Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #714 : HUKUM AIR LIUR YANG KELUAR KETIKA TIDUR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #714 : HUKUM AIR LIUR YANG KELUAR KETIKA TIDUR

Download PDF

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Apakah hukum air liur yang keluar ketika tidur dan ianya terkena pada baju. Adakah ia dianggap sebagai najis?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah swt. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menjawab persoalan yang dikemukakan, asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Ini  adalah berdasarkan firman Allah swt :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksud : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

(Surah al-Isra’ :70)

Ia juga adalah berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya :” Sesungguhnya orang mukmin tidak bernajis.”

Riwayat al-Bukhari (285) & Muslim (850)

Begitu juga peristiwa yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha. Kata beliau

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya :” Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.”

Riwayat Muslim (453)

 

Melalui ayat al-Quran dan hadis yang telah kami sebutkan maka dapat kita fahami apa sahaja yang keluar selain dari kemaluan adalah tidak bernajis sama ada air liur, peluh, daki dan lain-lain.

Berkenaan air liur yang keluar ketika tidur,para ulama menyatakan jika ianya dari mulut maka hukumnya suci. Jika ianya dari perut maka ia adalah najis.. Imam al-Nawawi menaqalkan daripada Imam Abu Muhammad al-Juwaini berkenaan perkara tersebut :

“Ada di antara air itu yang keluar dari kawasan lahwat (anak tekak) maka ia adalah suci. Jika ia keluar mengalir daripada perut maka ia adalah najis secara ijmak. Dan cara  mengenalinya adalah melihat pada tanda dan kebiasaannya. Jika ia mengalir dari mulut sejak mula tidur dan basah serta terputus sepanjang dia tidur dan kering air tadi dari mulutnya dan dari tempat tidurnya maka ia adalah dari mulut. Manakala jika sepanjang dia tidur dia merasakan basah sentiasa maka ia dari perut.”

Bagi mengelakkan was-was sama ada air liur yang keluar ketika tidur itu dari mulut atau perut, maka seeloknya dibasuh baju atau kawasan anggota yang terkena air liur tersebut sebagai langkah berhati-hati. Imam al-Nawawi menyatakan :

“Pandangan yang dipilih adalah tidak perlu membasuh kawasan yang terkena air liur tersebut kecuali seseorang itu yakin bahawa air yang keluar itu adalah dari perut. Jika dia was-was tidak wajib membasuhnya dan harus membasuh sebagai langkah berhati-hati”

Beliau menyebut lagi :

“Maka secara jelas air liur yang keluar dari mulut ketika tidur adalah di antara najis yang dimaafkan (jika ianya sering terjadi) dan ia sama seperti darah nyamuk, baki kencing yang tidak lawas , darah istihadah dan lain-lain najis yang dimaafkan kerana ada masyaqqah.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/570-571)

Kesimpulannya, air liur yang keluar ketika tidur adalah najis .Ia adalah antara najis yang dimaafkan jika sering terjadi. Namun begitu jika tidak yakin sama ada air tersebut keluar dari mulut atau perut maka seeloknya dibasuh baju atau pakaian yang terkena air liur tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Wallahu’alam

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

AL-KAFI #766 : HUKUM MUAT TURUN SOFTWARE/ LAGU/ GAME DARIPADA INTERNET

Soalan: Apakah hukum memuat turun software/lagu/game daripada internet? Jawapan: Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>