Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #691: HUKUM MEMBACA SURAH PADA RAKAAT KETIGA DAN KEEMPAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #691: HUKUM MEMBACA SURAH PADA RAKAAT KETIGA DAN KEEMPAT

Download PDF

Soalan: Apakah hukum membaca surah selepas membaca al-Fatihah pada rakaat ketiga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca surah selepas al-fatihah dalam rakaat ketiga dan keempat bagi solat-solat selain daripada solat subuh adalah tidak disunatkan mengikut qaul qadim Imam al-Syafie dan inilah pendapat yang muktamad dalam mazhab. Adapun menurut pandangan yang kedua, bahawa hukumnya adalah sunat dan inilah merupakan satu riwayat berkenaan pendapat jadid Imam al-Syafie dalam al-Umm.

Hadis yang menjadi rujukan pendapat pertama ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ وَيُسْمِعُنَا الْآيَةَ أَحْيَانًا، وَيَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُخْرَيَيْنِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW sentiasa membaca pada dua rakaat yang awal bagi solat Zuhur dan Asar dengan Fatihah al-Kitab (Surah al-Fatihah) dan surah (tambahan), dan terkadang dia menguatkan sedikit suaranya sehingga kami mampu mendengar satu ayat. Beliau juga membaca pada dua rakaat akhir surah al-Fatihah”

Riwayat al-Bukhari (778) dan Muslim (451). Lafaz di atas ialah lafaz Muslim.

Manakala pendapat yang kedua; berpegang kepada hadis daripada Abu Saied al-Khudri RA:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ فِي الظُّهْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ، فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ ثَلَاثِينَ آيَةً، وَفِي الْأُخْرَيَيْنِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً، وَكَانَ يَقُومُ فِي الْعَصْرِ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَتَيْنِ، فِي كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ قِرَاءَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً، وَفِي الْأُخْرَتَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW membaca surah pada dua rakaat awal solat Zuhur dengan kadar bacaan 30 ayat, dan dalam rakaat dua akhir baginda membaca kadar 15 ayat. Manakala dalam solat Asar, baginda membaca pada dua rakaat awal dengan kadar 15 ayat dan pada dua rakaat terakhir dengan kadar separuh dari yang pertama.”

Hadis riwayat Ahmad (11802)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (3/386-387) bahawa “Di sana ada dua pendapat yang masyhur:

  • Pertama: Ini pendapat dalam qaul qadim bahawa tidak disunatkan. Ini keputusan al-Qadi Abu al-Tayyib, dinaqalkan oleh al-Buwaiti dan al-Muzani daripada al-Syafie.
  • Kedua: Disunatkan. Inilah yang dinaskan dalam al-Umm dan dinaqalkan oleh Syeikh Abu Hamid, pengarang al-Hawi dari (rujukan) al-Imla’.

Para ashab (Syafieyyah) berbeza pendapat tentang yang mana satu pendapat yang lebih sahih. Ramai ulama Iraq yang mengatakan pendapat yang lebih sahih bahawa hukumnya sunat seperti Abu Hamid, al-Muhamili, penyusun kitab al-Uddah, Syeikh Nasr al-Maqdisi, al-Syasyi. Sekumpulan ulama lain pula mengatakan tidak sunat dan inilah yang lebih sahih dan ramai yang berfatwa dengan hal itu. Ini adalah satu bentuk masalah yang dirajihkan pendapat dalam qaul qadim atas qaul jadid. Aku (yakni Imam al-Nawawi) berkata: Ini bukan hanya pendapat qaul qadim bahkan ada dua nas daripada qaul jaded (yang menyokong) sepertimana yang diceritakan oleh al-Qadi Abi Tayyib).”

Menurut pendapat kami, sekalipun mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa tidak disunatkan untuk membaca surah tambahan pada rakaat ketiga dan keempat, tidak menjadi masalah bagi seseorang untuk beramal sendiri membaca pada rakaat ketiga dan keempat sekiranya dia bukan imam dan tidak menyebabkan dia terlewat daripada daripada mengikuti imam. Jika dia seorang imam sebaiknya, dia meringkaskan atau tidak membaca langsung untuk meraikan keperluan makmum.

Wallahua`lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE – 156: DOA BERSAMA DENGAN BUKAN ISLAM DALAM SATU MAJLIS

  Mukadimah Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *