Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SABAB WURUD HADIS ‘SEHINGGALAH AKU MENJADI LEBIH KAMU KASIHI LEBIH DARI DIRI KAMU SENDIRI’
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SABAB WURUD HADIS ‘SEHINGGALAH AKU MENJADI LEBIH KAMU KASIHI LEBIH DARI DIRI KAMU SENDIRI’

 

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Sayyidina ‘Umar:

لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ

Tidak, demi nyawaku di tangan-Nya sehinggalah aku menjadi lebih kamu kasihi lebih dari diri kamu sendiri.

Sebab kepada hadis ini ialah;

عَنْ عَبْدِ الله بْنِ هِشَامٍ قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ فَإِنَّهُ الْآنَ وَاللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْآنَ يَا عُمَرُ

Daripada ‘Abdullah bin Hisham katanya, kami berada bersama dengan Rasulullah s.a.w. dan pada ketika itu baginda memegang tangan ‘Umar bin al-Khattab lalu beliau berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, tuan lebih saya kasihi dari segala sesuatu kecuali diri saya sendiri. Rasulullah bersabda kepada ‘Umar: “Tidak, demi nyawaku di tangan-Nya sehinggalah aku menjadi lebih kamu kasihi lebih dari diri kamu sendiri.” Lalu ‘Umar menjawab: “Maka sesungguhnya sekarang wahai Rasulullah, demi Allah, tuanlah lebih saya kasihi dari diri saya sendiri. Baginda bersabda: “Sekarang ini (sempurna imanmu) wahai ‘Umar.” (Al-Bukhari, no: 6632)

Huraian

Hadis ini menjelaskan kepada kita kedudukan Rasulullah s.a.w yang merupakan sebahagian dari keimanan. Tidak akan sempurna iman seseorang yang kasihnya itu kepada orang lain termasuk dirinya sendiri melebihi dari kasih kepada Rasulullah s.a.w. Kasih yang dimaksudkan di sini ialah dari segi iman dan ikhtiar manakala kasih kepada diri sendiri dan orang yang terdekat seperti anak, isteri dan ibubapa merupakan kasih yang didorong oleh tabi’i sebagai sifat asal manusia. Untuk mencapai kesempurnaan iman, seorang muslim mestilah meletakkan kasihnya yang didorong oleh ikhtiar mendahului dari apa yang didorong oleh tabi’i. Iman kepada Rasulullah s.a.w merupakan sebab kepada kebahagiaan dan penyelamat dari kesesatan dan azab di dunia dan akhirat.

Kepentingan tentang perkara ini ditekankan oleh Rasulullah s.a.w dengan cara baginda bersumpah dengan nama Allah s.w.t yang menguasai diri baginda. Pernyataan sesuatu perkara akan dirasakan penting apabila pengucapnya menggunakan gaya bahasa sumpah.

Semakna dengan hadis ini ialah firman Allah s.w.t:

قُلْ إِنْ كَانَ آَبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah al-Tawbah: 24)

Dalam hadis lain:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Daripada Anas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak beriman seseorang dari kalangan kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari ayahnya, anaknya dan sekalian manusia. (Al-Bukhari, no: 15, Muslim, no: 44)

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *