Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #653 : KISAH TEGURAN KASAR KEPADA PEMERINTAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #653 : KISAH TEGURAN KASAR KEPADA PEMERINTAH

Download PDF

Soalan :

Assalamu’alaikum Sahibus Samahah, benarkah terdapat kisah seorang lelaki yang menegur seorang khalifah dengan bahasa yang kasar ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kisah berkenaan seorang lelaki yang menegur pemerintah dengan bahasa yang keras lagi berat tersebut adalah merupakan sebuah kisah yang masyhur. Sepanjang pencarian kami, kisah ini ada disebutkan di dalam Tarikh al-Thabari atau nama sebenarnya ialah Tarikh al-Umam wa Al-Muluk yang ditulis oleh pakar tafsir dan tarikh (sejarawan) yang terkenal iaitu Imam Abu Ja’far Muhammad Ibn Jarir al-Thabari Rahimahullah.

Imam Al-Thabari di dalam kitabnya tersebut menyatakan bahawa terdapat seorang lelaki dari kalangan nussak (ahli ibadah) yang membantah dan menegur Khalifah Harun al-Rashid dengan memintanya supaya bertakwa kepada Allah dengan bahasa yang kasar lagi keras. Lalu Khalifah Harun al-Rashid berkata kepada lelaki tersebut: Wahai si fulan, bersederhanalah kamu dalam berbicara dan meminta kepadaku. Lalu lelaki dari kalangan nussak tersebut berkata kepada Khalifah al-Rashid: Yang demikian itu adalah serendah-rendah cara yang wajib kepada kamu. Maka Khalifah Harun al-Rashid bertanya kepada lelaki tersebut: Khabarkan kepadaku adakah aku ini jahat dan lebih keji berbanding Firaun ? Maka lelaki tersebut menjawab: Bahkan Firaun lebih jahat dan keji, kerana dia mengatakan:

أَنَا رَبُّكُمُ الأَعْلَى

Maksudnya: Aku adalah tuhan kamu yang maha tinggi.

Lalu Khalifah Harun al-Rashid mengatakan: Kamu benar. Kemudian baginda bertanya lagi kepada lelaki tersebut: Beritahu kepadaku, siapakah yang lebih baik di antara kamu dan Musa bin ‘Imran ? Lelaki itu pun menjawab: (Semestinya) Musa bin ‘Imran, beliau merupakan kalimullah, Allah menciptakannya untuk diri-Nya, dan memilihnya untuk diberikan wahyu-Nya. Lalu Khalifah al-Rashid berkata kepada lelaki tersebut:

صدقت ، أفما تعلم أنه لما بعثه وأخاه إلى فرعون ، قَالَ لهما فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Maksudnya: Kamu benar. Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah S.W.T apabila mengutuskan Musa dan saudaranya (Harun) kepada Fir’aun, Dia berkata kepada keduanya: “Maka hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan ucapan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut”.

Kemudian Khalifah Harun al-Rashid berkata kepada lelaki tersebut: (Arahan untuk berkata dengan lemah lembut) ini dalam keadaan kesombongan dan kebongkakan diri Firaun itu sebagaimana yang kamu ketahui. Sedangkan aku berada dalam keadaan yang kamu sendiri ketahui, aku melaksanakan kebanyakan perkara yang Allah fardhukan ke atas diriku, dan aku tidak mengabdikan diri kepada selain-Nya. Aku juga berhenti pada sebesar-besar hudud-Nya (tidak melanggar batasan Allah), mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Pun begitu, kamu menegur aku dengan lafaz yang paling keras, kasar, serta cara yang buruk. Maka tidakkah dengan adab Allah kamu sepatutnya beradab ? Tidakkah dengan akhlak para solehin kamu patut mengambilnya sebagai ikutan ? Maka lelaki tersebut pun berkata: “Aku telah tersalah wahai Amirul Mukminin dan aku memohon maaf kepadamu”. Maka Khalifah Harun Al-Rashid pun berkata: “Mudah-mudahan Allah mengampunkan kamu”. Lihat Tarikh al-Thabari, Ibn Jarir (8/358).

Kami tertarik dengan hujah atau istidlal yang digunakan oleh Khalifah Harun al-Rashid tersebut iaitu ayat ke-44 daripada Surah Taha tersebut dimana Allah S.W.T berfirman:

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan ucapan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut”.

Ini kerana, zahir ayat ini jelas menunjukkan kepada metod dakwah yang Allah S.W.T perintahkan kepada kedua Nabi-Nya iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun. Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Al-Amin bin Muhammad bin Al-Mukhtar al-Syanqithi Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: “Diambil daripada ayat yang mulia ini, bahawa dakwah kepada Allah wajib dilakukan dengan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan, dan kemarahan”. Rujuk Adhwa’ al-Bayan, Al-Syanqithi (4/16).

Manakala al-Hafiz Imam Ibn Kathir Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini beliau menukilkan pendapat yang mengatakan bahawa perintah untuk berkata-kata dengan ucapan yang lemah lembut itu adalah supaya Fir’aun dapat mengambil peringatan atau supaya dia berasa takut. Kata Ibn Kathir: “Berdakwahlah kamu berdua kepadanya, serta berilah mau’izhah (pengajaran) kepadanya, supaya dia mengambil peringatan atau berasa takut”. Rujuk Tafsir al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Kathir (18/313).

Kesimpulan

Akhir kalam, ambillah kisah Khalifah Harun al-Rashid tersebut sebagai pengajaran dan teladan kepada kita dalam memberikan teguran. Supaya keikhlasan dan kebenaran kita dalam menyampaikan teguran turut disulami dengan kelunakan cara teguran itu disampaikan justeru menyebabkan orang ramai mudah menerima teguran yang diberikan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-230: KELEBIHAN ISTERI BERSEDEKAH DENGAN HARTA SUAMINYA

      Soalan: Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>