Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SEBAB WURUD HADIS APA-APA YANG DIPOTONG DARI HAIWAN TERNAKAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SEBAB WURUD HADIS APA-APA YANG DIPOTONG DARI HAIWAN TERNAKAN

Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

وَعَنْ أَبِي وَاقِدٍ اَللَّيْثِيِّ رضي الله عنه قَالَ قَالَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَا قُطِعَ مِنْ اَلْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهُوَ مَيِّتٌ . أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ, وَاَلتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ, وَاللَّفْظُ لَهُ .

Daripada Abu Waqid al-Laithi katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apa-apa yang dipotong dari haiwan ternakan dalam keadaan ianya masih hidup maka ia adalah bangkai.” (Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah, no: 3216)

Sebabnya ialah;

عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَهُمْ يَجُبُّونَ أَسْنِمَةَ الْإِبِلِ وَيَقْطَعُونَ أَلْيَاتِ الْغَنَمِ فَقَالَ مَا قُطِعَ مِنْ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهِيَ مَيْتَةٌ

Daripada Abu Waqid al-Laithi katanya, Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, pada masa itu penduduknya memotong bonggol unta dan punggung kambing lalu baginda bersabda: “Apa-apa yang dipotong dari haiwan ternakan dalam keadaan ianya masih hidup maka ia adalah bangkai.” (al-Tirmizi) [1]

Kefahaman hadis

Hadis ini menjelaskan bahawa bahagian yang dipotong dari haiwan ternakan seperti kaki, bonggol, ekor dan sebagainya dalam keadaan ianya masih hidup maka ia hukumnya tidak boleh dimakan kerana ia menjadi bangkai dan hukum bangkai adalah najis. Maka bahagian haiwan yang terpotong itu dikira pada syara’ sebagai najis maka dengan sebab itu ia tidak boleh dimakan.

Rasulullah s.a.w. melarang mereka dari berbuat demikian supaya haiwan tidak terseksa. Cara yang sebaiknya apabila mahu memakan binatang ialah dengan cara menyembelihnya kerana itu adalah kaedah yang tidak menyeksa haiwan. Ibn Qudamah berkata: “keharusan memakannya ialah dengan cara menyembelih dan ini bukan caranya. (al-Mughni, jil. 11, hal. 53)

Baginda juga bermaksud supaya menjauhkan diri dari memakan bangkai kerana termasuk dalam khaba`ith. Syara’ menetapkan bahawa halalnya binantang ternakan itu dengan cara sembelihan menurut syara’ dan ia hendaklah dilakukan secara ihsan seperti yang dijelaskan oleh hadis:

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ قَالَ ثِنْتَانِ حَفِظْتُهُمَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Daripada Shaddad bin Aus katanya, dua perkara yang aku menghafalnya dari Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. mewajibkan kamu berlaku baik kepada setiap perkara. Apabila kamu membunuh maka perelokkanlah pembunuhan itu, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah seseorang itu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia memberikan keselesaan kepada binatang sembelihannya. (Muslim: 1955)

Beberapa pengecualian

Ketika membincangkan hadis ini, ulama menyebutkan beberapa masalah yang terkecuali dari hadis ini iaitu:

Pertama, bulu binatang, Allah s.w.t berfirman:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ جُلُودِ الْأَنْعَامِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَى حِينٍ

Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), Yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas Rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa. (surah al-Nahl: 80)

Ayat al-Qur`an ini tidak bercanggah dengan hadis di atas kerana bulu biri-biri tidak sama dengan bonggol unta atau lemak di pinggul biri-biri kerana tidak ada hayat padanya dan ia tidak merasa sakit ketika digunting serta apabila ia terpisah dari tubuh tidak akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.

Kedua, kasturi yang terhasil dari kijang. Ianya berasal dari kantung yang berada pada pusat kijang. Apa yang terpisah itu hukumnya sama seperti bulu, telur dan anak. Sucinya itu berdasarkan kepada Sunnah dan Ijma’.

Ketiga, haiwan yang menjadi liar dan sukar untuk menyembelihnya maka boleh dilukakan mana-mana bahagian tubuhnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis berikut.

عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَنَدَّ بَعِيرٌ مِنْ الْإِبِلِ قَالَ فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ إِنَّ لَهَا أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ فَمَا غَلَبَكُمْ مِنْهَا فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا

Daripada Rafi’ bin Khadij katanya kami berada bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan lalu seekor daripada unta-unta menjadi liar. Rafi’ berkata: “Lalu seorang lelaki memanahnya lalu dapat menahannya. Beliau berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya unta itu ada yang liar seperti bintang buas. Mana-mana yang bertindak liar maka hendaklah kamu lakukan begini. (al-Bukhari) [2]

 

Rujukan
[1] Abu ‘Isa al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan gharib, kami tidak mengenalinya kecuali melalui hadis Zaid bin Aslam. Amalan di sisi ahli ilmu berdasarkan kepada hadis ini. Abu Waqid al-Laythi namanya ialah al-Harith bin ‘Awf. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah, no: 2400.
[2] Al-Bukhari no: 5544, Muslim no: 1968, al-Tirmizi no: 1492, al-Nasa`I, no: 4409, Abu Dawud no: 2821, Ibn Majah no: 3183.

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *