Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 37 – Mengenali Tabi’in.Mengenali Al-Ikhwah Wal Al-Akhawat, Al-Muttafiq Wa Al-Muftariq, Al-Mu’talif Wa Al-Mukhtalif
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 37 – Mengenali Tabi’in.Mengenali Al-Ikhwah Wal Al-Akhawat, Al-Muttafiq Wa Al-Muftariq, Al-Mu’talif Wa Al-Mukhtalif

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 07- Feb-16

 

 

MENGENALI TABI’IN

Definisi al-Tabi’in

Dari sudut bahasa, al-Tabi’in jama’ kepada “taabi’ii” atau “tabi’ ” iaitu orang yang mengikuti.  Al-Tabi’ ialah kata nama pelaku daripada kata kerja “tabi’ahu” dengan erti berjalan di belakangnya.

Pada istilah, orang yang menemui seorang sahabat dan meninggal dunia dalam keadaan Islam.   Ada juga yang mengatakan tabi’i ialah orang yang mendampingi sahabat.

Faedah Mengetahui

Dengan mengetahui seseorang itu dapat membezakan antara riwayat “mursal” dan “muttasil”.

Tabaqat Tabi’in

Ulama berbeza pendapat berhubung bilangan tabaqat tabi’in.  Mereka mempunyai cara pembahagian masing-masing.

  1. Imam Muslim membahagikan kepada tiga kelas.
  2. Ibn Sa’ad membahagikan kepada empat kelas.
  3. Al-Hakim membahagikan kepada 15 kelas, yang pertama ialah mereka yang sempat bertemu dengan 10 sahabat yang diberi jaminan syurga.

Mukhadramuun

Mukhadramuun adalah kata jama’ kepada “mukhadram” iaitu orang yang berada di zaman jahiliah, sezaman dengan Rasulullah s.a.w, memeluk Islam tetapi tidak berkesempatan melihat baginda.  Mengikut pendapat yang sahih, “mukhadhram” termasuk dalam kategori tabi’in. Bilangan mereka lebih kurang 20 orang sebagaimana yang dihitung oleh Imam Muslim. Tetapi mengikut pendapat-pendapat yang sahih bilangan mereka itu lebih lagi.  Antara mereka ialah Abu `Uthman al-Nahdi dan al-Aswad bin Yazid al-Nakha’i.

Tujuh Fuqaha’ di Madinah

Di antara tokoh-tokoh utama tabi’in ialah tujuh orang fuqha’.  Mereka semuanya adalah ulama’ besar dari kalangan penduduk Madinah.  Mereka ialah Sa’id bin al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad, `Urwah bin al-Zubayr, Kharijah bin Zayd, Abu Salamah bin `Abdul Rahman, `Ubaydullah bin `Abdullah bin `Utbah dan Sulayman bin Yasar. (Nota: Ibnu Mubaarak menyebutkan Salim Bin Abdullah bin Umar pada tempat  Abu Salamah. Abu Zinad pula mengatakan Abu Bakar Bin Abdullah pada tempat Salim Bin Abdullah Bin Umar dan Abu Salamah).

Tabi’in Yang Paling Mulia

Ada beberapa pendapat ulama tentang siapakah tabi’in yang paling utama. Pendapat yang masyhur ialah Sa’id bin al-Musayyab. Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif al-Shirazi mengatakan penduduk Madinah mengatakan tabi’in yang paling utama ialah Sa’id bin al-Musayyab. Penduduk Kufah mengatakan Uways al-Qarni dan penduduk Basrah mengatakan al-Hasan al-Basri.

Tabi’iyyat Yang Paling Utama

Abu Bakar bin Abu Dawud mengatakan, dua orang penghulu tabi’iyyat ialah Hafsah binti Sirin dan `Amrah binti `Abdul Rahman, kemudian diikuti oleh Ummu al-Darda’.

Karangan Yang Paling Terkenal

“Kitab Ma’rifah al-Tabi’in” karangan Abu al-Mutarrif bin Futays al-Andalusi.

MENGENALI AL-IKHWAH WAL AL-AKHAWAT

Prakata

Ilmu ini merupakan salah satu cabang ilmu yang diberikan perhatian oleh ulama hadis dan mereka menulis khusus tentangnya. Iaitu mengenali “al-Ikhwah Wa al-Akhawat”, yakni mengenali saudara-saudara perawi pada setiap tabaqat. Penulisan khusus tentang pengetahuan ini menunjukkan bahawa betapa ulama hadis memberi perhatian khusus kepada para perawi, nisbah, saudara-saudara mereka dan perkara-perkara lain sebagaimana akan dibincangkan nanti.

Faedah Mengetahui

Antara faedahnya ialah supaya tidak dianggap adik beradik perawi yang mempunyai nama bapa yang sama. Seperti `Abdullah bin Dinar dan `Amar bin Dinar, orang yang tidak mengetahui akan menyangka bahawa mereka berdua adik beradik sedangkan sebenarnya tidak walaupun nama bapa mereka sama.

Contoh-contoh:

  1. Dua bersaudara, di kalangan sahabat, `Umar dan Zayd anak-anak al-Khattab.
  2. Tiga bersaudara, di kalangan sahabat, `Ali, Ja’far, `Aqil anak-anak Abu Talib.
  3. Empat bersaudara, di kalangan pengikut tabi’in, Suhayl, `Abdullah, Muhammad, Salih anak-anak Abi Salih.
  4. Lima bersaudara, di kalangan pengikut tabi’in, Sufyan, Adam, `Imran, Muhammad dan Ibrahim anak-anak `Uyaynah.
  5. Enam bersaudara, dikalangan tabi’in, Muhammad, Anas, Yahya, Ma’bad, Hafsah dan Karimah anak-anak Sirin.
  6. Tujuh bersaudara, di kalangan sahabat, al-Nu’man, Ma’qil, `Uqayl, Suwayd, Sinan, `Abdul Rahman dan `Abdullah anak-anak Muqarrin. Ketujuh-tujuh mereka ini adalah sahabat yang telah berhijrah ke Madinah. Tidak ada sesiapapun yang memiliki kemuliaan ini seperti mereka. Dikatakan mereka semuanya menyertai peperangan Khandaq.

Kitab-Kitab Yang Paling Terkenal

  1. “Kitab al-Ikhwah” oleh Abu al-Mutarrif bin Futays al-Andalusi.
  2. “Kitab al-Ikhwah” oleh Abu al-`Abbas al-Sarraj.

AL-MUTTAFIQ WA AL-MUFTARIQ

Pada bahasa: “al-Muttafiq” kata nama pelaku daripada “al-Ittafaq” (persamaan, kesepakatan) manakala “al-muftariq” pula kata nama pelaku daripada “al-Iftiraq” (perbezaan) lawan kepada “al-Ittafaq”.

Pada istilah: Persamaan atau kebetulan serupa beberapa nama perawi dan bapa mereka secara tulisan dan sebutan tetapi berlainan individu. Termasuk dalam perkara ini juga persamaan nama dan kuniah mereka, nama dan nisbah atau lain-lain.

Contoh:

  1. Al-Khalil bin Ahmad, terdapat enam orang perawi yang memiliki nama ini, orang yang pertama ialah al-Khalil, guru kepada Sibawayh.
  2. Ahmad bin Ja’far bin Hamdan empat orang yang sezaman.
  3. `Umar bin al-Khattab, ada enam individu.

Kepentingan Dan Faedahnya

Mengetahui bahagian ini amat penting kerana ramai ulama yang besar telah tergelincir disebabkan ketidaktahuan mereka. Antara faedahnya ialah:

  1. Supaya tidak menyangka individu-individu yang mempunyai nama yang serupa itu sebagai orang sama sedangkan mereka itu ramai. Bahagian ini merupakan lawan kepada “al-Muhmal” yang dibimbangi seorang individu dianggap sebagai dua orang.
  2. Membezakan perawi-perawi yang memiliki nama yang sama. Kemungkinan salah seorang mereka itu thiqah dan seorang lagi dha’if lalu menyebabkan dia mendha’ifkan hadis yang sahih atau sebaliknya.

Bilakah Elok Mengemukakannya

Elok mengemukakannya apabila dua orang perawi atau lebih yang serupa nama mereka dan mereka itu sezaman, serta berkongsi pada setengah syeikh atau sesetengah perawi daripada mereka.

Sekiranya mereka itu berada di zaman yang berjauhan maka tidak ada kemusykilan pada nama-nama mereka.

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Bahagian Ini

  1. “Kitab al-Muttafiq Wa al-Muftariq” oleh al-Khatib al-Baghdadi, sebuah kitab yang besar dan sangat bernilai.
  2. “Kitab al-Ansab al-Muttafiqah” oleh al-Hafiz Muhammad bin Tahir, meninggal dunia pada tahun 508H. Kitab ini khusus tentang al-Muttafiq.

AL-MU’TALIF WA AL–MUKHTALIF

Bahasa: al-Mu’talif kata nama pelaku daripada “al-I’tilaf” (berkumpul, bertemu) lawan kepada “al-nufrah” (liar, berjauhan). “Al-mukhtalif” pula kata nama pelaku daripada “al-Ikhtila”f (perbezaan) lawan kepada “al-Ittafaq”.

Istilah: Nama, gelaran, kuniah atau nisbah sama pada tulisan tetapi berbeza pada lafaz. 308

Contoh:

  1. “Salam” dan “Sallam”, yang pertama tanpa “tashdid” dan yang kedua dengan “tashdid”.
  2. “Miswar” dan “Musawwar”, yang pertama dengan baris bawah pada huruf “mim” dan baris mati pada huruf “sin” dan “waw” tanpa tashdid. Yang kedua dengan baris hadapan pada huruf “mim”, baris atas pada huruf “sin” dan tashdid pada huruf “waw”.
  3. “Al-Bazzaz” dan “al-Bazzar”, yang pertama huruf akhirnya adalah “zai” dan yang kedua huruf akhirnya adalah “ra”.
  4. “Al-Thawri” dan “al-Tawwazi”, yang pertama dengan huruf “tha” dan “ra” dan yang kedua dengan huruf “ta” dan “zai”.

Adakah Ia Mempunyai Kayu Ukur Tertentu?

  1. Kebanyakannya tidak mempunyai kriteria tertentu kerana ia banyak tersebar tetapi dapat ditentukan dengan hafalan. Setiap nama itu ada sifatnya tersendiri.
  2. Ada juga nama perawi yang mempunyai kriteria dan ini terbahagi kepada dua:
  3. Nama yang mempunyai penentu dengan nisbah kepada satu kitab yang khusus atau beberapa buah kitab yang khusus. Seperti kita mengatakan setiap perawi bernama “Yasar” yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan al-Muwatta’ maka dia adalah Yasar, dengan huruf “ya’ ” dan “sin” kecuali Muhammad bin Bashshar, yang dieja dengan huruf “ba` ” dan “shin”.
  4. Nama yang mempunyai penentu secara umum, yakni tidak merujuk kepada kitab-kitab tertentu seperti, “Sallam”, semuanya dengan “tashdid” huruf “lam” kecuali lima orang perawi sahaja.

Kepentingan Dan Faedahnya

Mengenali bahagian ini merupakan tugas penting ilmu “rija”l sehingga `Ali bin al-Madini berkata: “Tashif” yang paling berat adalah yang terjadi pada nama para perawi kerana ia sesuatu yang tidak boleh diqiyaskan dan tidak ditunjukkan oleh sesuatu sebelumnya mahupun selepasnya. Faedahnya ialah dapat mengelakkan daripada tersilap dan melakukan kesalahan membaca nama perawi.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Al-Mu’talif Wa al-Mukhtalif” oleh `Abd al-Ghani bin Sa’id
  2. “Al-Ikmal” oleh Ibn Makula dan tambahannya oleh Abu Bakar bin Nuqtah.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>