Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16
 

 

MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI IKHTILAT

Ta’rif Ikhtilat

Pada bahasa ikhtilat ialah rosak akal, dikatakan “ikhtalata fulan” maksudnya rosak akalnya sebagaimana yang tersebut dalam “al-Qamas al-Muhit”.

Pada istilah, “ikhtilat” ialah rosak akal, percakapan yang celaru kerana nyanyuk, cacat penglihatan, kitab terbakar atau sebagainya.

Bahagian-Bahagian Perawi Yang Ikhtilat

  1. Dengan sebab nyanyuk seperti `Ata’ bin al-Sa’ib al-Thaqafi al-Kufi. 322
  2. Hilang penglihatan dengan sebab seperti `Abdul Razzaq bin Hummam al-San’ani. Setelah itu dia meriwayatkan hadis secara “talqin”.
  3. Sebab-sebab lain seperti terbakar kitab contohnya `Abdullah bin Lahi’ah al-Misri.

Hukum Perawi Mukhtalat

  1. Riwayat yang diambil daripadanya sebelum “ikhtilat” boleh diterima.
  2. Tidak diterima riwayat yang diambil daripadanya setelah berlaku “ikhtilat”. Demikian juga tidak diterima periwayatan daripadanya jika diragui sebelum “ikhtilat” atau selepasnya.

Kepentingan Dan Faedahnya

Ini merupakan seni yang sangat penting, faedahnya tersirat dalam membezakan hadis-hadis perawi thiqah yang disampaikan setelah berlaku “ikhtilat” untuk menolak dan tidak menerimanya.

Adakah Imam Al-Bukhari Dan Muslim Mengeluarkan Dalam Kitab Sahih Mereka Hadis-Hadis Daripada Perawi Thiqah Yang Mengalami “Ikhtilat”?

Memang, tetapi hanya hadis yang disampaikan perawi thiqah sebelum mengalami “ikhtilat”

Karangan Yang Masyhur

Beberapa orang ulama telah menulis kitab dalam bab ini seperti al-Ala’i, al-Hazimi.

Diantara kitab-kitab ini ialah “al-Ightibat Bi Man Rumiya Bi al-Ikhtilat” oleh Hafiz Ibrahim bin Muhammad, cucu Ibn al-`Ajmi meninggal pada tahun 841H.

 

MENGENALI TABAQAT (KELAS-KELAS) ULAMA DAN PERAWI

Ta’rif tabaqat:

Pada bahasa, kumpulan yang sama sebaya.

Manakala pada istilah pula, satu kumpulan yang hampir sama pada usia dan sanad atau pada sanad sahaja.

Makna hampir sama pada sanad ialah guru-guru perawi ini adalah guru-guru perawi seorang lagi atau hampir dengn guru-gurunya.

Faedah Mengetahuinya

  1. Antara faedah mengetahuinya ialah selamat dari memasukkan perawi yang sama nama atau kunyah dan sebagainya kerana ada kalanya dua nama sama lafaznya lalu disangka salah seorangnya adalah orang lain. Untuk membezakannya perlu mengenali tabaqatnya.
  2. Mengetahui maksud sebenar periwayatan secara `an’anah.

Kadang-Kadang Dua Orang Perawi Dilihat Dari Satu Sudut Sebagai Satu Tabaqat Tetapi Dari Sudut Lain Sebagai Dua Tabaqat

Contohnya Anas bin Malik dan “sighar” sahabat lain. Mereka dan sepuluh sahabat yang dijamin syurga dikira sebagai satu tabaqat dengan mengambil kira kesemua mereka adalah sahabat. Ini bermakna semua sahabat adalah satu tabaqat.

Dari sudut terdahulunya memeluk Islam, ada beberapa belas tabaqat para sahabat sebagaimana yang telah dibincangkan dalam fasal “Mengenali Sahabat”. Dengan ini Anas bin Malik dan sahabat-sahabat sebaya dengannya tidak berada dalam tabaqat yang sama dengan sepuluh sahabat yang dijamin syurga.

Sifat Yang Mesti Ada Pada Pengkaji Ilmu Tabaqat

Pengkaji dalam ilmu tabaqat mestilah mengetahui tarikh kelahiran dan kewafatan para perawi, siapakah yang mengambil riwayat daripada mereka dan daripada siapa mereka mengambil riwayat.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. “Al-Tabaqat al-Kubra” oleh Ibn Sa’d
  2. “Tabaqat al-Qurra’ “ oleh Abu `Amr al-Dani
  3. “Tabaqat al-Shafi’iyyah al Kubra” oleh Abdul Wahab Al-Subki
  4. “Tadhkirah al-Huffaz” oleh al-Dhahabi

 

MENGENALI PARA PERAWI DAN ULAMA DARI KALANGAN “MAWLA”

Pada bahasa: “Mawali” jama’ kepada “mawla”. Ia termasuk dalam perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan, hamba, tuan mas, orang yang membebaskan hamba dan hamba yang dibebaskan. 

Pada istilah: Orang yang membuat perjanjian sumpah setia (bersekutu), hamba yang dibebaskan dan orang yang memeluk Islam di tangan orang lain.

Bahagian-Bahagian Mawla

  1. “Mawla hilf” seperti Imam Malik bin Anas al-Asbahi al-Taymi. Beliau pada asalnya berketurunan Asbah, dinisbahkan kepada Taym kerana kaumnya, Asbah mawla kepada Taym Quraisy dengan bersekutu.
  2. Mawla hamba seperti Abu Bakhtari al-Tai’i al-Tabi’i. Nama beliau ialah Sa’id bin Fayruz. Beliau merupakan hamba bebasan Ta’i kerana tuannya itu dari qabilah Tai’.
  3. Mawla Islam seperti Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ju’fi kerana datuknya, al-Mughirah seorang Majusi yang memeluk Islam di tangan al-Yaman bin Akhnas al-Ju’fi.

Faedah

Terhindar dari kekeliruan dan dapat mengenali siapakah yang dinisbahkan kepada qabilah secara nasab keturunan atau wala’. Dengan itu dapat dibezakan antara perawi yang mempunyai nama serupa yang dinisbahkan kepada satu qabilah dengan seorang lagi dinisbahkan kepada qabilah itu secara wala.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Abu `Umar al-Kindi menulis tentang perawi-perawi yang dinisbahkan kepada Mesir sahaja.

 

MENGENALI PERAWI THIQAH DAN DHA’IF

Pada bahasa, thiqah ialah orang yang dipercayai. Dha’if lawan kepada kuat (lemah) dan ia pada fizikal dan juga ma’nawi.

Pada istilah, thiqah ialah perawi yang adil, dabit. Manakala dha’if nama umum merangkumi orang yang dikecam keadilan atau ketepatannya.

Kepentingan Dan Faedah Mengetahuinya

Ia merupakan bahagian ilmu hadis yang paling utama kerana melaluinya dapat diketahui hadis yang sahih daripada hadis yang lemah.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. Kitab yang khusus dengan perawi-perawi thiqah seperti al-Thiqat oleh Ibn Hibban, Kitab al-Thiqat oleh al-Ijli.
  2. Kitab yang khusus dengan perawi-perawi dha’if, seperti “al-Du’afa’ ” oleh Imam al-Bukhari, al-Nasa’i, al-`Uqayli dan al-Daruqutni.
  3. Kitab-Kitab yang merangkumi perawi-perawi thiqah dan dha’if seperti “al-Tarikh al-kabir” oleh Imam al-Bukhari, “al-Jarh Wa al-Ta’dil” oleh Ibn Abi Hatim.
  4. Kitab-Kitab ini bersifat umum tentang perawi-perawi. Di antara kitab jenis ini juga kitab-kitab yang khusus dengan perawi dalam sesetengah kitab hadis seperti “al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal” oleh `Abd al-Ghani al-Maqdisi dan kitab-kitab ringkasannya seperti” Tahdhib al-Kamal” oleh al-Dhahabi. Tahzib al-Tahzib dan Taqrib al-Tahdhib oleh Ibn Hajar dan Khulasah Tahdhib al-Tahdhib oleh al-Khazrji.

 

MENGENALI “AWTAN” (TANAHAIR) DAN “BULDAN” (NEGERI) PERAWI

Maksud Perbahasan Ini:

“Awtan” adalah jamak kepada “watan”, iaitu iklim atau tempat kelahiran seseorang atau tempat tinggalnya. “Buldan” jamak kepada “balad” iaitu bandar atau kampung kelahiran seseorang atau tempat tinggalnya. Maksud perbahasan ini ialah mengenali negeri dan bandar-bandar perawi yang merupakan tanahair mereka dan menjadi tempat tinggal mereka.

Faedahnya:

Dapat membezakan antara dua nama yang sama pada lafaz apabila mereka berdua berasal dari negeri yang berlainan. Ini merupakan pengetahuan yang diperlukan oleh penghafaz-penghafaz hadis untuk tugas-tugas dan penulisan-penulisan mereka.

Nisbah Yang Digunakan Oleh Perawi-Perawi Arab Dan Bukan Arab

Sejak dahulu lagi bangsa Arab menisbahkan diri mereka kepada qabilah-qabilah kerana kebanyakan mereka merupakan golongan badwi yang mengembara. Pertalian mereka dengan qabilah lebih kuat berbanding dengan negeri. Apabila Islam datang, kebanyakan mereka merupakan penduduk-penduduk negeri dan kampung maka mereka menisbahkan diri mereka kepada negeri dan kampung mereka.

Sementara itu, bangsa bukan Arab, sejak dahulu lagi mereka menisbahkan diri mereka kepada negeri dan kampung mereka.

Bagaimana Orang Yang Berpindah Dari Negerinya Menggunakan Nisbah

Apabila seseorang itu mahu menggabungkan antara tempat asal dan negeri barunya maka hendaklah didahulukan nisbah kepada negeri asal kemudian barulah nisbah kepada tempat baru. Seeloknya dimasukkan sebelum tempat kedua itu perkataan (kemudian). Dikatakan kepada orang yang dilahirkan di Halab kemudian berpindah ke Madinah “fulan al- Halabi thumma al-Madani”. Ini yang banyak digunakan.

Apabila dia tidak mahu menggabungkan tempat asal dan negeri barunya maka bolehlah dia menisbahkan kepada tempat yang dikehendakinya. Ini jarang sekali berlaku.

Bagaimana Orang Berada Di Sebuah Kampung Yang Terletak Di Sebuah Negeri menisbahkan Dirinya

  1. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada kampung itu.
  2. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada negeri yang mana kampung itu terletak.
  3. Dia boleh menisbahkan dirinya kepada kawasan yang terletak di negeri itu.

Contohnya, sekiranya seseorang itu berasal dari al-Bab yang berada di kawasan Bandar Halab dan ianya terletak di negeri Sham maka dia boleh menggunakan nisbah “al-Babiy”, atau “al-Halabi”, atau “al-Shami”.

Berapakah Tempoh Masa Berada Di Sesebuah Tempat Yang Membolehkan Seseorang Itu Menisbahkan Dirinya Kepada Tempat Itu?.

Sekurang-kurangnya empat tahun dan ini merupakan pendapat `Abdullah bin al-Mubarak.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

  1. Kitab “al-Ansab” oleh al-Sam’ani yang telah disebutkan sebelum ini sebagai kitab tentang bahagian nisbah kerana beliau menyebutkan pengnisbahan kepada tanahair dan lain-lain.
  2. Di antara kitab yang menyebutkan dengan banyak tanahair dan negeri-negeri para perawi ialah “al-Tabaqat al-Kubra” oleh Ibn Sa’d.

Inilah penghujung kitab yang Allah s.w.t. permudahkan saya untuk menyusunnya. Selawat dan salam buat junjungan dan nabi kita Muhammad, untuk ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam.

 

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 39 – Mengenali Nama-Nama, Kuniah Dan Gelaran Yang Tunggal

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 22- Feb-16     MENGENALI NAMA-NAMA, KUNIAH DAN GELARAN …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>