Home / darulkautsar.net / Hadis Online / WACANA DAN DISKUSI UMUM / Sistem Riwayat Dan Dirayat Dalam Pengajian Al-Hadits
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sistem Riwayat Dan Dirayat Dalam Pengajian Al-Hadits

Download PDF

 

 

 

Secara kasar dapat dikatakan bahawa seluruh pengajian dan pengkajian hadis itu tersimpan di dalam dua sistem yang unik pernah dipersembahkan oleh manusia dalam dunia ilmu pengetahuan iaitu:

(i) Sistem Riwayat

(ii) Sistem Dirayat

 

SISTEM RIWAYAT

Sebenarnya pemakaian system riwayat dalam penilaian sesuatu fakta adalah khususiyyah umat Islam.  Ibnu Hazm berkata:  “Nukilan orang yang dipercayai daripada orang yang dipercayai juga dengan bersambung-sambung sampai kepada Nabi s.a.w. adalah suatu keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang Islam sahaja tidak kepada penganut-penganut agama lain.”

Hafidz Abu `Ali al-Jayyaani berkata, ” Allah telah mengistimewakan umat Muhammad ini dengan 3 perkara yang tidak pernah dikurniakan kepada orang-orang sebelumnya iaitu isnad, ansab dan i’raab”

Kepentingan sistem riwayat ini juga dapat dilihat pada kata-kata `ulama’ salaf dari kalangan tabi’in seperti `Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan ats-Tsauri, al-Auzaa’i dan lain-lain `Abdullah bin al-Mubarak berkata : “Isnad itu sebahagian daripada ugama.  Jikalau tidak ada isnad nescaya akan berkata sesiapa sahaja apa yang ia mahu” (Sahih Muslim – j.1 m//s 87)

Sufyan ats-Tsauri berkata: “Isnad itu senjata orang mu’min” (Tadriibu ar-Raawi – j.2 m/s 160)

Al-Auzaa’i pula berkata: “Ilmu tidak akan hilang melainkan dengan hilangnya sistem isnad (Muqaddimah at Tamheed – j.1 m/s/ 15).

Kajian terhadap isnad membuatkan `ulama’ Islam yakin tentang perkara ini.  Mereka bukan sahaja menyelidik nama-nama perawi dan latar belakangnya untuk mengetahui zaman mereka hidup.  Keadaan perekonomian dan persekitaran hidup mereka  selain daripada perhubungan mereka dengan tokoh-tokoh yang lain.  Bahkan mereka juga memastikan kualiti seseorang tokoh hadiths itu dengan menguji  kebenaran dan kedustaannya disamping ketelitian dan amanah mereka dalam menukilkan matan-matan (teks-teks) untuk dihukum siapakah di antara perawi-perawi itu yang boleh dipercayai riwayatnya.”  (Daairatu al-Maarif – j.7 m/s 335 – dipetik dari Ilmu Rijal al-Hadiths. Karangan Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri).

Sesungguhnya kalangan `ulama’ mutaqaddimin tidak memberi penghargaan yang secukupnya kepada sesebuah kitab melainkan  jika perawi kitab itu seorang tsiqah, dhabit lagi adil di samping pula membaca kitab itu dihadapan pengarang atau seseorang perawi itu mempunyai sanad yang mutasil (bersambung-sambung) dalam membaca kitab itu dan menerimanya daripada guru-gurunya secara berterusan sampai kepada pengarangnya sendiri.  (Lihat Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri – Ilmu Rijal al-Hadiths m/s 23)

Pemakaian sistem  riwayat itu adalah suatu perkara yang dianjurkan oleh al-Quran sendiri.  Di dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasiq membawa sesuatu berita maka hendaklah kamu selidik dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu” (al-Hujuraat: 6)

Pencapaian umat Islam dalam bidang riwayat atau isnad ini telah melahirkan perpustakaan besar yang memuatkan buku-buku yang ada kaitannya dengan sistem riwayat atau isnad seperti ilmu Mushtalahu al-Hadits, ilmu Rijal al-Hadits, al-Jarh Wat Ta’dil dan segala pecahan-pecahannya.

 

SISTEM DIRAYAT, USUL DAN KEISTIMEWAANNYA

Sistem dirayat mempunyai pertalian yang rapat dengan sistem riwayat, namun begitu tidak semestinya apa yang diterima dalam sistem riwayat itu akan diterima terus dalam dirayat.  Begitulah sebaliknya matan yang bertepatan dengan system dirayat kebanyakannya datang melalui sanad yang sahih mengikut system riwayat. (lihat Dr. Subhi as-Saleh – `Uloomu al-Hadits Wa Mushtalahuhu m/s 283)

Sistem dirayat yang dimaksudkan di sini ialah sistem yang termasuk di bawah ta’rif istilah khusus dalam ilmu hadits.  Antara ta’rif yang diberikan berhubung dengan sistem dirayat ini ialah seperti yang telah dikemukakan oleh Nawab Siddiq Hasan Khan bahawa:  “Ilmu dirayat al-Hadits ialah suatu ilmu yang membincangkan tentang erti yang difahami daripada lafaz-lafaz hadits.  Begitu juga maksud-maksudnya berdasarkan kaedah-kaedah bahasa Arab dan peraturan-peraturan syariat di samping bersesuaian pula dengan keadaan Nabi s.a.w.,” (Nawab  Siddiq Hassan Khan –Abjadu al-uloon j.2. m/s 220)

Pemakaian sistem dirayat ini adalah suatu yang berlandaskan al-Quran al-Karim dan amalan para sahabat Nabi s.a.w yang mulia dan bijaksana.  Antara ayat al-Quran yang dapat disebutkan ialah firman Allah s.w.t. : “Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mu’minat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri (mengapa tidak) kamu berkata, ini adalah suatu berita bohong yang nyata” (An-Nur: 12)

Di antara usul sistem dirayah yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh hadith ialah:

  1. Sesuatu riwayah itu tidak bercanggah dengan akal yang sejahtera.
  2. 2.Tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ugama Islam yang telah diterima oleh semua.
  3. 3.Tidak bercanggah dengan Al-Quran, hadith mutawaatir atau ijma’ qati’i.
  4. Tidak bercanggah dengan kenyataan.
  5. Riwayat itu tidak mengandungi ancaman azab besar kerana sesuatu perkara yang remeh-temeh.
  6. Riwayat itu tidak menjanjikan ganjaran yang besar-besar kerana pekerjaan yang remeh-temeh.
  7. Riwayat itu tidak mengandungi pengertian yang lemah dan rapuh.
  8. Riwayat itu bukan riwayat yang dikemukakan oleh seorang sahaja dan ia sendiri tidak bertemu dengan orang yang diriwayatkan riwayat itu daripadanya.
  9. Riwayat yang menceritakan sesuatu peristiwa penting yang dapat disaksikan oleh ramai orang dan sepatutnya ia diriwayatkan oleh bilangan yang ramai, tetapi riwayat itu hanya diriwayatkan oleh seorang dua sahaja.
  10. Riwayat itu tidak bercanggah dengan kedudukan Rasullullah (s.a.w.) dan kedudukan para Sahabat (r.a)
  11. Riwayat itu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip akhlak.
  12. Riwayat itu tidak mendorong ke arah memuaskan hawa nafsu atau kerosakan.
  13. Riwayat itu tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah perubatan yang jelas dan terbukti benarnya.
  14. Riwayat itu tidak bercanggah dengan kenyataan-kenyataan sejarah.
  15. Riwayat itu tidak bercanggah dengan bukti-bukti daripada nas yang sahih.
  16. Riwayat itu tidak bercanggah dengan kesucian dan kebesaran Allah (s.w.t).
  17. Riwayat itu tidak merobohkan sunnah yang jelas.
  18. Riwayat itu tidak bercanggah dengan kaedah bahasa Arab dan lain-lain lagi.
(Lihat – Hafidz Sakhawi-Fathu Al Mughith, ms 114, Mulla Ali Al Qari Al As rar Al Marfu’ah Fi Al Akhbar Al Maudhu’ah ms 92, Syibli Nu’mani-Siratu An Nabi, ms 69 dan 101 dan lain-lain lagi).
Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Keperluan Memahami Al Hadith Berdasarkan Qawaid, Usul, Fiqh Dan Maqasid Syariat

Share... Post Views: 231

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>