Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 38 – Al-Mutashabih, Al-Muhmal, Mubhamat, Al-Wuhdan
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 38 – Al-Mutashabih, Al-Muhmal, Mubhamat, Al-Wuhdan

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 14- Feb-16

 

 

AL-MUTASHABIH

Definisi

Pada bahasa: kata nama pelaku daripada al-Tashabuh dengan erti menyerupai dan dimaksudkan dengan “al-mutasyabih” (yang menyerupai) dengan makna “al-multabis”, yang mengelirukan.  Dari sinilah datang penggunaan ayat “al-Mutashabih”, iaitu ayat yang mengelirukan maknanya.

Pada istilah: Nama perawi sama pada sebutan dan tulisan tetapi berbeza nama bapa mereka pada lafaz sahaja tidak pada tulisan atau sebaliknya.

Contoh-contoh

Muhammad bin `Uqayl, dengan huruf `ain berbaris hadapan dan Muhammad bin `Aqil, dengan huruf `ayn berbaris atas.  Walaupun mempunyai nama sama perawi tetapi berbeza nama bapa.

Shurayh bin al-Nu’man dan Surayj bin al-Nu’man, berbeza nama perawi tetapi sama nama bapa.

Faedah

Terserlah faedah tentang bahagian ini ketika mana mencatat nama para perawi, tidak terkeliru dalam menyebutkannya dan tidak terjerumus dalam “tashif” dan “waham”.

Bahagian-Bahagian Lain Bagi Al-Mutashabih

Ada beberapa bahagian lain bagi “al-Mutashabih” dan di sini penulis hanya menyebutkan yang terpenting sahaja.

  1. Sama nama perawi dan nama bapa kecuali pada satu atau dua huruf seperti Muhammad bin Hunayn dan Muhammad bin Jubayr.
  2. Atau sama nama perawi dan nama bapa pada tulisan dan sebutan tetapi berbeza dari segi dahulu dan kemudian:
  3. Sama ada pada dua nama secara keseluruhan seperti al-Aswad bin Yazid dan Yazid bin al-Aswad.
  4. Atau pada setengah huruf seperti Ayyub bin Sayyar dan Ayyub bin Yasar.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Talkhis al-Mutashabih Fi al-Rasm Wa Himayah Ma Ashkala Minhu `An Bawadir al-Tashif Wa al-Wahm” oleh al-Khatib al-Baghdadi.
  2. “Tali al-Talkhis”, juga karangan al-Khatib al-Baghdadi. Kitab ini merupakan pelengkap atau tambahan kepada kitab terdahulu.  Kedua-dua kitab ini sangat berharga dan tidak pernah ditulis satu kitab dalam bab ini sepertinya.

 

AL-MUHMAL

Definisi

Pada bahasa, kata nama pelaku daripada “al-Ihmal” dengan makna meninggalkan. Seolah-olah perawi meninggalkan nama tanpa menyebutkan sesuatu yang membezakannya daripada yang lain.  Pada istilah, perawi meriwayatkan daripada dua orang perawi yang sama pada nama sahaja atau sama juga pada nama bapa atau sebagainya dan kedua-dua mereka itu tidak dapat dibezakan antara satu sama lain dengan sesuatu yang menjadi ciri khusus mereka berdua.

Bilakah “Ihmal” Menjejaskan Kesahihan Hadis

Sekiranya salah seorang mereka itu thiqah sementara seorang lagi dha’if kerana kita tidak mengetahui siapakah orang yang diambil riwayat daripadanya di sini.  Boleh jadi diriwayatkan daripada perawi yang dhaif, maka dengan sebab itu hadis itu menjadi dhaif. Adapun, jika kedua-duanya itu thiqah maka “ihmal” itu tidak menjejaskan kesahihan hadis kerana daripada siapapun hadis itu diriwayatkan maka hadis itu tetap sahih.

Contohnya:

  1. Apabila kedua-dua perawi itu thiqah, hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari daripada riwayat Ahmad-tanpa dinisbahkan kepada sesiapa daripada Ibn Wahb, kerana ia sama ada Ahmad bin Salih atau Ahmad bin `Isa, mereka berdua itu adalah perawi yang thiqah.
  2. Apabila salah seorang thiqah dan seorang lagi dhaif; Sulayman bin Dawud dan Sulayman bin Dawud.  Jika seorang itu al-Khawlani maka dia adalah seorang yang thiqah dan jika seorang lagi al-Yamani maka dia merupakan seorang yang dhaif.

Perbezaan Antara “Al-Muhmal”  Dan “Al-Mubham”  

Perbezaan antara “al-Muhmal” dan “al-Mubham” ialah yang pertama disebutkan nama tetapi tidak dapat ditentukan siapa dan dan yang kedua, tidak disebutkan namanya.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Kitab al-Mukmal Fi Bayan al-Muhmal”

 

MENGENALI “AL-MUBHAMAT”

Definisi Pada bahasa: “al-Mubhamat”  jama’ kepada “mubham” iaitu kata nama pelaku daripada perkataan “al-Ibham”, mengaburkan, lawan kepada “al-Idah”, menjelaskan.

Pada istilah, perawi yang disamarkan namanya pada matan atau pada sanad atau seseorang yang mempunyai kaitan dengan riwayat.

Faedah Mengkajinya

Sekiranya “ibham” itu pada sanad: dapat mengenali perawi jika dia seorang thiqah atau dhaif maka dapat dinilai hadisnya sebagai sahih atau dhaif. Sekiranya pada matan, maka banyak faedah yang diperolehi, yang paling jelas ialah mengenali tuan cerita atau orang yang bertanya sehingga jika disebutkan keutamaannya dalam hadis itu maka kita dapat mengetahui kelebihannya.  Jika sebaliknya, dengan mengetahuinya akan selamat daripada sangkaan terhadap orang lain dari kalangan sahabat-sahabat yang utama.

Bagaimana “al-Mubham” Dikenali

“Al-Mubham” dikenali dengan salah satu cara ini:

  1. Perawi itu disebutkan namanya dalam setengah riwayat lain.
  2. Kebanyakan nama perawi “mubham” itu disebutkan dengan jelas oleh ulama sirah.

Bahagian-Bahagian “Mubham”

Berdasarkan kepada tahap ketidakjelasan, “ibham”  terbahagi kepada empat dan penulis akan memulakan bahagian “mubham” yang paling kabur.

  1. Lelaki atau perempuan seperti hadis Ibn `Abbas bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah haji itu setiap tahun? Lelaki ini adalah al-Aqra’ bin Habis.
  2. Anak lelaki atau anak perempuan.  Termasuk dalam kategori ini ialah saudara lelaki, saudara perempuan, anak saudara lelaki dan anak saudara perempuan, seperti hadis Ummu `Atiyyah berhubung dengan memandikan anak perempuan Rasulullah s.a.w. dengan air dan daun bidara.  Beliau ialah Zaynab r.a.
  3. Bapa saudara dan ibu saudara.  Termasuk dalam kategori ini ialah bapa saudara sebelah bapa, sebelah ibu, sepupu-sepapat.  Contohnya hadis Rafi’ bin Khadij daripada bapa saudaranya sebelah bapa tentang larangan “mukhabarah” (iaitu memberikan tanah kepada seseorang untuk bercucuk tanam dengan sebahagian daripada hasil tanaman itu diberikan kepadanya-pent).   Nama bapa saudara beliau ialah Zuhayr bin Rafi’.  Hadis tentang ibu saudara Jabir (sebelah bapa) yang menangisi bapanya yang terbunuh dalam peperangan Uhud, namanya ialah Fatimah binti `Amar.
  4. Suami dan isteri seperti hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tentang kematian suami Subai’ah.  Nama suaminya ialah Sa’d bin Khawlah.  Hadis tentang isteri `Abdul Rahman bin al-Zubayr yang dahulunya isteri kepada Rifa’ah al-Qurazi yang diceraikannya, namanya Tamimah binti Wahb.

Kitab-Kitab Yang Masyhur

Ramai ulama yang mengarang kitab tentang mubhamat antaranya `Abd al-Ghani bin Sa’id, al-Khatib, al-Nawawi.  Kitab yang paling baik dan lengkap ialah “al-Mustafad Min Mubhamat al-Matn Wa al-Isnad” oleh Waliyuddin al-`Iraqi.

 

MENGENALI PERAWI-PERAWI “AL-WUHDAN”

Pada bahasa: “al-Wuhdan” ialah jama’ kepada “wahid” iaitu satu.  Pada istilah: perawi-perawi yang tidak ada orang yang meriwayatkan daripada mereka kecuali seorang perawi sahaja.

Faedah

Mengenali perawi “majhul al-Ayn” dan ditolak riwayatnya jika beliau bukan sahabat.

Contoh:

  1. Dari kalangan sahabat: Amr bin Mudarris, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali al-Sha’bi dan al-Musayyab bin Hazn, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali anaknya Sa’id.
  2. Dari kalangan tabi’in: Abu al-Ushara’, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hammad bin Salamah.

Adakah Imam al-Bukhari Dan Iman Muslim Mengeluarkan Hadis Dalam Kitab Mereka Berdua Daripada Perawi Wuhdan?

Dalam “Kitab al-Madkhal”, al-Hakim menyebutkan bahawa Imam al-Bukhari dan Imam Muslim tidak mengeluarkan hadis dalam kitab mereka berdua daripada mana-mana perawi “wuhdan”.

Tetapi majoriti ahli hadis berpendapat bahawa dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada perawi-perawi “wuhdan”, antaranya ialah:

  1. Hadis al-Musayyab tentang kematian Abu Talib, Imam al-Bukhari dan Muslim memasukkanya dalam kitab mereka berdua.
  2. Hadis Qays bin Hazim daripada Mirdas; orang-orang soleh pergi seorang demi seorang. Tidak ada yang meriwayatkan hadis ini daripada Mirdas kecuali Qays. Hadis ini telah dimasukkan oleh al-Bukhari dalam kitab sahihnya.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Al-Mufradat dan al-Wuhdan” oleh Imam Muslim.

 

MENGENALI PERAWI YANG DISEBUTKAN DENGAN PELBAGAI NAMA DAN SIFAT YANG BERBEZA  

Ta’rif

Iaitu perawi yang disifatkan dengan beberapa nama, gelaran atau “kuniah” yang berbeza, seorang individu atau beberapa orang.

Contoh

Muhammad bin al-Sa’id al-Kalbi.  Sesetengah orang menamakannya Abu al-Nadr dan setengah pula menamakannya Hammad bin al-Sa’ib dan ada juga yang menamakannya Abu Sa’id.

Faedah

  1. Tidak terkeliru pada menentukan nama-nama individu yang sama dan tidak menyangka bahawa dia lebih daripada seorang (individu yang berlainan).
  2. Mendedahkan “tadlis al-Shuyukh” Al-Khatib al-Baghdadi banyak meletakkan pelbagai nama pada syeikh-syeikhnya. Beliau meriwayatkan dalam kitabnya daripada Abu al-Qasim al-Azhari, `Ubaydullah bin Abi al-Fath al-Farisi, `Ubaydullah bin Ahmad bin `Uthman al-Sayrafi.  Kesemua nama-nama itu adalah orang yang sama.

Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur

  1. “Idah al-Ishkal” oleh Hafiz `Abdul Ghani bin Sa’id
  2. “Mudih Awham al-Jam’ Wa al-Tafriq” oleh al-Khatib al-Baghdadi
Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>