Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 39 – Mengenali Nama-Nama, Kuniah Dan Gelaran Yang Tunggal
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 39 – Mengenali Nama-Nama, Kuniah Dan Gelaran Yang Tunggal

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 22- Feb-16

 

 

MENGENALI NAMA-NAMA, KUNIAH DAN GELARAN YANG TUNGGAL

Maksud Tunggal

Sahabat atau perawi-perawi lain secara umumnya atau ulama mempunyai nama, “kuniah” atau “laqab” yang tidak sama dengan orang lain dan pada kebiasaannya nama tunggal itu ganjil dan sukar disebut.

Faedah Mengetahui

Tidak terjerumus dalam kesilapan “tashif” atau “tahrif” pada nama-nama tunggal yang ganjil itu.

Contoh:

Nama

Dari kalangan sahabat: Ajmad bin `Ujyan, dibaca dengan timbangan Sufyan atau `Ulayyan ya’ni `Ujayyan dan Sandar dengan timbangan Ja’far.

Bukan dari kalangan sahabat: Aswat bin `Amar, Durayb bin Nuqayr bin Sumayr.

Kuniah

Dari kalangan sahabat: Abu al-Hamra, mawla Rasulullah s.a.w, namanya ialah Hilal bin al-Harith.

Bukan Dari Kalangan Sahabat:

Abu al-`Ubaydayn, namanya ialah Mu’awiyah bin Sabrah.

Gelaran:

Dari kalangan sahabat: Safinah, mawla Rasulullah s.a.w. namanya ialah Mihran.

Bukan dari kalangan sahabat: Mandal, namanya ialah `Amar bin `Ali al-Ghazzi al-Kufi.

Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur

Al-Hafiz Ahmad bin Harun al-Bardiji telah mengkhususkan dengan satu kitab yang dinamakan “al-Asma’ al-Mufradah”.  Perbahasan ini juga boleh didapati dihujung kitab-kitab rijal seperti Taqrib al-Tahdhib oleh Hafiz Ibn Hajar.

 

MENGENAL NAMA-NAMA YANG TERKENAL DENGAN KUNIAH

Yang dimaksudkan dengan perbahasan ini ialah menyiasat nama-nama perawi yang terkenal dengan “kuniah” supaya diketahui nama mereka yang tidak masyhur.

Faedah

Faedah mengetahui perbahasan ini ialah supaya perawi yang sama tidak dianggap sebagai dua orang kerana boleh jadi individu ini disebut dengan namanya yang tidak masyhur dan kemudian disebutkan dengan kuniahnya yang masyhur.  Kepada orang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini dia akan keliru lalu menganggap itu adalah dua orang berlainan sedangkan dia adalah orang yang sama.

Cara Penulisan Perbahasan Ini

Ulama yang menulis tentang “al-kuna” (jama’ kepada perkataan “kuniah’) menyusun bab-bab mengikut tertib abjad pada “kuniah” kemudian menyebutkan nama-nama pemilik “kuniah”. Contohnya dalam bab “hamzah” disebutkan Abu Ishaq, dan disebutkan namanya. Dalam bab huruf “ba’ ” Abu Bishr dan disebutkan namanya. Demikian seterusnya.

Bahagian Pemilik-Pemilik “Kuniah” Dan Contoh-Contohnya

  1. Perawi yang namanya adalah “kuniah”nya.  Dia tidak mempunyai nama selain dari “kuniah” itu seperti Abu Bilal al-Ash’ari, namanya adalah “kuniah”.
  2. Perawi yang dikenali dengan “kuniah”nya dan tidak diketahui adakah dia mempunyai nama atau tidak seperti Abu Unas, seorang sahabat.
  3. Perawi yang digelar dengan “kuniah”, dia mempunyai nama dan “kuniah” yang lain seperti Abu Turab gelaran kepada `Ali bin Abi Talib dan “kuniah”nya Abu-al-Hasan.
  4. Perawi yang mempunyai dua “kuniah’ atau lebih seperti Ibn Jurayj.  Beliau juga diberikan “kuniah” dengan Abu al-Walid dan Abu Khalid.
  5. Perawi yang tidak disepakati “kuniah”nya.  Seperti Usamah bin Zayd, dikatakan “kuniah”nya Abu Muhammad, juga dikatakan Abu `Abdullah dan Abu Kharijah.
  6. Perawi yang dikenali “kuniah”nya tetapi berbeza pendapat tentang namanya.  Seperti Abu Hurayrah.  Terdapat perbezaan pendapat tentang namanya dan nama ayahnya sebanyak 30 pendapat.  Pendapat paling masyhur ialah `Abdul Rahman bin Sakhr.
  7. Perawi yang tidak disepakati nama dan kunyahnya.  Seperti Safinah. Dikatakan namanya `Umayr, Salih dan Mihran.  “Kuniah”nya dikatakan Abu `Abdul Rahman dan Abu al-Bakhtari.
  8. Perawi yang dikenali dengan namanya dan “kuniah”nya dan dia terkenal kedua-duanya sekali.  Seperti Abu `Abdillah “kuniah” kepada Sufyan al-Thawri, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris al-Shafi’ii dan Ahmad bin Hanbal.  Begitu juga Abu Hanifah “kuniah” kepada al-Nu’man bin Thabit.
  9. Perawi yang terkenal dengan “kuniah” dan dikenali juga namnya.  Seperti  Abu Idris al-Khawlani, namanya `A`idhullah.
  10. Perawi yang terkenal dengan namanya dan dikenali juga “kuniah”nya.  Seperti Talhah bin `Ubaydillah al-Taymi, `Abdul Rahman bin `Awf, al-Hasan bin `Ali bin Abi Talib, kuniah mereka ialah Abu Muhammad.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Ulama telah menulis banyak kitab tentang “al-kuna”. Antara yang menulis tentangnya ialah:

`Ali bin al-Madini, Muslim, al-Nasa’i. Kitab terkenal yang dicetak ialah “al-kuna Wa al-Asma’” oleh al-Dulabi Abu Bishr Muhammad bin Ahmad, meninggal dunia pada tahun 310H.

 

MENGENALI GELARAN-GELARAN (LAQAB)

Definisi Bahasa

“Alqab” jama’ “laqab” maknanya gelaran iaitu setiap sifat yang menggambarkan ketinggian atau kerendahan, atau menunjukkan pujian atau celaan.

Maksud Perbahasan Ini

Maksud perbahasan ini memeriksa dan menyiasat gelaran ahli hadis dan para perawi untuk mengenali dan menentukannya.

Faedah

Faedah mengenali gelaran ada dua:

  1. Tidak menyangka gelaran sebagai nama dan individu yang disebutkan sekali dengan nama dan sekali dengan gelaran sebagai dua orang sedangkan dia adalah orang yang sama.
  2. Mengetahui sebab perawi disebutkan dengan gelaran itu, maka dapat diketahui maksud sebenar gelaran yang sering kali bertentangan dengan maksud zahirnya.

Bahagian-Bahagian

Ada dua bahagian iaitu:

  1. Gelaran yang tidak harus memperkenalkan perawi dengannya.  Orang yang disebutkan gelaran itu padanya tidak menyukainya.
  2. Gelaran yang harus memperkenalkan perawi dengannya.  Orang yang disebutkan gelaran itu padanya menyenanginya.

Contoh-contoh:

  1. Al-Dall (orang yang sesat), gelaran Mu’awiyah bin `Abdul Karim, kerana beliau tersesat dalam perjalanan ke Mekah.
  2. Al-Dha’if (orang yang lemah), gelaran `Abdullah bin Muhammad.  Dipanggil begitu kerana lemahnya pada fizikal bukan pada hadisnya.  Abdul Ghani bin Sa’d berkata:  Dua tokoh utama tetapi melekat pada mereka berdua gelaran yang buruk, al-Dall dan al-Dha’if.
  3. Ghundar, maknanya dalam bahasa Ahli Hijaz orang membuat riuh rendah.  Gelaran ini diberikan kepada Muhammad bin Ja’far al-Basri sebabnya Ibn Jurayj datang ke Basrah lalu beliau menceritakan hadis daripada al-Hasan al-Basri lalu mereka mengingkarinya dan kecoh dan Muhammad bin Ja’far yang paling bising membuat riuh. Ibn Jurayj berkata kepadanya: “Diam wahai Ghundar”.
  4. Ghunjar, gelaran kepada `Isa bin Musa al-Taymi kerana bahagian atas pipinya yang merah.
  5. Sa’iqah, gelaran kepada Muhammad bin Ibrahim al-Hafiz, Imam al-Bukhari mengambil riwayat daripadanya.  Beliau digelar begitu kerana ingatannya dan cepatnya perbincangannya.
  6. Mushkudanah, gelaran `Abdullah bin `Umar al-Umawi.  Dalam bahasa Parsi, maksudnya biji kasturi atau bekas kasturi.
  7. Mutayyan, gelaran Abu Ja’far al-Hadrami.  Beliau diberikan gelaran ini kerana semasa kecil beliau bermain-main bersama kanak-kanak dalam air lalu mereka melumurkan belakangnya dengan tanah.  Abu Nu’aym berkata kepadanya: Wahai Mutayyan (orang yang berlumuran tanah) kenapa engkau tidak menghadiri majlis ilmu.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

Ulama mutaqaddimin dan mutakhirin telah menyusun kitab tentang gelaran-gelaran dan kitab yang paling baik dan paling ringkas ialah “Nuzhah al-Albab” oleh Hafiz Ibn Hajar.

 

MENGENALI PERAWI YANG DIBINKAN BUKAN KEPADA BAPA MEREKA

Maksud Perbahasan

Mengenali perawi yang “bin”nya lebih masyhur kepada bukan ayahnya sama ada ahli keluarganya yang lain atau pengasuh dan lain-lain.

Faedah

Faedahnya ialah menolak anggapan berbilangnya perawi ketika dibinkan kepada bapa mereka.

Bahagian-Bahagian Dan Contoh-Contoh

  1. Perawi yang dibinkan kepada ibu, contohnya: Mu’adh, Mu’awwidh, dan `Awz anak-anak `Afra’.  Bapa mereka ialah al-Harith. Bilal bin Hamamah, bapanya Rabah.  Muhammad bin al-Hanafiyyah, ayahnya `Ali bin Abi Talib.
  2. Perawi yang dibinkan kepada neneknya.  Nenek yang dekat atau yang jauh seperti Ya’la bin Munyah.  Munyah itu ibu kepada bapanya. Bapa Ya’la namanya Umayyah.  Bashir Bin al-Khasasiyyah. Beliau ialah ibu kepada datuknya yang ketiga.  Ayahnya ialah Ma’bad.
  3. Perawi yang dibinkan kepada datuk mereka seperti Abu `Ubaydah bin al-Jarrah.  Namanya ialah `Amir bin `Abdullah bin al-Jarrah.  Ahmad bin Hanbal, beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.
  4. Perawi yang dibinkan kepada orang lain kerana ada sebab seperti al-Miqdad bin `Amar al-Kindi.  Beliau dipanggil al-Miqdad bin al-Aswad kerana beliau berada di bawah jagaan al-Aswad bin `Abd Yaghuth lalu dijadikan anak angkatnya.

Karangan Yang Terkenal

Penulis tidak mengetahui satu kitab khusus tentang bab ini tetapi kitab rijal secara umumnya menyebutkan nama keturunan setiap perawi terutamanya kitab-kitab rijal yang besar.

 

MENGENALI NISBAH YANG TIDAK SERUPA ATAU TIDAK MENGIKUT ZAHIRNYA.

Pengenalan

Ada sebilangan perawi yang dinisbahkan kepada tempat, peperangan, kabilah atau pekerjaan.  Tetapi apa yang terlintas itu bukan maksud sebenar.  Tetapi sebenarnya mereka dinisbah begitu kerana suatu perkara yang berlaku kepada mereka seperti kerana mereka singgah di tempat itu atau pergaulan dengan orang yang melakukan pekerjaan itu.

Faedah

Perbahasan ini ialah mengetahui bahawa nisbah-nisbah ini bukan hakiki tetapi kerana kebetulan, di samping mengetahui sebab itu sendiri.

Contoh-contoh

  1. Abu Mas’ud al-Badri tidak pernah menyertai peperangan Badar beliau hanya singgah sahaja di situ.
  2. Yazid al-Faqir, bukan seorang yang miskin tetapi dipanggil demikian kerana sakit belakang yang dialaminya.
  3. Khalid al-Hadhdha’ (tukang kasut).  Beliau diberikan gelaran demikian keana sering bergaul dengan tukang kasut.

Karangan Yang Masyhur

Kitab “al-Ansab” oleh al-Sam’ani, Ibn al-Athir telah meringkaskannya dalam sebuah kitab yang bernama “al-Lubab Fi Tahzib al-Ansab”. Al-Suyuti pula meringkaskan ringkasan ini dengan nama “Lubb al-Lubab”.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>