di atasnya dan dilarang juga dibina binaan.”

Riwayat Muslim (2289)

Juga di dalam athar yang disebutkan  oleh Saidina Ali r.a kepada Abu Hajjaj al-Asadiy bahawa tidak boleh meninggikan kubur melebihi sejengkal dari paras tanah. Kata Saidina Ali ;

أَلاَّ أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ

Maksudnya:”Tidakkah mahu aku ingatkan engkau sepertimana Rasulullah saw ingatkan aku.Iaitu jangan meninggalkan patung melainkan engkau hancurkannya. Dan (jangan meninggalkan) kubur yang tinggi melainkan engkau ratakannya.”

Riwayat Muslim (2287)

 Kata Imam al-Nawawi :

“Dan ditinggikan kubur dengan kadar satu jengkal sahaja dan diratakan lebih utama dari dibina binaan.”

Rujuk Minhaj al-Talibin (1/347)

Apatah lagi jika ianya dibina di perkuburan awam (المقبرة المسبّلة). Ini kerana ianya boleh menimbulkan kesusahan dan kesempitan pada yang lain.

Imam al-Romli menyebut :

“Jika dibina (binaan) di perkuburan awam maka perlu diruntuhkan kerana ia boleh menimbulkan kesusahan pada yang lain.”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (8/371)

Adapun jika ada keperluan seperti takut tanah kubur runtuh ataupun ditakuti ada yang akan mengorek kubur maka tidak haram. Akan tetapi. Perlu diingat ianya dibina sekadar yang perlu sahaja tidaklah sampai berlebihan.

Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan :

“Jika ditakuti (kubur) dibongkar atau takut akan haiwan yang mengorek ataupun takut tanah kubur runtuh maka tidak makruh dibina dan diletakkan batu kapur.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-minhaj (4/203)

 

Berkenaan soalan yang dikemukakan oleh si penyoal. Adakah dibenarkan duduk di atas binaan kubur dianggap sebagai duduk di atas kubur?.

Binaan kubur dianggap sebagai kubur itu sendiri. Oleh itu makruh untuk duduk di atas binaan kubur kerana dianggap sebagai duduk di atas kubur. Ini berrdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi saw bersabda :

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Maksudnya :”  Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk di atas kubur.”

Riwayat Muslim (2208)

Kata Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud dari hadis ini. Beliau menyebut :

“Larangan ini jelas menyatakan haram duduk di atas kubur. Kata pengarang (iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani) di dalam Fath al-Bari di mana beliau menaqalkan daripada al-Nawawi : Jumhur menyatakan bahawa duduk di atas kubur adalah makruh.”

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (3/182)

Juga di dalam riwayat menyebut daripada Abu Marsad al-Ghanawi :

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Maksudnya :” Jangan kalian duduk di atas kubur dan jangan solat menghadap ke arahnya.”

Riwayat Muslim (2294)

Kata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin :“Tidak dibenarkan duduk di atas kubur dan tidak boleh menginjaknya.”

Rujuk Minhaj al-Talibin ( 1/347)

Kami nukilkan juga pandangan Sheikh al-Bujairimi. Kata beliau :

“ Dan makruh duduk di atas kubur tanpa hajat  dan menginjaknya kerana ada larangan di dalam hadis riwayat Muslim dan Tirmizi. Dan yang menjadi maknanya juga adalah tidak boleh bersandar pada kubur seperti mana yang dijelaskan di dalam Raudhah.

Rujuk Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj (5/55)

Kesimpulannya, duduk di atas binaan kubur adalah seperti duduk di atas kubur dan makruh hukumnya. Maka seelok-eloknya kita menjaga adab ketika berada di tanah perkuburan dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar adab-adab.

Wallahu’alam

 

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

          Soalan: Apakah status hadith ini?   مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *