Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SABAB WURUD “SESUNGGUHNYA AIR ITU SANGAT MENYUCIKAN”
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SABAB WURUD “SESUNGGUHNYA AIR ITU SANGAT MENYUCIKAN”

Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ اَلْمَاءَ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya air itu sangat menyucikan dan tiada sesuatu yang menajiskannya [1]

Sebab kepada kedatangan hadis ialah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri katanya: “Rasulullah s.a.w ditanya: Bolehkah kita berwuduk menggunakan telaga buda‘ah, iaitu telaga yang dibuangkan ke dalamnya cebisan-cebisan kain yang digunakan oleh perempuan haid, daging-daging (bangkai-bangkai) anjing dan benda-benda yang berbau busuk? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya air itu suci lagi menyucikan, tidak ada sesuatu yang menajiskannya.”

Telaga ini terletak di perkampungan Bani Saidah.

قَالَ أَبُو دَاوُد و سَمِعْت قُتَيْبَةَ بْنَ سَعِيدٍ قَالَ سَأَلْتُ قَيِّمَ بِئْرِ بُضَاعَةَ عَنْ عُمْقِهَا قَالَ أَكْثَرُ مَا يَكُونُ فِيهَا الْمَاءُ إِلَى الْعَانَةِ قُلْتُ فَإِذَا نَقَصَ قَالَ دُونَ الْعَوْرَةِ قَالَ أَبُو دَاوُد وَقَدَّرْتُ أَنَا بِئْرَ بُضَاعَةَ بِرِدَائِي مَدَدْتُهُ عَلَيْهَا ثُمَّ ذَرَعْتُهُ فَإِذَا عَرْضُهَا سِتَّةُ أَذْرُعٍ وَسَأَلْتُ الَّذِي فَتَحَ لِي بَابَ الْبُسْتَانِ فَأَدْخَلَنِي إِلَيْهِ هَلْ غُيِّرَ بِنَاؤُهَا عَمَّا كَانَتْ عَلَيْهِ قَالَ لَا وَرَأَيْتُ فِيهَا مَاءً مُتَغَيِّرَ اللَّوْنِ

Abu Daud berkata: “Saya mendengar Qutaibah bin Sa’id berkata: “Saya pernah bertanya kepada penjaga telaga Buda’ah ini tentang kedalamannya. Dia menjawab: “Paling dalam air ini sampai ke paras ari-ari.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana bila ia berkurangan?”. Penjaga itu menjawab: “Di bawah paras lutut.”

Abu Dawud berkata: “ Saya sendiri pernah mengukur dengan selendang saya yang saya hulurkan ke dalamnya kemudian saya mengukurnya dengan hasta rupa-rupanya seluas 6 hasta dan saya bertanya kepada penjaga yang membuka pintu kebun itu lalu beliau membawa saya masuk, dan saya bertanya adakah pernah berlaku perubahan kepada telaga ini daripada asalnya, penjaga itu menjawab, tidak. Abu Daud berkata: “Saya melihat airnya telah berubah warnanya.

Kemusykilan

Berkenaan dengan telaga ini, di zaman manakah sampah dibuang ke dalamnya, adakah pada zaman Rasulullah s.a.w berada di Madinah atau sebelum daripada itu? Adakah para sahabat tidak menjaga kebersihan air?

Jawapan:

Adat manusia di zaman Islam mahupun di zaman Jahiliah sentiasa menjaga air dari dicemari najis. Tidak mungkin dibayangkan sahabat sengaja membuang kotoran dalam telaga sedangkan mereka adalah orang yang paling menjaga kebersihan apatah lagi air pada masa itu sangat sukar didapati.

Hal ini sebenarnya kerana telaga tersebut berada di kawasan yang cerun. Aliran yang turun kepadanya membawa kotoran jalanan sehingga memasukinya. Begitu juga keadaannya semasa hujan atau ketika banjir sehingga benda-benda ini masuk ke dalam telaga itu. Jumlah air yang banyak yang terdapat dalam telaga ini tidak terjejas sifatnya. [2]

Pengajaran hadis

Pertama, sifat asal air adalah suci.

وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci. (Surah al-Furqan: 48)

Kedua, sekiranya kita meragui kesucian air maka hukumnya adalah suci kerana asal air adalah suci.

Ketiga, sekiranya air itu bercampur dengan bahan yang suci maka hukumnya tetap suci.

Kesimpulan

Hadis ini memberikan pengertian umum berdasarkan kepada kaedah nakirah fi siyaq al-Nafi tufid al-‘Umum, kata nama nakirah yang berada dalam konteks penafian memberi maksud umum. Pada zahirnya, air tidak menjadi najis kerana terjatuh sesuatu di dalamnya sama ada banyak atau sedikit, walaupun berubah salah satu sifatnya.

Imam al-Nawawi berkata: “Ketahuilah hadis telaga Buda’ah merupakan ‘am yang takhsiskan. Ditakhsiskan daripadanya itu air yang berubah kerana najis. Berdasarkan kepada ijma’ ia menjadi najis. Dikhususkan juga umum hadis ini dengan air yang kurang daripada dua qullah apabila terkena najis. Oleh itu, yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah air yang banyak yang tidak berubah kerana najis, tidak dinajiskan oleh sesuatupun dan inilah sifat pada telaga Buda’ah. [3]

 


[1] Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, no: 11815, Abu Dawud, no: 66, 67, al-Tirmidhi, no: 66, al-Nasa`i, no: 326, 327dan Ahmad mensahihkannya.
[2] Lihat al-Khattabi, Ma’alim al-Sunan, jil. 1, hal. 33.
[3] Al-Nawawi, al-Majmu’ Bi Sharh al-Muhazzab, jil. 1, hal. 85.

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *