Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #679 : KESAN DAN IMPLIKASI ILA'

Download PDF

 

Soalan

Boleh terangkan berkenaan kesan dan implikasi ila’?

 

Jawapan

Ila’ dapat difahami sebagai sumpah yang dibuat oleh seseorang suami mukallaf yang mampu bersetubuh lagi sah talaqnya untuk tidak menyetubuhi isterinya selama tempoh lebih daripada empat bulan atau secara mutlak tanpa menyebutkan tempoh, atau dengan selama-lamanya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 3/436) dan I’anat al-Talibin ‘ala Hil Alfaz Fath al-Mu’in, hlm. 51)

Melakukan ila’ adalah haram kerana ia memudaratkan dan menganiayai isteri. Firman Allah SWT:

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ * وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ *

Maksudnya: “Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 226-227)

Apabila seseorang suami telah melafazkan ila’, maka berlakulah beberapa kesan terhadap dirinya sendiri, isterinya dan juga perkahwinannya, iaitu seperti berikut:

  • Suami berdosa di sisi Allah kerana perbuatan ila’ adalah haram dan menimbulkan mudarat terhadap isteri.
  • Isteri yang diila’ tidak tertalaq dengan serta merta tetapi dia wajib menunggu selama empat bulan yang tidak disetubuhi oleh suaminya atau sehingga suaminya menyetubuhinya sebelum tamat empat bulan.
  • Dalam tempoh ila’, suami masih wajib memberi nafkah kepada isteri kecuali isteri itu berlaku nusyuz.
  • Suami juga harus menyetubuhi isterinya yang diila’ pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh empat bulan.
  • Suami diwajibkan membayar kifarat apabila dia telah menyetubuhi isterinya yang diila’.
  • Jika suami tidak dengan sendirinya menyetubuhi isterinya dalam tempoh empat bulan, maka isteri itu berhak meminta suami menyetubuhinya tanpa melalui proses kehakiman.
  • Jika selepas tamat empat bulan, suami masih tidak menyetubuhi isteri, maka isteri diberi pilihan untuk menuntut supaya suaminya melakukan persetubuhan atau menuntut talaq melalui proses kehakiman. (Rujuk al-Bujairimi, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, hlm. 348. Ini dijadikan pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafi’e.)
  • Jika suami masih enggan melakukan persetubuhan atau mentalaqkan isteri yang diila’, Hakim Syar’ie boleh mentalaqkan dengan satu talaq raj’ie (al-azhar al-jadid). (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 446) Ini kerana suami tidak harus berterusan memudaratkan isterinya tanpa disetubuhi. Memandangkan tiada jalan untuk memaksa suami melakukan persetubuhan, maka ternyatalah perceraian sahaja yang boleh menamatkan kemudaratan terhadap isteri. Jika suami tidak menceraikan isterinya dengan sukarela, maka hakim berhak mengambil tempatnya. ()
  • Jika isteri itu ditalaqkan sama ada oleh suami sendiri atau oleh hakim, lalu suami meruju’ isterinya dalam tempoh iddah, maka hukum ila’ kembali semula kepada suami. Justeru, perkiraan tempoh ila’ bermula semula dari waktu ruju’ sehingga tamat 4 bulan yang berikutnya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 443) Jika selepas ruju’, suami masih tidak menyetubuhi isterinya sehingga tamat tempoh empat bulan yang baru, maka isteri berhak membuat tuntutan talaq yang kedua. Begitulah seterusnya hingga sampai kepada talaq tiga yang tidak boleh diruju’.
  • Jika isteri yang diila’ diceraikan oleh suaminya sehingga tamat iddah tanpa diruju’, ataupun dia diceraikan terus secara talaq ba’in, maka terbatallah hukum ila’ kerana kemudaratan terhadap isteri telah tamat dengan perceraian yang ba’in. Namun jika suami itu menikahinya semula dengan akad nikah yang baru, maka hukum sumpah yamin yang terdahulu akan kembali semula. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445) Justeru, suami diwajibkan kifarat yamin jika dia menyetubuhi isterinya dalam akad nikah yang baru itu. Jika tidak disetubuhinya melebihi empat bulan, isteri tidak berhak membuat tuntutan talaq kerana hukum ila’ telah terhapus.
  • Jika suami menyetubuhi isteri yang diila’ kerana terlupa, dipaksa atau ketika dalam keadaan gila, maka dia tidak dikira melanggar sumpah kerana ketika itu dia bukan seorang mukallaf. Oleh itu, dia tidak dikenakan kifarat. Akan tetapi hukum tempoh ila’ dikira terputus kerana isteri telah mendapat haknya dengan persetubuhan tersebut. Manakala hukum sumpah yamin dan ila’ tersebut masih berkekalan selagi tidak berlaku pelanggaran sumpah dan kifarat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445)
  • Bagi ila’ yang ditetapkan masa tertentu seperti setahun, maka hukumnya akan tamat apabila berlalu tempoh tersebut. Dalam hal ini, isteri hendaklah menuntut persetubuhan atau talaq selepas berlalu empat bulan dan sebelum tamat satu tahun. Jika isteri terlewat membuat tuntutan, iaitu selepas berlalu tempoh setahun, maka hilanglah hak isteri untuk menuntut talaq kerana tempoh ila’ telah tamat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445)

Justeru, kami menasihati pasangan suami isteri agar mengelakkan daripada menggunakan kalimah atau perbuatan yang boleh membawa kepada ila’. Binalah kehidupan rumahtangga dengan penuh harmoni dan kasih sayang bagi mencapai mahabbah, mawaddah dan sakinah sehingga terjadinya rumah tangga seperti baiti jannati. Wallahua’lam. 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-212 : HUKUM BERLAWAK JENAKA

  Soalan: Apakah hukum berlawak jenaka di dalam Islam? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>