Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SABAB WURUD HADIS BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN YANG MELAHIRKAN ANAK RAMAI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SABAB WURUD HADIS BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN YANG MELAHIRKAN ANAK RAMAI

Rasulullah s.a.w bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ

Berkahwinlah dengan perempuan yang melahirkan anak ramai lagi penyayang kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya bilangan kamu.

Sebabnya ialah:

عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَمَنْصِبٍ إِلَّا أَنَّهَا لَا تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَنَهَاهُ فَقَالَ تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ

Daripada Ma’qil bin Yasar katanya, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Wahai Rasulullah, saya telah mendapati seorang wanita yang berketurunan dan berkedudukan cumanya dia tidak dapat melahirkan anak, apakah saya patut berkahwin dengannya?” Lalu baginda melarangnya. Kemudian dia datang pada kali yang kedua tetapi baginda melarangnya. Kemudian dia datang pada kali yang ketiga namun baginda tetap melarangnya seraya bersabda: “Berkahwinlah dengan perempuan yang melahirkan anak ramai lagi penyayang kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya bilangan kamu.”[1]

Huraian ringkas:

Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan kebaikan untuk umatnya. Umat yang ramai bererti umat itu mempunyai kekuatan dan setiap anggotanya mempunyai keistimewaan dan kebolehan masing-masing dalam pelbagai bidang. Bagi seorang pejuang dan pemimpin, antara kebaikan yang paling utama ialah mempunyai pengikut yang ramai yang mendokong dan meneruskan perjuangan. Sebagai seorang pemimpin yang agung, Rasulullah s.a.w. menuntut umatnya supaya mempunyai kekuatan yang mengatasi umat lain. Mereka yang diharapkan oleh baginda ialah generasi yang sentiasa berjuang untuk menegakkan agama Allah demi kesejahteraan sekalian manusia di dunia dan di akhirat. Baginda akan berbangga di hadapan umat yang lain di hari Akhirat dengan mempunyai umat yang ramai. Jalan untuk memperolehi umat yang ramai ialah dengan membina keluarga yang mempunyai anak yang ramai. Oleh itu, isteri yang akan dinikahi hendaklah diselidiki potensi kesuburannya itu melalui kaum keluarga yang terdekat dan melihat kepada latar belakang keluarga mereka.

Selain itu, sebab perlu kepada anak yang ramai ialah anak akan mendoakan untuk ibu bapa mereka dan ini akan menjamin suratan amalan sentiasa dicatit amal kebaikan dengan sebab usaha dan didikan mereka.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.[2]

Setiap amalan soleh yang dilakukan anak tetap dikira sebagai pahala buat ibu bapanya yang mendidiknya. Oleh kerana usaha mendidik dan membesarkan anaknya, ibu bapa akan terus mendapat pahala selepas meninggal dunia.

Tambahan pula, anak yang ramai adalah jalan utama mewariskan ilmu yang dimiliki. Ulama sememangnya pertama sekali memerlukan kepada murid dan pengikut yang meneruskan perjuangannya. Orang yang paling diharapkan dan paling memahami perjuangannya adalah anak-anaknya yang dibesarkan dan dididik sendiri olehnya.

Setiap anak itu mempunyai kebaikan dan manfaat yang tersendiri dan kita tidak mengetahui siapakah di kalangan mereka yang lebih mendatangkan keberkatan.

آَبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا

lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu . (Surah al-Nisa`: 11)

Dari segi kesimpulan fiqh, makruh mengahwini perempuan yang tidak dapat melahirkan anak. Walau bagaimanapun apabila berlaku kes yang sebegini, maka hendaklah seseorang berusaha mengatasinya dengan mendapatkan rawatan. Sekiranya gagal maka hendaklah menerimanya sebagai ketentuan Allah s.w.t kerana Dia maha mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya.

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ (49) أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ (50)

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 50. Atau ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Shura: 49-50)

Dalam al-Sunan al-Kubra, Imam al-Baihaqi meriwayatkan:

عَنْ أَبِى أُمَامَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم تَزَوَّجُوا فَإِنِّى مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ وَلاَ تَكُونُوا كَرَهْبَانِيَّةِ النَّصَارَى

Daripada Abi Umamah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Berkahwinlah kerana sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang ramai di hadapan ummat-ummat (terdahulu) dan janganlah kamu menjadi seperti kepaderian Nasrani.” [3]

 

 

Rujukan
[1] al-Nasa`i, Kitab al-Nikah, Bab Karahiyah Tazwij al-‘Aqim, no: 3228,Abu Daud, Kitab al-Nikah, Bab al-Nahy ‘An Tazwij Man Lam Yalid Min al-Nisa`, no: 2050, lafaz hadis ini mengikut riwayat al-Nasa`i.
[2] Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab, no: 1631, Abu Daud, Kitab al-Wasaya, Bab Ma Ja`a Fi al-Sadaqah ‘An al-Mayyit, no: 2880, al-Tirmizi, Kitab: al-Ahkam ‘An Rasulillah s.a.w. Bab Fi al-Waqf, no: 1376
[3] Imam al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Nikah, Bab al-Raghbah Fi al-Nikah, jil. 7, hal. 78

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *