Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Al-Jarh Wa At-Ta`dil / Perawi Yang Tidak Diketahui Tentang Keadilan Dan Ketepatannya (Majhul)
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Perawi Yang Tidak Diketahui Tentang Keadilan Dan Ketepatannya (Majhul)

Download PDF

 

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Perawi majhul ialah perawi yang tidak diketahui kedudukannya dari segi jarh dan ta’dil. Ia merangkumi perawi yang tidak disebutkan namanya, tidak diketahui diri peribadinya dan tidak diketahui keadaan peribadinya. Ketidaktahuan tentang perawi merupakan salah satu sebab kecaman terhadap keadilannya sehingga menyebabkan riwayatnya tertolak.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Perawi majhul di sisi ulama hadis ialah setiap orang yang tidak terkenal dalam bidang pencarian ilmu (ilmu hadis) dan dia tidak dikenali oleh ulama dengan ilmu itu dan orang yang hadisnya hanya diketahui melalui seorang perawi sahaja. (al-Kifayah, hal. 149) Majhul ini dikenali dengan majhul al-‘ain. Contohnya ialah Jabbar al-Ta`i. Tidak ada perawi lain yang meriwayatkan daripadanya kecuali Abu Ishaq al-Sabi’i.

Majhul al-hal pula ialah perawi yang dua orang atau lebih meriwayatkan daripadanya tanpa dinyatakan sebagai thiqah. Juga dikenali sebagai perawi mastur. Ibn Hajar berkata: “Perawi yang mastur, hadisnya tidak boleh diterima dan ditolak secara mutlak bahkan bergantung kepada nyatanya kedudukannya itu (istibanah haluh) sebagaimana yang diputuskan oleh Imam al-Haramain.” (Nuzhah al-Nazar Sharh Nukhbah al-Fikar, hal. 80-81)

Sebab Jahalah

1 – Perawi itu tidak menyibukkan diri dalam bidang hadis ya’ni ilmu hadis bukanlah bidang utamanya

2 – Perawi itu tidak banyak meriwayatkan hadis

Contohnya ialah Ahmad bin Ja’far al-Nasa`i Abu al-Faraj. Hafiz Ib Hajar menulis: “al-Khatib al-Baghdadi berkata, saya bertanya al-Barqani tentangnya (Ahmad bin Ja’far al-Nasa`i) beliau menjawab, sangat sedikit saya menulis (hadis) daripadanya dan saya tidak mengetahui keadaannya. (Lisan al-Mizan, jil. 1, hal. 416).

Berkenaan dengan Zuhayr bin Marzuq, Ibn ‘Adi meriwayatkan daripada ‘Uthman bin Sa’id, katanya: “Saya bertanya kepada Ibn Ma’in tentang Zuhayr”. Beliau menjawab: “Saya tidak mengenalinya.” Ibn ‘Adi berkata: “Sebab Ibn Ma’in tidak mengenalinya ialah kerana beliau mempunyai satu hadis sahaja, itupun mu’dhal (gugur dua perawi berturut-turut). (al-Kamil Fi al-Du’afa`, jil. 4, hal. 189)

Pembahagian Ketidaktahuan Tentang Perawi Dari Sudut Keadilan

Pertama, ‘adalah zahirah iaitu perawi itu seorang Islam dan terselamat dari sebarang perkara yang menjejaskan agamanya. Keadilan ini sabit dengan periwayatan dua orang atau lebih. Jika tidak dia dikenali sebagai majhul ain.

Kedua, ‘adalah batinah iaitu kelayakan perawi dalam menukilkan hadis dari sudut ketepatannya dan ketekunannya. Keadilan ini tidak sabit kecuali dengan penjelasan pengkritik yang mahir bahawa dia seorang yang thiqah atau seumpamanya. Pensabitan keadilan ini merupakan rukun kepada kesahihan untuk dikatakan perawi itu adil dan boleh berhujah dengan hadisnya. (‘Abdullah bin Yusuf al-Juday’, Tahrir ’Ulum al-Hadith, jil. 1 hal. 249)

Hukum periwayatan perawi majhul

Hukum perawi ini ialah riwayatnya tidak diterima. Sebahagian ulama mutakhirin mentarjihkan bahawa riwayatnya diterima dengan dua syarat:

Pertama, dia telah dinyatakan sebagai thiqah oleh ulama lain selain dari perawi yang berseorangan meriwayatkan daripadanya, mengikut pendapat yang sahih.

Kedua, perawi yang berseorang meriwayatkan daripadanya telah menyatakan dia thiqah, dengan syarat dia seorang yang ahli dalam ilmu al-jarh wa al-ta`dil. (Nuzhah al-Nazar, hal. 80)

Imam al-Syafi’i tidak menerima riwayat perawi yang tidak dikenali dan tidak diketahui sebagai benar dan melakukan amalan kebaikan walaupun beliau mengatakan thiqah kepada orang yang masih dikhilafkan tentang keadilannya berdasarkan kepada ijtihadnya. (Abu Lubabah, al-Jarh Wa al-Ta’dil, hal. 117)

Ulama telah membahagikan jahalah atau ketidaktahuan kepada tiga dan meletakkan hukum masing-masing.

Majhul keadilan pada zahir dan batin:

Majoriti ulama tidak menerima riwayatnya kerana keadilannya tidak terbukti dan tidak ada padanya syarat-syarat bagi penerimaan riwayatnya. (Abu Lubabah, hal. 117)

Mastur al-hal: Sebahagian ulama berpendapat bahawa riwayat mastur al-hal boleh dijadikan hujah kerana periwayatan khabar adalah berdasarkan kepada sangka baik dengan perawi. Oleh itu sesiapa tidak dapat mengetahui keadilan perawi pada batin memadai dengan mengetahui zahir sahaja. Ibn al-Salah berpendapat bahawa pendapat inilah yang dipakai di dalam kebanyakan kitab hadis yang terkenal. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, hal. 112)

Sebahagian ulama pula tidak menerima riwayat mastur hal. Imam al-Haramain berkata: Ulama terkemudian teragak-agak dalam menerima riwayatnya. Keputusan ulama usul yang muktabar ialah riwayatnya tidak diterima. (al-Sakhawi, Fath al-Mughith, jil. 2, hal. 69)

Sebahagian ulama Hanafiyyah memberikan alasan iaitu perawi mastur di zaman kita tidak diterima kerana tersebarnya kerosakan dan kurangnya kelurusan. Sebab mengapa mastur diterima hanya di zaman salaf kerana boleh diandaikan mereka mengetahui keadaan para perawi yang kita tidak mengetahuinya. (Fath al-Mughith, jil. 2, hal. 69)

Majhul al-‘ain: perawi yang namanya dan peribadinya tidak dikenali atau dikenali namanya tetapi tidak dapat ditentukan dan majoriti ulama hadis menolak riwayatnya.

Bagaimana Ketidaktahuan Dapat Dihilangkan?

Ibn Hibban dan al-Khatib berpendapat bahawa jahalah perawi akan hilang apabila ulama mengetahui keadaannya atau dengan periwayatan dua orang yang adil daripadanya. Bagaimanapun al-Daruqtni pergi lebih jauh lagi dengan mengatakan itu mensabitkan keadilannya sedangkan Ibn Hibban dan al-Khatib hanya berpendapat hilang jahalah sahaja. (Abu Lubabah, al-Jarh Wa al-Ta’dil, hal. 118-119)

Beberapa Kaedah Berkaitan Dengan Periwayatan Perawi Majhul

1 – Pada prinsipnya tidak boleh berhujah dengan riwayat perawi majhul kerana penerimaan riwayat berdasarkan kepada keadilan sedangkan keadilan perawi majhul tidak sabit.

Dalam muqaddimah Mizan al-I’tidal, al-Zahabi menyatakan jenis-jenis perawi yang disebutkan dalam kitabnya, antaranya ialah perawi-perawi majhul yang tidak dinyatakan oleh Abu Hatim sebagai majhul, atau orang lain mengatakan “tidak dikenali”, atau “padanya ada jahalah”, atau “tidak diketahui” atau ungkapan-ungkapan lain yang menunjukkan perawi itu tidak dikenali sebagai benar kerana perawi majhul tidak dijadikan hujah. (jil. 1, hal. 113)

Al-Zahabi menulis tentang biografi Samurah bin Sahm, beliau seorang tabi’i, tidak dikenali. Tidak boleh berhujah dengan perawi yang tidak diketahui keadilannya dan tidak ternafi jahalah tentangnya. (jil. 3, hal. 327)

2 – Semata-mata jahalah, tidak memberi kesan kepada keadaan peribadi perawi ketika cukup syarat-syarat berikut:

  1. Hendaklah perawi itu dari kalangan syeikh
  2. Sekumpulan perawi yang thiqah meriwayatkan daripadanya
  3. Matannya itu tidak mengandungi sesuatu yang munkar.

Ketika membincangkan biografi Malik bin al-Khayr al-Zabadi dalam Mizan al-I’tidal (jil. 6, hal. 6), al-Zahabi menyebutkan kata-kata Ibn al-Qattan, dia termasuk dalam kalangan mereka yang tidak sabit keadilannya. Kemudian al-Zahabi mengulas: “Maksud beliau ialah tidak seorang ulama yang menyatakan bahawa dia seorang yang thiqah. Tetapi dalam kalangan perawi al-Bukhari dan Muslim terdapat ramai perawi yang kami tidak mengetahui seorangpun yang menyatakan kethiqahan mereka. Jumhur berpendapat bahawa jika seorang itu dari kalangan syeikh yang ramai meriwayatkan daripadanya dan dia tidak membawa dalam riwayatnya sesuatu yang dibantah oleh orang lain maka hadisnya adalah sahih.

3 – Perbezaan pendapat tentang penerimaan riwayat perawi majhul hanya pada perawi selain daripada sahabat. Adapun sahabat ketidaktahuan tentang mereka tidak akan menjejaskan kesahihan hadis kerana ta’dil mereka sabit berdasarkan nas-nas yang qat’i.

4 – Penilaian Abu Hatim al-Razi terhadap perawi sebagai majhul.

Perlu diberi perhatian bahawa apabila Abu Hatim berseorangan dalam menghukumkan seorang perawi sebagai majhul, maka pada kebiasaannya penilaian beliau tidak diambil kira kerana ramai di kalangan perawi yang ma’ruf (yang dikenali) di sisi ulama lain tetapi dihukum majhul oleh beliau. Oleh itu, perlu dilihat adakah keputusannya itu disepakati oleh ulama pengkritik yang lain atau tidak.

Contohnya, al-Hakam bin ‘Abdullah al-Basri. Diriwayatkan daripada Ibn Abi Hatim daripada ayahnya, katanya, beliau seorang yang majhul. Hafiz Ibn Hajar berkata: “Beliau tidak majhul. Empat orang thiqat telah meriwayatkan daripadanya dan al-Zuhali mengatakan beliau seorang yang thiqah. (Hady al-Sari Muqaddimah Fath al-Bari, hal. 562)

Download PDF

Check Also

Pengenalan Kepada Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil

  Muqaddimah Mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan kewajipan agama ke atas setiap orang dan salah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *