Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #722: BATAS AURAT DAN PERGAULAN ANTARA PEREMPUAN DAN BAPA TIRINYA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #722: BATAS AURAT DAN PERGAULAN ANTARA PEREMPUAN DAN BAPA TIRINYA

Download PDF

Soalan:

Saya dan isteri bercerai dan kami dikurniakan 2 orang anak perempuan, 2 anak perempuan itu tinggal dengan ibunya dan berkahwin dgn lelaki lain..2 anak tu kini semakin remaja dan berusia 21 dan 23 tahun dan tinggal dengan ayah tirinya…baru2 ini bekas isteri saya meninggal. Persoalannya, perlukah sy mengambil anak perempuan saya itu utk duduk dibawah jagaan saya disebabkan risau keselamatan diorg memandangkan saya bapa kandung. Yang kedua, us huraikan aurat dan hukum berkaitan dengannya bagi anak tiri perempuan dan bapa tiri

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah swt. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memandangkan anak-anak perempuan tuan sudah dewasa yakni melebihi umur 18 tahun, maka mereka diberikan pilihan untuk tinggal dengan tuan atau dengan bapa tiri mereka. Seksyen 88 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa:

“Sungguh pun hak terhadap hadhanah atau jagaan anak mungkin terletak hak pada seseorang lain, bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa…”

Seksyen ini perlu dibaca dengan subseksyen (4) yang menyebut:

“Bagi maksud jagaan ke atas diri dan harta, seseorang hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak melainkan dia telah genap umur lapan belas tahun.”

Justeru, anak-anak perempuan tuan sudah dewasa dan boleh memilih untuk tinggal sama ada dengan tuan atau bapa tiri mereka. Sekiranya mereka juga berasa terancam akan keselamatan diri, mereka berhak keluar daripada rumah bapa tiri itu untuk tinggal bersama tuan kerana hak kebebasan mereka ini dilindungi oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, sekalipun tanpa kebenaran bapa tiri mereka.

Adapun tentang batasan aurat dan isu khalwat, bapa tiri adalah mahram mu`abbad (selamanya) kepada anak tiri, apabila sudah berlaku persetubuhan antara bapa tiri itu dan ibu mereka selepas mereka sah berkahwin. Ini berdalilkan firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ

Maksudnya: “Dan (juga perempuan-perempuan yang diharamkan kamu berkahwin dengan mereka ialah) anak-anak perempuan tiri kamu yang telah kami setubuhi ibu-ibu mereka.”

(Surah al-Nisa: 23)

Justeru, aurat antara rabibah (anak perempuan tiri) dengan bapa tiri mereka adalah sama batasan auratnya antara mereka dan bapa kandung mereka iaitu antara pusat dan lutut, sekiranya tidak membawa kepada fitnah dan syahwat.  Sebahagian ulama mazhab Syafie mengehadkan pada anggota yang zahir ketika bekerja iaitu aurat mereka seluruh tubuh melainkan kepala, leher dan tengkuk, tangan sehingga pangkal lengan, dan kaki sehingga lutut. Begitu juga, tidak timbul isu khalwat jika mereka berada dalam satu rumah yang sama, seperti mahram yang lain juga.

Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/125):

“Aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Ini bererti mereka harus mendedahkan seluruh anggota badannya yang lain di hadapan mahramnya dengan syarat terhindar daripada berlaku fitnah. Jika ada kemungkinan berlaku fitnah hukumnya tetap haram. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam.

(Surah al-Nur: 31)

Perkataan perhiasan di dalam ayat itu bermaksud tempat perhiasan tersebut, iaitu bahagian anggota atas pusat dan bawah lutut.”

 

Nasihat Kepada Keluarga

Untuk mengelakkan pergaduhan dan perselisihan yang memutus tali silaturrahim, kami menasibatkan beberapa pertimbangan berikut:

  • Sebaiknya diadakan mesyuarat antara kedua belah keluarga dan pendapat anak-anak perempuan sendiri tentang halatuju dan masa depan mereka. Pastinya dengan perbincangan yang ikhlas dilakukan kerana Allah SWT dan maslahat anak-anak, tindakan yang terburu-buru yang merosakkan hubungan kekeluargaan pasti dapat dihindari.
  • Dalam adat dan tradisi masyarakat Melayu, adab dalam membalas budi amat ditekan. Ini antara perkara yang perlu diambil cakna oleh bapa kandung. Sekiranya bapa tiri tersebut sudah menanggung banyak dari sudut harta dan perbelanjaan untuk menjaga dan membesarkan anak-anak tersebut, seseorang yang agamanya seperti menjaga ibadat dan melazimi masjid, dan ditambah lagi faktor umur yang sudah lanjut dan sakit, maka kami sarankan agar anak-anak tersebut membalas budi dengan berkhidmat kepada ayah tiri tersebut.

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #731 : ADAKAH FADHILAT KHUSUS PUASA 27 REJAB SEMPENA ISRA’ MI`RAJ?

  Soalan Saya nak tahu apa hukum dan fadilat puasa sunat 27 Rejab sempena Isra’ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>